Followers

Masih Keliru Masalah bercampur Mazhab ??


Salam mahabbah buat pengunjung yang dihormati.

Mengamalkan mana-mana mazhab sesuka hati merupakan kesalahan yang sering dilakukan oleh kebanyakan orang awam seperti kita. Sebelum ini, penulis ada mencatatkan beberapa jawapan bagi persoalan teman-teman yang diajukan kepada penulis. Justeru, jawapan yang penulis berikan itu adalah untuk memudahkan teman-teman dalam keadaan yang tertentu untuk mengamalkan Islam. Rentetan itu, timbul pula masalah lain iaitu sejauh mana kita boleh beramal dengan mencampurkan pandangan mazhab-mazhab ataupun beramal dengan pandangan mujtahid lain.

Islam tidak sesekali menyusahkan penganutnya. Pun begitu, tidaklah bermakna kita boleh memudahkannya sesuka hati. Tetapi, Islam datang sesuai dengan keadaan, suasana dan semasa. Inilah kesyumulan Islam ! Kali ini penulis akan mengutarakan beberapa point yang agak panjang agar para pembaca dapat memahami metodologi beramal dengan mazhab.

Penulis pernah membaca satu tulisan dan penulis bawakan bersama untuk kita sama-sama menilai dengan neraca ilmu :

"Pernah saya temui beberapa manusia yang kurang terbuka mindanya, barangkali atas dasar egoismenya ataupun kejahilannya. Saya mengatakan tidak salah untuk beramal dengan mazhab lain, jika kita belajar dan tahu pendapat tersebut betul-betul dari imam-imam mujtahid lain. Jawapan yang diterima amat mendukacitakan. Ada yang berkata,kita bermazhab syafie, mestilah beramal dengan syafieyah, untuk beramal dengan mazhab lain mestilah mesti menguasai ilmu usul fiqh, menguasai bahasa arab dan lain-lain. Jawapan saya, itu adalah jawapan yang karut marut, Ilmu usul fiqh secara umumnya adalah suatu cabang ilmu yang dipelajari untuk mengetahui dari mana asal sesuatu hukum  atau bagaimana sesuatu hukum itu terbit berdasarkan dalil-dalil yang jelas dan faktor-faktor lain"

"Tidak ada satu hadith mahupun athar sahabat yang mengatakan mesti terikat dengan satu mazhab. Jawapan saya amat mudah, Islam adalah Agama Allah yang menggunakan Nabi Muhammad s.a.w sebagai mediumnya dan disebarkan oleh para-para sahabat, imam-imam mujtahid mutlak dengan pelbagai ‘versi’ berdasarkan faktor geografi,masa dan kemaslahatan ummah. Apakah salah mengguna pakai pendapat imam mujtahid lain (selain imam syafie) dalam hukum-hakam yang melibatkan kehidupan seharian kita. Bukankah mereka itu Islam?bukan setakat Islam sahaja,tetapi waraq lagi alim yang tidak akan ditemui untuk hari ni dan seterusnya."

Artikel sebegini banyak memberi kesalah fahaman terutama kepada orang awam seperti kita. Apatah lagi artikel di atas tidak di ulas dengan terperinci. Hari ini, ramai di antara kita hanya merujuk kepada sepotong dua hadith dan beramal dengan maksud zahir hadith sahaja. Lebih malang lagi, sesetengah orang yang beramal dengan kefahaman dia semata-mata dan menyeru agar orang lain juga mengikut amalan dan kefahaman dia. Jadilah apa yang pernah disabdakan oleh Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam sebagai "sesat lagi menyesatkan".
MUQADDIMAH
Firman Allah Taala di dalam surah an-Nahl ayat 44:
بِالْبَيِّنَاتِ وَالزُّبُرِ وَأَنزَلْنَا إِلَيْكَ الذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيْهِمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ
Maksudnya: (Kami utuskan Rasul-rasul itu) membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang membuktikan kebenaran mereka) dan Kitab-kitab suci (yang menjadi panduan); dan Kami pula turunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Al-Quran yang memberi peringatan, supaya Engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka memikirkannya.
Firman Allah lagi pada surah yang sama ayat 64:
وَمَا أَنزَلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ إِلاَّ لِتُبَيِّنَ لَهُمُ الَّذِي اخْتَلَفُواْ فِيهِ وَهُدًى وَرَحْمَةً لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ
Maksudnya: Dan tiadalah Kami menurunkan Al-Quran kepadamu (Wahai Muhammad) melainkan supaya Engkau menerangkan kepada mereka akan apa yang mereka berselisihan padanya; dan supaya menjadi petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.
Daripada firman Allah ini dapat kita fahami di antara tugas baginda adalah menerangkan maksud dan isi Al-Quran yang diturunkan oleh Allah kepada manusia agar terlerai segala kekeliruan serta menjadikan panduan Al-Quran mampu difahami dan diamalkan. Kewafatan baginda Nabi bukan pemutus kerja dakwah, tetapi tugas itu disambung oleh mereka yang mewarisi tugas para Nabi dan Rasul. Bermula daripada para sahabat seterusnya para tabien dan Ulama berterusan sehingga hari kiamat. Sabda Nabi yang diriwayatkan oleh Said bin Abd Aziz di dalam Mu’jam Kabir;
كَانَ الْعُلَمَاءُ بَعْدَ مُعَاذِ بن جَبَلٍ عَبْدُ اللَّهِ بن مَسْعُودٍ ، وَأَبُو الدَّرْدَاءِ ، وَسَلْمَانُ ، وَعَبْدُ اللَّهِ بن سَلامٍ ، وَكَانَ الْعُلَمَاءُ بَعْدَ هَؤُلاءِ زَيْدُ بن ثَابِتٍ ، ثُمَّ كَانَ بَعْدَ زَيْدٍ ، ابْنُ عُمَرَ وَابْنُ عَبَّاسٍ .
Maksudnya: Ulama setelah Muaz bin Jabal ialahAbdullah bin Masu’d, Abu Darda’, Salman dan Abdullah bin Salam. Adapun Ulama setelah mereka ialah Zaid bin Thabit. Ulama setelah Zaid ialah Ibn Umar dan Ibn Abbas.
Sabda Nabi yang diriwayatkan oleh Tarmidzi, Ahmad, Ibn Majah dan Darimi;
عَنْ كَثِيرِ بْنِ قَيْسٍ قَالَ كُنْتُ جَالِسًا عِنْدَ أَبِي الدَّرْدَاءِ فِي مَسْجِدِ دِمَشْقَ فَأَتَاهُ رَجُلٌ فَقَالَ يَا أَبَا الدَّرْدَاءِ أَتَيْتُكَ مِنْ الْمَدِينَةِ مَدِينَةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِحَدِيثٍ بَلَغَنِي أَنَّكَ تُحَدِّثُ بِهِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فَمَا جَاءَ بِكَ تِجَارَةٌ قَالَ لَا قَالَ وَلَا جَاءَ بِكَ غَيْرُهُ قَالَ لَا قَالَ فَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ وَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ لَتَضَعُ أَجْنِحَتَهَا رِضًا لِطَالِبِ الْعِلْمِ وَإِنَّ طَالِبَ الْعِلْمِ يَسْتَغْفِرُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ حَتَّى الْحِيتَانِ فِي الْمَاءِ وَإِنَّ فَضْلَ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ كَفَضْلِ الْقَمَرِ عَلَى سَائِرِ الْكَوَاكِبِ إِنَّ الْعُلَمَاءَ هُمْ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ إِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلَا دِرْهَمًا إِنَّمَا وَرَّثُوا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ
Maksudnya: Kathir bin Qais meriwayatkan dengan katanya: Aku duduk di sisi Abu Darda’ di Masjid Dimasy. Tiba-tiba datang seorang lelaki lalu berkata: Wahai Abu darda’, aku datang dari Madinah kota baginda Rasulullah hanya semata-mata kerana satu hadis yang aku dimaklumkan engkau meriwayatkannya daripada baginda. Berkata Abu Darda’: Apakah engkau datang ke sini dengan niat untuk meniaga? Dia menjawab: Tidak. Tanya lagi: Apakah dengan niat dan tujuan yang selain mengambil hadis daripada ku? Dia menjawab: Tidak. Maka berkata Abu Darda’: Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah bersabda: Sesiapa yang berjalan keluar untuk menuntut ilmu, nescaya Allah memudahkan jalannya menuju syurga. Para Malaikat akan menghamparkan sayap sebagai tanda redha dengan penuntut ilmu. Semua yang di langit dan di bumi akan memohon ampun untuk penuntut ilmu sehinggakan ikan di lautan. Keutamaan seorang alim ke atas seorang ahli ibadat seumpama keutamaan bulan dibandingkan kesemua bintang-bintang. Ulama itu pewaris para Nabi, para Nabi tidak mewariskan dinar atau dirham tetapi mewariskan ilmu. Sesiapa yang mengambil warisan tersebut maka dia telah memperoleh keuntungan yang besar.
Dari sini dapat kita menyimpulkan, peranan Ulama adalah meneruskan tugas para Nabi dan Rasul untuk menjelaskan maksud Al-Quran dan Hadis baginda Nabi. Setiap bidang ilmu terdapat metodologi yang perlu diikuti dan diraikan. Semua manusia berakal meyakini tidak ada satu ilmu pun yang tidak mempunyai metodologi tersendiri. Syarak membawa metodologi yang paling sempurna dalam semua bidang. Maka erti dan maksud sebenar yang ingin disampaikan oleh Al-Quran dan Hadis tidak akan difahami atau mustahil difahami tanpa bantuan daripada Ulama.
ULAMA' YANG DIMAKSUDKAN
Ulama yang dimaksudkan di sini adalah para Mujtahid seumpama Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad dan sebagainya.
Sepakat Ulama: WAJIB bertaklid kepada para Mujtahid kepada sesiapa yang tidak mencapai martabat ijtihad sama ada dia orang awam atau si alim yang tidak mencapai martabat ijtihad. Ini metodologi yang disepakati dahulu hingga sekarang. Tidak ada yang mengingkarinya kecuali yang tersesat cara fikirnya. Ini berdasarkan firman Allah Taala di dalam surah an-Nahl ayat 43 :
وَمَا أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ إِلاَّ رِجَالاً نُّوحِي إِلَيْهِمْ فَاسْأَلُواْ أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: dan tidaklah Kami mengutus Rasul-rasul sebelum mu (Wahai Muhammad), melainkan dari kalangan orang-orang lelaki, yang Kami wahyukan kepada mereka. oleh itu bertanyalah kamu (Wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.
Dalam Surah al-Anbiya ayat 7 :
وَمَا أَرْسَلْنَا قَبْلَكَ إِلاَّ رِجَالاً نُّوحِي إِلَيْهِمْ فَاسْأَلُواْ أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: dan tidaklah Kami mengutus Rasul-rasul sebelum mu (Wahai Muhammad), melainkan dari kalangan orang-orang lelaki, yang Kami wahyukan kepada mereka. oleh itu bertanyalah kamu (Wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.

Bahkan secara Ijmak wajib kepada awam yang tidak mendalami metodologi hukum atau si alim yang tidak mencapai taraf ijtihad untuk bertanya dan mengikuti para mujtahid dalam hukum syarak. Ini berdasarkan perbuatan Sahabat dan para Tabiin yang mana mereka ditanya dan diminta fatwa lalu dijawab tanpa disertakan dalil.
Sudah luput dari zaman siapa yang dikatakan Mujtahid. Apa yang baki ialah Alim yang mengetahui selok-belok setiap mazhab yang ada. Mereka inilah pedoman untuk memahami hukum hakam yang disampaikan oleh para Mujtahid. Para Mujtahid mengambil daripada Mujtahid sebelumnya, generasi sebelumnya mengambil daripada baginda lalu bersambung dengan wahyu Allah Taala.
MAZHAB MANA MENJADI PILIHAN
Dibenarkan kepada mana-mana individu untuk mengikut mana-mana Mujtahid. Ini bergantung pada kemudahan untuk dia bertanya soal berhubung dengan soal hukum yang berlaku. Penduduk India sesuai dengan Mazhab Hanafi kerana Ulamanya banyak daripada Hanafi. Di Malaysia sesuai dengan Mazhab Syafie kerana Ulamanya bermazhab Syafie. Mesir sesuai untuk mengikut mana-mana mazhab kerana terdapat Ulama yang mujtahid di dalam semua Mazhab.
Wajib berpegang dengan satu mazhab, tidak dibenarkan campur di antara mazhab dengan mazhab. Ini untuk mengelakkan pincang dari sudut amalan. Sebagai contoh Hanafi membenarkan kahwin tanpa wali. Maliki benarkan kahwin tanpa saksi. Jika seseorang ingin berkahwin tanpa wali dan saksi kerana mengambil kedua mazhab. Amalan itu secara ijmak batil mengikut semua mazhab.
BERPINDAH MAZHAB SEKIRANYA…
Pendapat yang terkuat di kalangan Ulama tidak diwajibkan kepada dua golongan berada di dalam satu-satu Mazhab, bahkan boleh berpindah dari satu mazhab ke mazhab yang lain;
1)) Awam yang mendapat fatwa daripada Ulama yang ditanyanya. Dia akan mengikut fatwa yang dikeluarkan tanpa mengira dari mazhab mana fatwa tersebut.
2) Si Alim (tidak sampai taraf mujtahid) yang mampu menganalisis, mengkaji, mengamati dan memahami metodologi hukum. Mereka ini tidak diwajibkan mengikut mazhab tertentu.
KESIMPULAN
1) Wajib kepada awam atau alim yang tidak mencapai martabat Ijtihad mengikuti salah satu daripada Mazhab yang Empat.
2) Boleh berpindah mazhab atau mengambil pendapat selain daripada pendapat di dalam mazhab yang di taklidnya sekiranya ditanya terlebih dahulu kepada mereka yang mengetahui.
3) Bukan bermaksud memahami hukum atau dalil hanya sekadar membaca satu dua hadis di dalam kitab sahih atau membuka tafsir yang diterjemahkan. Individu yang diberi autoriti untuk mengeluarkan pendapat adalah mereka yang memahami metodologi ilmu agama.
4) Dipersilakan untuk berpindah mazhab atau memilih mana-mana pendapat yang dirasakan perlu tetapi bukan untuk bermain-main. Keadaan perlu yang dimaksudkan seperti;
i) Berpindah ke negara yang tidak bermazhab dengan mazhab si awam tersebut.
ii) Ditimpa satu masalah yang tidak ada penyelesaian kecuali di dalam mazhab lain.
iii) Mengelakkan kepayahan di dalam beribadat dengan memilih pendapat yang agak ringan. Seperti masalah batal wuduk ketika tawaf dan seumpamanya.
Kelompok yang menjadikan pendapat mazhab sebagai permainan mendapat ancaman daripada Syarak sebagaimana dikatakan Imam Auzaie yang diriwayatkan di dalam Sunan Baihaqi;
مُحَمَّدَ بْنَ شُعَيْبِ بْنِ شَابُورَ يَقُولُ سَمِعْتُ الأَوْزَاعِىَّ يَقُولُ : مَنْ أَخَذَ بِنَوَادِرِ الْعُلَمَاءِ خَرَجَ مِنَ الإِسْلاَمِ.
Maksudnya: Sesiapa mengutip pendapat yang ganjil (tersalah) daripada pendapat Ulama, dia terkeluar daripada Islam.
Sekian. Wallahu A'lam
RUJUKAN
الأشباه و النظائر
أصول الفقه
غاية الوصول

0 comments: