Sambungan kisah Nabi Musa dan Bani Israil selepas peristiwa Allah menenggelamkan Firaun yang takabbur bersama bala tenteranya di Laut Merah (Nuweiba’). Kali ini pembaca akan menghayati bagaimana Bani Israil yang diselamatkan Allah Taala dari Firaun itu menolak seruan jihad Nabi Musa ‘Alaihis Salam. Allah Taala berfirman :
فَانتَقَمْنَا مِنْهُمْ فَأَغْرَقْنَاهُمْ فِي الْيَمِّ بِأَنَّهُمْ كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا وَكَانُوا عَنْهَا غَافِلِينَ* وَأَوْرَثْنَا الْقَوْمَ الَّذِينَ كَانُوا يُسْتَضْعَفُونَ مَشَارِقَ الْأَرْضِ وَمَغَارِبَهَا الَّتِي بَارَكْنَا فِيهَا ۖ وَتَمَّتْ كَلِمَتُ رَبِّكَ الْحُسْنَىٰ عَلَىٰ بَنِي إِسْرَائِيلَ بِمَا صَبَرُوا ۖ وَدَمَّرْنَا مَا كَانَ يَصْنَعُ فِرْعَوْنُ وَقَوْمُهُ وَمَا كَانُوا يَعْرِشُونَ* وَجَاوَزْنَا بِبَنِي إِسْرَائِيلَ الْبَحْرَ فَأَتَوْا عَلَىٰ قَوْمٍ يَعْكُفُونَ عَلَىٰ أَصْنَامٍ لَّهُمْ ۚ قَالُوا يَا مُوسَى اجْعَل لَّنَا إِلَـٰهًا كَمَا لَهُمْ آلِهَةٌ ۚ قَالَ إِنَّكُمْ قَوْمٌ تَجْهَلُونَ* إِنَّ هَـٰؤُلَاءِ مُتَبَّرٌ مَّا هُمْ فِيهِ وَبَاطِلٌ مَّا كَانُوا يَعْمَلُونَ* قَالَ أَغَيْرَ اللَّهِ أَبْغِيكُمْ إِلَـٰهًا وَهُوَ فَضَّلَكُمْ عَلَى الْعَالَمِينَ*وَإِذْ أَنجَيْنَاكُم مِّنْ آلِ فِرْعَوْنَ يَسُومُونَكُمْ سُوءَ الْعَذَابِ ۖ يُقَتِّلُونَ أَبْنَاءَكُمْ وَيَسْتَحْيُونَ نِسَاءَكُمْ ۚ وَفِي ذَٰلِكُم بَلَاءٌ مِّن رَّبِّكُمْ عَظِيمٌ*
Maka Kami pun membalas mereka, lalu Kami menenggelamkan mereka di laut dengan sebab mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka sentiasa lalai daripadanya. * Dan Kami wariskan kepada kaum (Bani Israil) yang telah tertindas itu akan daerah-daerah timur bumi (Palestin) dan daerah-daerah baratnya, yang Kami telah melimpahkan berkat padanya dan telah sempurnalah Kalimah Allah (janjiNya) yang baik kepada kaum Bani Israil kerana kesabaran mereka (semasa mereka ditindas oleh Firaun), dan Kami telah hancurkan apa yang telah dibuat oleh Firaun dan kaumnya dan apa yang mereka telah dirikan (dari bangunan-bangunan yang tinggi) * Dan Kami bawakan Bani Israil ke sebarang Laut (Merah) itu lalu mereka sampai kepada suatu kaum yang sedang menyembah berhala-berhalanya. (Melihatkan yang demikian) mereka (Bani Israil) berkata: Wahai Musa buatlah untuk kami suatu tuhan (berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa tuhan. Nabi Musa menjawab: Sesungguhnya kamu ini adalah kaum yang jahil. * Sesungguhnya mereka (penyembah-penyembah berhala itu), akan dihancurkan apa yang mereka berada di dalamnya (dari perbuatan syirik) dan tetaplah salahnya apa yang mereka kerjakan itu. * Nabi Musa berkata lagi: Patutkah aku mencari tuhan untuk kamu selain dari Allah, padahal Dia telah melebihkan kamu atas sekalian manusia (yang sezaman dengan kamu, dengan berbagai nikmat yang telah dikurniakanNya kepada kamu)? * Dan (Tuhan berfirman): Ingatlah ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun dan kaumnya, yang menyeksa kamu dengan azab seksa yang seberat-berat dan seburuk-buruknya; mereka membunuh anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu dan (ingatlah bahawa) yang demikian itu mengandungi cubaan yang besar dari Tuhan kamu.
Allah Taala menceritakan dalam ayat di atas berkenaan perjalanan Nabi Musa dan Bani Israil selepas mereka diselamatkan oleh Allah daripada kekejaman dan keganasan Firaun. Kekayaan harta benda dan kuasa milik Firaun telah jatuh ke tangan Bani Israil. Justeru, suatu hari ketika mana Bani Israil sampai di sebuah perkampungan di sebelah utara Laut Merah, mereka mendapati penduduk kampung itu menyembah berhala.( قَالُوا يَا مُوسَى اجْعَل لَّنَا إِلَـٰهًا كَمَا لَهُمْ آلِهَةٌ ۚ قَالَ إِنَّكُمْ قَوْمٌ تَجْهَلُونَ )
Maka perjalan Nabi Musa dan Bani Israil ialah menuju ke Baitul Maqdis. Apabila sudah berdekatan dengan Baitul Maqdis maka Nabi Musa memerintahkan agar Bani Israil berjihad iaitu dengan memerangi orang-orang kafir yang sedang bermaharajalela di dalam Baitul Maqdis tersebut. Ini adalah kerana Baitul Maqdis akan menjadi tanah jajahan Nabi Allah Musa ‘Alaihissalam. Allah mengisahkan dalam ayat di bawah berkaitan seruan jihad kepada Bani Israil :
وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِ يَا قَوْمِ اذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ جَعَلَ فِيكُمْ أَنبِيَاءَ وَجَعَلَكُم مُّلُوكًا وَآتَاكُم مَّا لَمْ يُؤْتِ أَحَدًا مِّنَ الْعَالَمِينَ* يَا قَوْمِ ادْخُلُوا الْأَرْضَ الْمُقَدَّسَةَ الَّتِي كَتَبَ اللَّهُ لَكُمْ وَلَا تَرْتَدُّوا عَلَىٰ أَدْبَارِكُمْ فَتَنقَلِبُوا خَاسِرِينَ* قَالُوا يَا مُوسَىٰ إِنَّ فِيهَا قَوْمًا جَبَّارِينَ وَإِنَّا لَن نَّدْخُلَهَا حَتَّىٰ يَخْرُجُوا مِنْهَا فَإِن يَخْرُجُوا مِنْهَا فَإِنَّا دَاخِلُونَ* قَالَ رَجُلَانِ مِنَ الَّذِينَ يَخَافُونَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِمَا ادْخُلُوا عَلَيْهِمُ الْبَابَ فَإِذَا دَخَلْتُمُوهُ فَإِنَّكُمْ غَالِبُونَ ۚ وَعَلَى اللَّهِ فَتَوَكَّلُوا إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ* قَالُوا يَا مُوسَىٰ إِنَّا لَن نَّدْخُلَهَا أَبَدًا مَّا دَامُوا فِيهَا ۖ فَاذْهَبْ أَنتَ وَرَبُّكَ فَقَاتِلَا إِنَّا هَاهُنَا قَاعِدُونَ* قَالَ رَبِّ إِنِّي لَا أَمْلِكُ إِلَّا نَفْسِي وَأَخِي ۖ فَافْرُقْ بَيْنَنَا وَبَيْنَ الْقَوْمِ الْفَاسِقِينَ* قَالَ فَإِنَّهَا مُحَرَّمَةٌ عَلَيْهِمْ ۛ أَرْبَعِينَ سَنَةً ۛ يَتِيهُونَ فِي الْأَرْضِ ۚ فَلَا تَأْسَ عَلَى الْقَوْمِ الْفَاسِقِينَ
Dan (ingatkanlah mereka wahai Muhammad), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: Wahai kaumku! Kenanglah nikmat Allah (Yang diberikan) kepada kamu ketika Ia menjadikan dalam kalangan kamu beberapa orang Nabi dan Dia menjadikan kamu bebas merdeka (setelah kamu diperhamba oleh Firaun dan orang-orangnya) dan Dia memberikan kepada kamu barang yang tidak pernah diberikan kepada seseorang pun dari umat-umat (yang ada pada masa itu). * (Nabi Musa berkata lagi): Wahai kaumku, masuklah ke Tanah Suci (Palestin) yang telah diperintahkan oleh Allah untuk kamu (memasukinya) dan janganlah kamu berbalik undur ke belakang, (kalau kamu undur) maka kamu kelak menjadi orang-orang yang rugi (di dunia dan di akhirat). * Mereka menjawab: Wahai Musa bahawasanya di negeri itu ada kaum yang gagah perkasa, dan sesungguhnya kami tidak akan memasukinya sehingga mereka keluar daripadanya; kemudian jika mereka keluar daripadanya, maka sesungguhnya kami akan masuk (ke negeri itu). * Berkatalah dua lelaki di antara orang-orang yang takut (menyalahi perintah tuhan), lagi yang telah diberi nikmat (taufik) oleh Allah kepada keduanya: Seranglah mereka melalui pintu itu, kerana apabila kamu memasukinya maka sudah tentu kamulah orang-orang yang menang dan kepada Allah jualah hendaklah kamu berserah (setelah kamu bertindak menyerang), jika benar kamu orang-orang yang beriman. * Mereka (menolak dengan) berkata: Wahai Musa, sesungguhnya kami tidak akan memasuki negeri itu selama-lamanya selagi kaum itu masih berada di dalamnya; oleh itu pergilah engkau bersama Tuhanmu dan perangilah mereka. Sebenarnya kami di sinilah duduk menunggu. * Nabi Musa (merayu kepada Allah), katanya: Wahai Tuhan! Sesungguhnya aku tidak dapat menguasai selain daripada diriku sendiri dan saudaraku (Harun); oleh itu pisahkanlah antara kami dengan kaum yang fasik itu. * Allah berfirman: Sesungguhnya negeri itu diharamkan kepada mereka memasukinya - selama empat puluh tahun, mereka akan merayau-rayau dengan bingungnya (di sepanjang masa yang tersebut) di padang pasir (Sinai); maka janganlah engkau berdukacita terhadap kaum yang fasik itu.
Inilah perangai dan sikap kebanyakan Bani Israil, setelah menerima pelbagai nikmat yang besar daripada Allah Subhanahu Wa Taala, seruan Allah Taala untuk berjihad tidak diendahkan. Terselamat daripada penghambaan dan kekejaman Firaun ratusan tahun merupakan nikmat yang cukup besar. Ditambah dengan harta kekayaan dan kekuasaan yang jatuh ketangan mereka juga merupakan sesuatu yang tiada tolok bandingan. Tetapi, apabila diseru untuk berjihad mereka memberi alasan (قَالُوا يَا مُوسَىٰ إِنَّ فِيهَا قَوْمًا جَبَّارِينَ وَإِنَّا لَن نَّدْخُلَهَا حَتَّىٰ يَخْرُجُوا مِنْهَا ). Ini menunjukkan mereka tidak bersyukur dengan apa yang telah Allah Taala kurniakan kepada mereka dengan bermacam-macam nikmat.
Maka berkatalah dua orang daripada mereka (قَالَ رَجُلَانِ مِنَ الَّذِينَ يَخَافُونَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِمَا ادْخُلُوا عَلَيْهِمُ الْبَابَ فَإِذَا دَخَلْتُمُوهُ فَإِنَّكُمْ غَالِبُونَ ) Ahli Tafsir mengatakan dua orang ini ulama’ Bani Israil yang bernama ( يوشع بن نون ) dan ( كالب بن يوفنا). Tetapi Bani Israil tetap menolak seruan Jihad tersebut. Tidak cukup dengan hanya menolak seruan tersebut, bahkan Bani Israil berkata kepada Nabi Musa (فَاذْهَبْ أَنتَ وَرَبُّكَ فَقَاتِلَا إِنَّا هَاهُنَا قَاعِدُونَ )Apabila Nabi Musa mendengar ucapan tersebut dari Bani Israil, lantas Nabi Musa pun terus sujud kepada Allah sambil berdoa (قَالَ رَبِّ إِنِّي لَا أَمْلِكُ إِلَّا نَفْسِي وَأَخِي ۖ فَافْرُقْ بَيْنَنَا وَبَيْنَ الْقَوْمِ الْفَاسِقِينَ ) . Maka permintaan Nabi Musa untuk menghukum keingkaran kaumnya dengan katanya (فَافْرُقْ بَيْنَنَا وَبَيْنَ الْقَوْمِ الْفَاسِقِينَ ) dimaqbulkan oleh Allah Subhanahu Wa Taala. Maka Allah Taala menjawab permintaan Nabi Musa dengan firman-Nya (قَالَ فَإِنَّهَا مُحَرَّمَةٌ عَلَيْهِمْ ۛ أَرْبَعِينَ سَنَةً ۛ يَتِيهُونَ فِي الْأَرْضِ ۚ فَلَا تَأْسَ عَلَى الْقَوْمِ الْفَاسِقِينَ ). Maka bumi Sinai adalah tempat Bani Israil dihukum oleh Allah Taala dek kerana keengganan mereka menyahut seruan jihad Nabi Allah Musa ‘Alaihis Salam.
Maka bagi pembaca yang diberi kesempatan pergi ke bumi Sinai, para pembaca boleh kesan peristiwa tersebut. Satu demi satu nikmat yang Allah Taala sudah dan akan berikan kepada Bani Israil. Tetapi, Bani Israil tetap Bani Israil. Al-Quran juga mengisahkan bagaimana kehidupan selama 40 tahun Bani Israil di Sinai yang kering kontang. Penulis akan cuba mengumpulkan ayat-ayat suci Al-Quran berkenaan kisah tersebut untuk pengajaran kita bersama. Penulis berharap agar kisah Bani Israil ini dapat dijadikan iktibar oleh kita semua. Bersyukurlah dengan nikmat yang telah Allah Taala berikan kepada kita.
Justeru, bagaimana cara kita bersyukur ? Adakah dengan hanya mengucap Alhamdulillah ? Para pembaca yang dihormati, para ulama’ mengatakan di antara cara kita bersyukur ialah dengan kita menggunakan nikmat yang Allah Taala berikan untuk melakukan amal soleh. Kita guna mata yang dapat melihat untuk kebaikan, menggunakan telinga yang dapat mendengar untuk mendengar kebaikan, menggunakan tangan yang dapat bergerak untuk kebaikan dan seumpama dengannya. Pendek kata semua nikmat ini kita gunakan kepada sesuatu perkara yang di redhai oleh Allah Subhanahu Wa Taala..Sekian..Bersambung...
0 comments:
Post a Comment