Followers

Penyakit Kronik merebak ke Mesir !

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Alhamdulillah, puji-pujian bagi Allah Subhanahu Wa Taala, selawat serta salam buat kekasih mulia Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, ahli keluarga serta semua pengikut setia Baginda hingga ke hari kiamat.

Mesir, yang dahulunya selamat dan aman dari serangan peyakit, tetapi sejak kebelakangan ini banyak penyakit yang kronik dan berbahaya melanda dan merebak dengan cepat di Mesir. Selepas beberapa penelitian dibuat, penulis mendapati penyakit yang mudah berjangkit ini berpunca daripada penyakit kulit yang tidak diubati sejak awal. Akhirnya penyakit tersebut merebak ke seluruh badan dan sekarang meresap kesetiap saluran darah sekelompok pelajar medic di Mesir. Penyakit kronik ini akan menyebabkan pengidapnya sentiasa berada di dalam keadaan sunyi dan sepi. Setakat ini, beberapa orang doctor pakar menyatakan tidak ada sebarang ubat yang boleh menyembuhkan penyakit ini melainkan mereka perlu membuat sesuatu perkara bagi menahan rasa sakit akibat penyakit kronik tersebut. Apabila ditanya : Apakah perkara yang perlu mereka buat bagi menahan sakit yang mereka alami. Doctor pakar tersebut menyatakan : MEREKA PERLU BERBUAT MAKSIAT !

Oleh kerana itulah kita mendapati maksiat dan keruntuhan akhlak semakin menjadi-jadi dikalangan mahasiswa dan mahasiswi di Mesir KHUSUSNYA pelajar-pelajar PERUBATAN ! penulis tidak ingin mengeruhkan keadaan dan merenggangkan jurang di antara pelajar pengajian Islam dan Perubatan di Mesir, tetapi apa yang penulis utarakan adalah satu hakikat dan kenyataan. Berapa banyak kes keruntuhan akhlak dan maksiat yang didedahkan melibatkan pelajar medic ? tepuk dada tanya iman. Penulis tidak ingin mengulas tentang isu Party yang dianjurkan di sebuah Muhafazah yang melibatkan sesetengah pelajar medic di sana, cuma apa yang penulis ingin utarakan ialah KEMUNGKARAN dan MAKSIAT yang dibuat.

PESANAN BUAT PELAJAR MEDIC YANG BERKAITAN.

Sahabat-sahabat pelajar medic yang dikasihi.

Firman Allah Subhanahu Wa Taala di dalam Surah Al-Ahzab ayat 32 :

يَا نِسَاءَ النَّبِيِّ لَسْتُنَّ كَأَحَدٍ مِّنَ النِّسَاءِ ۚ إِنِ اتَّقَيْتُنَّ فَلَا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِي فِي قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلًا مَّعْرُوفًا

“Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertakwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk untuk melakukan maksiat kepada kamu) dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).”

Ayat di atas jelas menyatakan bahawa perbuatan maksiat termasuk yang kalian tradisikan itu adalah merupakan PENYAKIT. Justeru, setiap penyakit wajib diubati. Sebelum mengubati sesuatu penyakit, kita perlu mengetahui dahulu apakah jenis penyakit yang kita hadapi. Kali ini penulis akan cuba menyatakan apa yang terlindas dalam benak fikiran penulis. Ia bukanlah bermaksud penulis dan rakan-rakan dari fakulti Pengajian Islam tidak melakukan dosa, tidak juga menunjukkan kami orang-orang yang baik dan dilindungi, tetapi entri kali ini adalah untuk kalian. Iye, untuk kalian ! Untuk mereka yang datang dan ingin mencemarkan bumi Mesir dengan dosa besar dan maksiat yang mereka lakukan.

Berdua-duaan dan berpasang-pasangan di dalam rumah merupakan DOSA ! Seorang lelaki memasuki rumah seorang perempuan yang bukan mahram juga DOSA ! Meminum minuman keras DOSA ! Memakai pakaian yang mendedahkan aurat DOSA ! Berdating dan berkasih-kasihan DOSA ! Chatting tidak Syar’ie DOSA ! Ikhtilat dan percampuran antara lelaki dan perempuan seperti di PARTY yang kalian anjurkan juga DOSA dan sebagainya. Andai ingin dihitung dan dikira, kebanyakan yang berdosa sudah kalian buat. Justeru, apa yang ditunggu lagi ? Kita akan menunggu berita lahirnya generasi ANAK LUAR NIKAH (ALN) dari pelajar yang belajar di bumi Anbia’ iaitu MESIR !

ALN yang pertama MUNGKIN kita akan dengar ialah dari pelajar m**** di Muhafazah ****u*** ? Selepas itu diikuti rakan beliau juga pelajar *****. Sehinggalah ianya diikuti oleh ustaz dan ustazah keluaran Universiti Al-Azhar Mesir yang melahirkan generasi ALN. Ia bukanlah perkara yang mustahil. Jika hari ini maksiat tidak dibendung dan dicegah, jangan marah akan datang jika apa yang disebut di atas benar-benar berlaku.

Sahabat-sahabat pelajar medic yang dikasihi,

Apakah kalian tidak rasa bersalah dengan apa yang kalian lakukan ? Adakah tidak datang sebarang rasa penyesalan di dalam hati nurani kalian walau sebesar zarah ? Adakah kalian tegar membuat maksiat dan dosa besar dibumi peninggalan para Anbia’ ‘Alaihimus Salam ini ? Apakah jenis binatang kalian ini sekiranya kalian masih tidak menyesal dan bertaubat di atas maksiat yang kalian lakukan.

Ketahuilah, penulis tidak lebih dari hanya ingin menasihati kalian atas dasar Ad-Deen itupun jika kalian masih mempunyai agama. Jika tidak, anggaplah apa yang penulis dan rakan-rakan lain nasihatkan di atas dasar kita sesama bangsa. Kita tidak mahu dituduh sebagai manusia penyebab bala di bumi Mesir ini. Kita tidak mahu menjadi punca kemarahan alim ulama’ di perlembahan Nil ini. Kita tidak  mahu menjadi punca kemurkaan Pemilik bumi ini. Atas dasar inilah penulis cuba utarakan sesuatu yang pahit ini. Diharap kalian dapat memahami dengan baik.

PESANAN BUAT PELAJAR FAKULTI PENGAJIAN ISLAM

Ustaz dan ustazah yang dikasihi,

Pernahkan kalian mengamati akan firman Allah Subhanahu Wa Taala di dalam Surah Al-Maidah ayat 78 dan 79 :

لُعِنَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِن بَنِي إِسْرَائِيلَ عَلَىٰ لِسَانِ دَاوُودَ وَعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ ۚ ذَ‌ٰلِكَ بِمَا عَصَوا وَّكَانُوا يَعْتَدُونَ  * كَانُوا لَا يَتَنَاهَوْنَ عَن مُّنكَرٍ فَعَلُوهُ ۚ لَبِئْسَ مَا كَانُوا يَفْعَلُونَ

“Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa Ibni Mariam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh *  Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan.”

Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pernah bersabda seperti yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:

عن أبي سعيد الخدري رضى الله عنه قال : سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : من رأى منكم منكرا فليغيره بيده, فإن لم يستطع فبلسانه, وإن لم يستطع فبقلبه وذلك أضعف الإيمان

Daripada Abu Sa’id Al-Khudri Radhiallahu ‘Anhu berkata : Aku telah mendengar Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda : “Barangsiapa melihat kemungkaran hendaklah dia mencegah dengan tangan (kuasa sekiranya diberi kuasa), sekiranya tidak mempu hendaklah dia mencegah dengan lidah, sekiranya tidak mampu hendaklah dia mencegah dengan hati dan mencegah dengan hati itulah selemah-lemah iman”

Justeru, jelas sudahlah kewajipan dan tanggungjawab kalian sebagai orang yang menuntut ilmu agama ini. Persoalannya, adakah kalian beramal dengan hadith tersebut ? Seandainya kalian datang ke bumi Anbia’ ini untuk menuntut ilmu, nescaya kalian tidak akan berdiam diri dengan penyakit maksiat tersebut. Tepuk dada tanya iman.

Ustaz dan ustazah yang dikasihi,

Kewajipan mencegah maksiat dan kemungkaran bukan hanya terpundak ke atas bahu sesetengah pihak sahaja. Bukan HANYA tugas Unit HISBAH dan BKAN serta DPM sahaja, bahkan ianya kerja dan tanggungjawab kita semua. Iye, kita yang belajar dan menuntut ilmu agama ini. Penulis ingin menasihati diri penulis sendiri dan sahabat-sahabat yang lain sebagaimana yang telah difirmankan oleh Allah Subhanahu Wa Taala yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman ! jagalah diri kamu dan keluarga kamu daripada menjadi bakaran api neraka !”

Atas dasar inilah penulis menasihati diri penulis sendiri serta sahabat-sahabat sekalian agar kita semua menjadi mereka yang mengajak kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran. Ini salah satu tanggungjawab serta perana kita selaku penuntut ilmu. Justeru, menjadi pilihan kepada ustaz dan ustazah sama ada ingin mendiamkan diri dengan maksiat mereka maka ustaz dan ustazah juga termasuk di kalangan a’asi ( العاصى ) ataupun ingin mencegah maksiat yang mereka lakukan dan mudah-mudahan itulah penyebab kita mendapat rahmat. Renungi dan ambillah iktibar dan pengajaran dari hadith yang diriwayatkan Imam Bukhari dan Muslim ini :

من أم المؤمنين أم الحكم زينب بنت جحش رضى الله عنها : أن النبي صلى الله عليه وسلم دخل عليها فزعا يقول : ويل للعرب من شر قد اقترب, فتح اليوم من ردم يأجوج ومأجوج مثل هذه ( وحلق بأصبعيه الإبهام والتى تليها ) فقلت : يا رسول الله أنهلك وفينا الصالحون ؟ قال : نعم إذا كثر الخبث

Daripada Ummul Mukminun Zainab binti Jahsyi Radhiallahu ‘Anha berkata : Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam masuk kepadaku dalam keadaan cemas seraya bersabda : “ Celakalah orang Arab kerana keburukan sudah semakin hampir. Hari ini benteng Ya’juj dan Ma’juj telah dibuka ( sambil mengisyaratkan bulatan dengan ibu jari dan telunjuk Baginda ) Maka aku pun bertanya : Wahai Rasulullah, adakah kita akan dibinasakan juga walaupun masih terdapat orang-orang yang soleh ? Maka Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pun bersabda : Iye, sekiranya keburukan sudah terlampau banyak”

Apakah yang masih kita tunggu lagi sekiranya kita masih berpeluk tubuh dengan maksiat yang berlaku dihadapan kepala kita ? Selain kebanjiran Anak Luar Nikah, secara tidak lansung kita menunggu kehadiran Ya’juj dan Ma’juj. Jangan cakap tidak sekiranya kalian masih lena di siang hari. Muslim sejati tidak akan redha dengan sesuatu yang boleh menghancurkan diri dia sendiri. Penyakit maksiat akan menghancurkan pembuat dan orang di sekelilingnya.

Justeru itu, pilihlah antara dua MATI dalam keadaan redha dengan kemungkaran atau MATI dalam keadaan mencegah maksiat dan kemungkaran. Tepuk dada tanya iman. Siiru ‘Ala Barakatillah..

0 comments: