Followers

( Episod I ) Mukjizat Nabi Musa - Laut Merah Terbelah Dua -

Kisah Nabi Allah Musa dan Bani Israil dengan Firaun dan bala tenteranya begitu jelas dan terperinci di dalam Al-Quran Al-Karim. Apabila dikumpulkan kesemua ayat yang menceritakan kisah yang penuh dengan pengajaran tersebut, maka kita akan dapat memahaminya dengan jelas bagaimana Allah memusnahkan Firaun dan bala tenteranya dek kerana kesombongan dan kezaliman yang dilakukan di atas muka bumi ini. Kisah ini perlu di fahami dengan baik terutama bagi mereka-mereka yang akan menjejaki peninggalan dan tempat bersejarah yang pernah di lalui Nabi Musa dan pengikutnya di bumi Mesir yang penuh barakah ini.
Entri kali ini adalah untuk mereka yang ingin berziarah khususnya ke Semananjung Sinai bagi memberi kefahaman yang jelas berkaitan beberapa tempat yang bakal di lawati. Penulis akan cuba mencatat tempat dan peristiwa yang berlaku. Ini adalah bertujuan bagi mereka yang  mengikuti percutian di Semenanjung Sinai akan lebih mentadabbur disamping melihat sendiri kesan peninggalan yang disebaliknya berlaku seribu satu peritiwa yang cukup bersejarah untuk di jadikan iktibar dan pengajaran.
Peristiwa ini berlaku selepas 9 mukjizat besar yang telah dibuktikan Nabi Musa kepada Firaun dan pengikutnya yang angkuh dan sombong. Namun, memandangkan ruang dan fatrah yang tidak mengizinkan,  juteru, penulis hanya akan memilih dan memetik beberapa ayat Al-Quran dan kisah terpilih sahaja untuk dikaji dan diinsifi oleh penulis dan pembaca sekalian.
Ahli tafsir menceritakan : Pada satu hari, Bani Israil telah meminta izin kepada Firaun untuk keluar menyambut perayaan. Dalam keadaan yang benci, Firaun mengizinkan mereka keluar menyambut perayaan. Maka keluarlah Bani Israil dalam keadaan berwaspada. Dalam masa yang sama Firaun dan tenteranya telah merancang untuk mengeluar dan menyingkirkan Bani Israil dari bumi Mesir. Justeru, Allah memerintahkan Nabi Musa dan Bani Israil – sebagaimana yang dikisahkan oleh Ahli Kitab – Allah memerintahkan agar Nabi Musa dan Bani Israil agar keluar pada waktu malam dengan membawa barang kemas dan perhiasan yang banyak menuju ke bumi Syam. Apabila Firaun mendapat berita bahawa Bani Israil keluar ke Negeri Syam, maka Firaun pun terus mengumpul bala tenteranya dalam keadaan yang sangat marah. Kali ini tujuannya hanyalah satu iaitu ingin memerangi Nabi Musa dan Bani Israil dengan sehabis-habisan. Maka Allah Taala pun berfirman kepada Nabi Musa :

وَأَوْحَيْنَا إِلَىٰ مُوسَىٰ أَنْ أَسْرِ بِعِبَادِي إِنَّكُم مُّتَّبَعُون * فَأَرْسَلَ فِرْعَوْنُ فِي الْمَدَائِنِ حَاشِرِينَ * إِنَّ هَـٰؤُلَاءِ لَشِرْذِمَةٌ قَلِيلُونَ *  وَإِنَّهُمْ لَنَا لَغَائِظُونَ *  وَإِنَّا لَجَمِيعٌ حَاذِرُونَ * فَأَخْرَجْنَاهُم مِّن جَنَّاتٍ وَعُيُونٍ * وَكُنُوزٍ وَمَقَامٍ كَرِيمٍ * كَذَ‌ٰلِكَ وَأَوْرَثْنَاهَا بَنِي إِسْرَائِيلَ * فَأَتْبَعُوهُم مُّشْرِقِينَ * فَلَمَّا تَرَاءَى الْجَمْعَانِ قَالَ أَصْحَابُ مُوسَىٰ إِنَّا لَمُدْرَكُونَ  *قَالَ كَلَّا ۖ إِنَّ مَعِيَ رَبِّي سَيَهْدِينِ * فَأَوْحَيْنَا إِلَىٰ مُوسَىٰ أَنِ اضْرِب بِّعَصَاكَ الْبَحْرَ ۖ فَانفَلَقَ فَكَانَ كُلُّ فِرْقٍ كَالطَّوْدِ الْعَظِيمِ * وَأَزْلَفْنَا ثَمَّ الْآخَرِينَ  *وَأَنجَيْنَا مُوسَىٰ وَمَن مَّعَهُ أَجْمَعِينَ * ثُمَّ أَغْرَقْنَا الْآخَرِينَ * إِنَّ فِي ذَ‌ٰلِكَ لَآيَةً ۖ وَمَا كَانَ أَكْثَرُهُم مُّؤْمِنِينَ * وَإِنَّ رَبَّكَ لَهُوَ الْعَزِيزُ الرَّحِيمُ

(Allah s.w.t berfirman): Dan Kami wahyukan kepada Nabi Musa: Hendaklah engkau membawa hamba-hambaKu (kaummu) keluar pada waktu malam; sesungguhnya kamu akan dikejar (oleh Firaun dan tenteranya). * (Setelah mengetahui keadaan itu) maka Firaun mengutus (orang-orangnya) ke bandar-bandar (negeri Mesir), untuk mengumpulkan (tenteranya),* (Sambil berkata kepada mereka): Sesungguhnya orang-orang (Musa) itu adalah segolongan kecil; * Dan sesungguhnya mereka melakukan perkara yang menyebabkan kita marah; * Dan sesungguhnya kita sekalian, sentiasa beringat dan berjaga-jaga. * Dengan sebab itu maka kami jadikan mereka (Firaun dan tenteranya) keluar meninggalkan kebun-kebun dan mata air, * Dan juga khazanah-khazanah kekayaan serta tempat tinggal yang mulia. * Demikianlah keadaannya dan Kami jadikan semua peninggalan Firaun dan tenteranya milik Bani Israil sebagai pusaka. * Maka Firaun dan tenteranya pun mengejar mereka ketika matahari terbit. * Setelah kedua-dua kumpulan itu nampak satu sama lain, berkatalah orang-orang Nabi Musa: Sesungguhnya kita akan dapat ditawan. * Nabi Musa menjawab: Tidak! Jangan fikir (akan berlaku yang demikian)! Sesungguhnya aku sentiasa disertai oleh Tuhanku (dengan pemeliharaan dan pertolonganNya), Dia akan menunjuk jalan kepadaku. * Lalu Kami wahyukan kepada Nabi Musa: Pukullah laut itu dengan tongkatmu. (Setelah dipukul) maka terbelahlah laut itu (kepada beberapa bahagian), lalu menjadilah air tiap-tiap bahagian yang terbelah itu terangkat seperti gunung yang besar. * Dan Kami dekatkan golongan yang lain itu ke situ. * Dan Kami selamatkan Nabi Musa serta orang-orang yang bersama dengannya, semuanya. * Kemudian Kami tenggelamkan golongan yang lain (yang mengejarnya). * Sesungguhnya pada peristiwa yang demikian, terdapat satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) dan (dalam pada itu), kebanyakan mereka tidak juga mahu beriman. * Dan sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad), Dialah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.

Maka Firaun dan bala tenteranya terus mengejar Nabi Musa dan Bani Israil pada malam itu juga. Sehinggalah matahari terbit, maka Firaun dan bala tenteranya dapat menjejaki Nabi Musa dan Bani Israil seperti yang telah dijelaskan oleh Allah Taala dalam ayat di atas. Maka apabila terlihat sahaja Bani Israil kemaraan Firaun dan tenteranya dalam keadaan yang cukup bengis dan marah, maka berkatalah Bani Israil kepada Nabi Musa (إِنَّا لَمُدْرَكُونَ ). Masakan tidak, Firaun dan bala tenteranya berada di belakang, sedangkan di hadapan Bani Israil terbentang laut, manakala di kiri dan kanan mereka hanyalah bukit bukau dan gunung ganang. Maka Bani Israil pun menyangka bahawa mereka akan tetap binasa, sama ada mati lemas di laut ataupun menjadi habuan Firaun yang mengganas. Maka berkatalah Nabi Musa kepada pengikutnya (قَالَ كَلَّا ۖ إِنَّ مَعِيَ رَبِّي سَيَهْدِينِ ).
Maka Nabi Allah Musa terus kehadapan dan melihat laut di hadapannya. Betanyalah Bani Israil kepada Nabi Musa : Wahai Nabi Allah, adakah Allah memerintahkan kamu untuk kesini ? Maka Nabi Musa pun menjawab ; Iye. Maka ketika mana Firaun dan bala tenteranya sudah semakin hampir, laut Merah terbentang didepan mata, sudah tidak ada tempat lagi untuk pergi menyelamatkan diri dan Bani Israil beradan dalam keadaan yang amat takut dan cemas. Maka disaat-saat genting itulah Allah berfirman kepada Nabi Musa (أَنِ اضْرِب بِّعَصَاكَ الْبَحْرَ ) Selepas Nabi Musa memukul laut Merah dengan tongkatnya, ditaqdirkan Allah laut itu terbelah dan menghasilkan jalan untuk dilalui oleh Nabi Musa dan Bani Israil.
(فَأَوْحَيْنَا إِلَىٰ مُوسَىٰ أَنِ اضْرِب بِّعَصَاكَ الْبَحْرَ ۖ فَانفَلَقَ فَكَانَ كُلُّ فِرْقٍ كَالطَّوْدِ الْعَظِيمِ )Sesetengah ahli Tafsir mengatakan Allah menjadikan 12 jalan diantara laut yang terbelah itu untuk membolehkan 12 golongan Bani Israil melaluinya. Justeru, Firaun dan bala tenteranya terus mengejar Nabi Musa dan Bani Israil. Apabila kesemua Bani Israil berhenti di daratan, maka terhentilah Firaun dan bala tenteranya yang ketika itu berada di antara belahan air yang berdiri tegak seperti gunung di kiri dan kanan mereka. Mereka saling melihat antara satu sama lain. Bani Israil akan melihat satu peristiwa yang cukup besar yang akan berlaku di hadapan mereka sebagai tanda mukjizat Nabi Musa yang mereka ikut. Maka Firaun pun telah menyangka bahawa bala bencana yang cukup besar akan menimpanya bersama bala tenteranya. Firaun pun rasa menyesal dengan keangkuhan dan kesombongannya sebelum ini. Tetapi kekesalan di waktu itu sudah tidak berguna lagi. 9 mukjizat besar yang telah ditunjukkan Nabi Musa dihadapan mata kepala Firaun, kesemuanya ditolak begitu sahaja.
Maka penyelasan Firaun yang tidak berguna itu telah juga disaksikan Bani Israil dengan mata kepala mereka senddiri. Justeru, ketika itulah Allah Taala bercakap dengan Nabi Musa dan menyuruh agar Baginda memukul sekali lagi laut yang sedang terbelah itu dengan tongkatnya. Maka Nabi Musa pun terus memukulnya, lalu dua air yang tinggi menggunung di kanan dan kiri Firaun pun bercantum dengan kehendak Allah yang Maha Kuasa. Maka benarlah janji Allah Taala di kala Dia berfirman (وَأَنجَيْنَا مُوسَىٰ وَمَن مَّعَهُ أَجْمَعِينَ * ثُمَّ أَغْرَقْنَا الْآخَرِينَ * إِنَّ فِي ذَ‌ٰلِكَ لَآيَةً ۖ وَمَا كَانَ أَكْثَرُهُم مُّؤْمِنِينَ * وَإِنَّ رَبَّكَ لَهُوَ الْعَزِيزُ الرَّحِيمُ )
Allah Taala yang Maha Berkuasa melakukan sesuatu, menenggelamkan Firaun dan bala tenteranya. Telah berkata Ibnu ‘Abbas : Maka dalam keadaan lemas itu, Allah menggunakan kuasa-Nya mengangkat Firaun ke permukaan air agar peristiwa yang penuh bersejarah itu menjadi penguat semangat dan pengajaran kepada Bani Israil dan umat manusia selepasnya. Dalam masa yang sama Allah ingin memberitahu hamba-Nya bahawa Dia Maha Berkuasa untuk melakukan apa sahaja yang dikehendaki-Nya dan Dia Maha Kuat untuk menghancurkan musuh walaupun musuh itu sekuat Firaun yang ditakuti oleh manusia di zaman itu. Firaun yang dalam keadaan nazak itu telah menyatakan keislaman beliau pada Allah Taala, tuhan yang telah disembah oleh Bani Israil. Tapi tempoh keislaman telah berakhir dengan beradanya nyawa di kerongkong setiap manusia. Maka Allah menjelaskan dalam firman-Nya :

وَجَاوَزْنَا بِبَنِي إِسْرَائِيلَ الْبَحْرَ فَأَتْبَعَهُمْ فِرْعَوْنُ وَجُنُودُهُ بَغْيًا وَعَدْوًا ۖ حَتَّىٰ إِذَا أَدْرَكَهُ الْغَرَقُ قَالَ آمَنتُ أَنَّهُ لَا إِلَـٰهَ إِلَّا الَّذِي آمَنَتْ بِهِ بَنُو إِسْرَائِيلَ وَأَنَا مِنَ الْمُسْلِمِينَ * آلْآنَ وَقَدْ عَصَيْتَ قَبْلُ وَكُنتَ مِنَ الْمُفْسِدِينَ * فَالْيَوْمَ نُنَجِّيكَ بِبَدَنِكَ لِتَكُونَ لِمَنْ خَلْفَكَ آيَةً ۚ وَإِنَّ كَثِيرًا مِّنَ النَّاسِ عَنْ آيَاتِنَا لَغَافِلُونَ

Dan Kami bawakan Bani Israil ke seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah dia (pada saat yang genting itu): Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri (menurut perintah). * (Allah berfirman): Adakah sekarang (baru engkau beriman), padahal sesungguhnya engkau dari dahulu telah kufur derhaka dan engkau telahpun menjadi dari orang-orang yang melakukan kerosakan?. * Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (hai Firaun) terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu (supaya mereka mengambil iktibar). Dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada (memerhati dan memikirkan) tanda-tanda kekuasaan Kami!.

Maka hancurlah Firaun yang sombong dan bongkak itu bersama bala tenteranya dengan Kekuasaan Allah Subhanahu Wa Taala. Ahli Tafsir telah bersepakat mengatakan bahawa Firaun di tenggelamkan Allah pada 10 haribulan Muharram sepertimana Hadith Sahih riwayat Imam Bukhari dan Muslim :

عن إبن عباس رضى الله عنه قال : قدم رسول الله صلى الله عليه وسلم المدينة, واليهودى تصوم يوم عاشوراء, فقالوا : هذا يوم ظهر فيه موسى على فوعون, قال النبى صلى الله عليه وسلم : (أنتم أحق بموسى منهم فصوموا )

Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘Anhu berkata : Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassallam sampai di Madinah, ketika itu orang-orang Yahudi sedang berpuasan. Mereka berkata : Hari ini ( 10 Muharram ) Allah Taala telah meninggikan Nabi Musa ke atas Firaun. Maka Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wassalam pun bersabda kepada para sahabat : Kamu lebih berhak ke atas Nabi Musa, maka berpuasalah ). Sekian…Wallahu ‘Alam..

0 comments: