Followers

- Tradisi Kerajaan BN Pahang -

Salam sejahtera..

Bagaikan tradisi, kes curi balak dilaporkan berlaku lagi. Semalam ( 5 Feb ) Buletin Utama TV3 telah menyiarkan kes curi balak di Hutan Simpan Berkelah yang terletak dalam daerah Maran Pahang. Masih kita ingat pada 11 Disember 2009 yang lalu, Ahli Parlimen Kuantan pernah membongkarkan bahawa bandar Kuantan akan tenggelam akibat kerakusan pihak yang tidak bertanggungjawab mengeluarkan berpuluh ribu ekar kawasan balak tanpa kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA). Difahamkan seluas 42 ribu ekar atau 16,800 ribu hektar Hutan Simpan Berkelah dan Hutan Simpan Remen Chereh telah diluluskan penebangan balak oleh Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Pahang yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Dato' Sri Adnan Yaakob. Difahamkan juga kesemua kawasan terbabit telah serahkan kepada Mentiga Corporation Sdn.Bhd dan Amanah Saham Pahang (ASPA). Ahli Parlimen Kuantan tersebut telah mendedahkan perkara ini di lobi parlimen ketika itu, siap dengan bukti-bukti yang diperolehinya dari jabatan yang berkenaan. Pendedahan tersebut jelas sekali mengejutkan sesetengah rakyat Pahang yang prihatin. Ternyata kerakusan Kerajaan BN Pahang untuk mengaut keuntungan lumayan sehingga sanggup menggadaikan nyawa dan keselamatan rakyat Pahang sendiri.

Kini, kata-kata Ahli Parlimen itu seolah-olah bakal menjadi kenyataan apabila berlaku lagi kecurian balak yang bernilai jutaan ringgit di kawasan terbabit (Hutan Simpan Berkelah). Bayangkan, banyak mana lagi kerajaan negeri harus mengalami kerugian dengan kes seperti ini. Kecurian balak di Pahang ini sebenarnya berlaku secara "berhemah". Ia memang tidak disedari oleh pihak Jabatan Perhutanan kerana aktiviti yang dilakukan cukup licik sekali. Malah kecurian dan rompakan terhadap balak ini biasanya disedari selepas beratus-ratus ekar kawasan balak terbabit di keluarkan. Terkadang, pihak berkenaan sengaja memanggil media untuk membuat liputan kononnya mereka melakukan kerja. Walhal, apa yang didedahkan itu hanya sebatang dua kayu balak sahaja. Sebaliknya kayu yang banyak telah dikeluarkan oleh mereka yang mendapat "lampu hijau" daripada pihak atasan. Inilah masalah sebenar yang berlaku di Pahang berkaitan BALAK. Malah, jika diteliti setiap kali laporan media dibuat kononnya ada tangkapan dan perkakas berkenaan seperti jentera menebang, lori balak, pajero dan sebagainya akan disita. Namun, tidak pernah kita melihatnya di mana-mana balai polis yang berhampiran. Ini maknanya sudah ada jalan penyelesaian yang dibuat secara rundingan antara pihak yang bertanggungjawab. Inilah yang akan berlaku selagi UMNO BN dibenarkan memerintah negeri Pahang ini. Terkadang yang mencuri bukannya orang biasa, tetapi pemimpin UMNO yang mempunyai kuasa. Akibat lambat mendapat kelulusan permohonan mereka, maka jalan terbaik ialah mengarahkan tokey-tokey balak membawa keluar kayu-kayu itu secara "senyap-senyap" pada waktu malam. Aktiviti mereka ini biasanya akan dipantau oleh pihak tertentu dari masa ke semasa bagi mengelakkan daripada tindakan oleh pihak berkuasa.

 Justeru, jika dilihat laporan yang dibuat oleh TV3 semalam, ternyata kes tersebut ialah kecurian yang berlaku atas lesen yang diluluskan. Dengan erti kata bahawa pihak terbabit sudah mendapat lesen mengeluarkan kayu balak di kawasan yang digezetkan, namun akibat sifat tamak dan haloba mereka mencuri lagi di kawasan bersebelahan untuk mendapat untung yang berlebihan. Oleh yang demikian, penulis ingin menyeru kepada semua pembaca terutama rakyat Negeri Pahang agar membuka mata dan minda terhadap penyelewengan demi penyelewengan yang berlaku di hadapan mata sendiri. Untuk kesekian kalinya penulis ingin mengajak kepada semua agar mencegah perbuatan mungkar yang dilakukan oleh kerajaan negeri ini dengan sebaiknya. Mencegah kemungkaran adalah tanggungjawab bersama ! Sekian..

0 comments: