Followers

( Episod III ) - 10 Perintah kepada Bani Israil di Kaki Bukit Tursina -

 Ahli tafsir menceritakan bahawa Bani Israil dihukum selama 40 tahun bermula pada bulan ke tiga mereka keluar dari Mesir menuju ke bumi Syam iaitu pada penghujung musim bunga. Mereka mula melalui kehidupan 40 tahun yang telah ditetapkan oleh Allah Taala di awal musim panas di Padang Pasir dan tanah gurun Sinai. Maka hiduplah Bani Israil di lereng-lereng bukit Sinai yang kering kontang. Satu hari Nabi Musa ‘Alaihis Salam mendaki Tursina. Apabila berada di puncak Tursina maka bercakaplah Nabi Musa dengan Allah Taala tanpa sebarang perantaraan. Inilah mukjizat Nabi Musa iaitu dapat bercakap dengan Tuhan yang Maha Berkuasa secara direct. Pun begitu, Nabi Musa hanya mendengar suara sahaja tanpa dapat melihat zat Allah Taala.
Allah Taala memerintahkan agar Nabi Musa mengumpulkan Bani Israil di kaki bukit Tursina. Maka turunlah Nabi Musa dari Tursina dan memerintahkan agar Bani Israil membersihkan badan, pakaian dan bersiap sedia menerima arahan Nabi Musa dari semasa ke semasa. Sampai sahaja waktu yang ditetapkan, maka berkumpullah Bani Israil di kaki bukit Tursina tanpa seorang pun dibenarkan untuk mendekati bukit Tursina tersebut. Barangsiapa yang mendekatinya, nescaya dia akan mati. Sehinggalah hari ketiga, maka Nabi Musa pun mendaki lagi bukit Tursina. Kali ini Allah memerintahkan agar Nabi Musa membawa Bani Israil ke puncak Tursina untuk mendengar arahan dan seruan daripada Allah Taala sendiri. Bani Israil yang sedang berada di kaki bukit mendengar satu suara yang begitu kuat, dalam masa yang sama bukit yang ada di Sinai bergegar dengan gegaran yang kuat menyebabkan Bani Israil berada dalam keadaan yang amat takut dan cemas.
Nabi Musa berkata : Ya Allah, sesungguhnya Bani Israil tidak akan mampu mendengar suara Engkau, aku bimbang sekiranya Bani Israil mendengar, nescaya Bani Israil akan meninggal dek kerana mukjizat yang besar itu. Justeru Allah Taala memerintahkan agar Nabi Musa turun dan naik kembali dengan membawa Nabi Harun yang berada bersama Bani Israil di kaki bukit Tursina waktu itu. Maka kembalilah Nabi Musa ke puncak tursina bersama Nabi Harul ‘Alaihimas Salam. Maka bercakaplah Nabi Musa dengan Allah Taala dengan didengari oleh Nabi Harun. Allah Taala mewasiatkan kepada Nabi Musa dan Bani Israil dengan 10 kalimah. Firman Allah Taala :
قُلْ تَعَالَوْا أَتْلُ مَا حَرَّمَ رَبُّكُمْ عَلَيْكُمْ ۖ أَلَّا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا ۖ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۖ وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُم مِّنْ إِمْلَاقٍ ۖ نَّحْنُ نَرْزُقُكُمْ وَإِيَّاهُمْ ۖ وَلَا تَقْرَبُوا الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ ۖ وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ ۚ ذَ‌ٰلِكُمْ وَصَّاكُم بِهِ لَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ * وَلَا تَقْرَبُوا مَالَ الْيَتِيمِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ حَتَّىٰ يَبْلُغَ أَشُدَّهُ ۖ وَأَوْفُوا الْكَيْلَ وَالْمِيزَانَ بِالْقِسْطِ ۖ لَا نُكَلِّفُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۖ وَإِذَا قُلْتُمْ فَاعْدِلُوا وَلَوْ كَانَ ذَا قُرْبَىٰ ۖ وَبِعَهْدِ اللَّهِ أَوْفُوا ۚ ذَ‌ٰلِكُمْ وَصَّاكُم بِهِ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ * وَأَنَّ هَـٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ ۚ ذَ‌ٰلِكُمْ وَصَّاكُم بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Katakanlah: Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatupun dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka dan janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) yang terang daripadanya dan yang tersembunyi dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh Syarak). Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu memahaminya. * Dan janganlah kamu hampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga dia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri) dan sempurnakanlah segala sukatan dan timbangan dengan adil. Kami tidak memberatkan seseorang dengan kewajipan melainkan sekadar kesanggupannya dan apabila kamu mengatakan sesuatu (semasa membuat apa-apa keterangan) maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun orang itu ada hubungan kerabat (dengan kamu) dan perjanjian (perintah-perintah) Allah hendaklah kamu sempurnakan. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu beringat (mematuhiNya). * Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertakwa.

Ahli Kitab menceritakan bahawa Bani Israil mendengar suara Zat Allah Taala bercakap dengan Nabi Musa. Pun begitu mereka tidak memahami apa yang mereka dengar sehinggalah Nabi Musa ‘Alaihis Salam yang menerangkan kepada mereka. Berkata Nabi Musa kepada Bani Israil : Bahawa Allah Subhanahu Wa Taala telah mewasiatkan 10 perkara kepada kamu semua iaitu :
1) Sembahlah hanya kepada Allah Subhanahu Wa Taala dan jangan mensyirikan-Nya dengan sesuatu.
2) Janganlah kamu sesekali bersumpah bohong dengan nama Allah Taala.
3) Hendaklah menjaga Hari Sabtu dengan ertikata menjadikan Hari Sabtu sebagai hari beribadah kepada Allah Taala.
4) Berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa sepanjang hidup kamu
5) Jangan membunuh
6) Jangan berzina
7) Jangan mencuri
8) Jangan melakukan perbuatan-perbuatan yang keji.
9) Jangan berhasad dengki sesama kaum Bani Israil
10) Hendaklah berlaku adil dalam timbangan
Inilah sepuluh wasiat yang Allah Taala berikan kepada Nabi Musa dan Bani Israil selama hidup di atas muka bumi Allah Taala. Kesepuluh-sepuluh wasiat yang Allah Taala berikan kepada Bani Israil ini adalah untuk menjaga maslahah kehidupan mereka sama ada di atas dunia yang fana ini dan seterusnya maslahah mereka di akhirat yang kekal kelak. Beradalah Bani Israil di Sinai itu beberapa ketika dengan menempuh satu kehidupan yang susah. Makanan terhad, panas dan sejuk silih berganti sehinggalah Allah Taala memberikan mereka dengan makanan yang terbaik sebagaimana firman Allah Taala yang berbunyi :

يَا بَنِي إِسْرَائِيلَ قَدْ أَنجَيْنَاكُم مِّنْ عَدُوِّكُمْ وَوَاعَدْنَاكُمْ جَانِبَ الطُّورِ الْأَيْمَنَ وَنَزَّلْنَا عَلَيْكُمُ الْمَنَّ وَالسَّلْوَىٰ * كُلُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَلَا تَطْغَوْا فِيهِ فَيَحِلَّ عَلَيْكُمْ غَضَبِي ۖ وَمَن يَحْلِلْ عَلَيْهِ غَضَبِي فَقَدْ هَوَىٰ * وَإِنِّي لَغَفَّارٌ لِّمَن تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا ثُمَّ اهْتَدَىٰ

Wahai Bani lsrail! Sesungguhnya Kami telah selamatkan kamu dari musuh kamu, dan Kami telah janjikan kamu (dengan memberi wahyu kepada Nabi Musa) di sebelah kanan Gunung Tursina itu dan kami turunkan kepada kamu "Manna" dan "Salwa", * Serta Kami katakan: Makanlah dari benda-benda yang baik yang Kami kurniakan kepada kamu dan janganlah kamu melampaui batas padanya, kerana dengan yang demikian kamu akan ditimpa kemurkaanKu dan sesiapa yang ditimpa kemurkaanKu, maka sesungguhnya binasalah ia.* Dan sesungguhnya Aku yang amat memberi ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta beriman dan beramal soleh, kemudian dia tetap teguh menurut petunjuk yang diberikan kepadanya.

Sekiranya para pembaca ke bumi Sinai, maka pembaca akan melihat sendiri tempat yang di sebut di dalam ayat-ayat di atas. Ini akan lebih menambahkan keimanan dan ketaqwaan kita semua kepada Allah Subhanahu Wa Taala. Selamat bertadabbur..bersambung..

0 comments: