Followers

Sultan Fuqaha' Izz Abdul Salam

Photobucket

Salam dari perlembahan Nil..

Alhamdulillah, di atara maqam yang penulis dan rakan-rakan sempat menziarahinya pada 3 Januari 2010 yang lalu ialah Maqam Syeikh Izzudin Abdul Salam juga dikenali dengan Izz Abdul Salam yang digelar Sultan Fuqaha'. Sedikit pengenalan ringkas berkenaan Syeikh Izz Abdul Salam ialah :

Nama beliau ialah Izzuddin Abdul Aziz bin Abdul Salam bin Abil Qasim. Dilahirkan di Damsyik, Syria pada tahun 577 H. Sejak mudanya beliau belajar fiqh Syafie daripada Syeikh Ibnu ‘Asakir, Syeikh Syaifuddin Al Ahmad, Hafiz Abu Muhammad Al Qasim dan lain-lain. Beliau menjadi seorang ulama yang besar ketika itu sehingga Ibnu Daqiq menggelarkannya ‘Sultan Fuqaha’ dalam setengah karyanya. Beliau adalah seorang ulama’ yang tidak segan-segan mengatakan yang hak kepada raja-raja yang berkuasa. Ia mengecam sikap Sultan Damsyik Soleh Ismail Al Ayubi kerana bekerjasama dengan kaum Salib. Beliau juga merupakan seorang sufi yang hampir dengan Allah SWT.

KEMULIAAN SIFAT BELIAU
(perlu dicontohi)

Syeikh Izzudin juga terkenal dengan kemurahan dan sifat belas kasihannya. Ketua qadhi Imam Badruddin Ibn Jama’ah menyatakan bahawa ketika Syeikh Izzudin masih berada di Damsyik, kejatuhan harga telah berlaku di pasar. Kebun-kebun juga telah jatuh harganya. Ibu isteri Syeikh Izzudin memberikan satu barang kemas kepadanya untuk dibeli dengannya sebuah kebun agar mereka dapat bermusim panas di dalamnya. Syeikh Izzundin menjual barang kemas tersebut dan disedekahkan kepada fakir miskin.
Kemudian apabila isterinya betanya, adakah kebun itu sudah dibeli? Beliau menjawab “Iya, tetapi di syurga. Saya melihat ramai orang miskin dalam kesempitan, maka saya membelanjakan duit itu ke atas mereka”. Isterinya bersyukur kehadrat Allah kerana amal baik suaminya.

Photobucket
Gambar maqam Syeikh Izz Abdul Salam yg dipercayai pernah dirobohkan oleh pengikut2 Sultan yang memusuhuinya

NASIHAT SYEIKH IZZUDIN ABDUL SALAM

Syeikh Izzudin berpendapat bahawa ilmu dan kefasihan seseorang ulama’ adalah dua senjata yang sepatutnya digunakan sepenuhnyanuntuk berjuang bagi kebenaran. Dalam satu surat kepada sultan, beliau menulis :

“Allah telah mewajibkan kita berjuang untuk agama-Nya. Sebagaimana kamu ada pedang dan tombak untuk senjatamu, maka kami memiliki ilmu dan kefasihan. Sebagaimana kamu tidak patut menyarungkan pedang kamu, begitu juga kami tidak dapat menahan lidah kami dari mengecam ahi bid’ah, penyelewengan, kaum murtad dan golongan fasiq”. Izzudin Abdul Salam berpendapat bahawa para ulama’ wajib rela menghadapi bahaya tatkala menunaikan tugas sucinya menegakkan jalan kebenaran, biarpun apa terjadi. Beliau amat tidak bersetuju dengan ulama’ yang menganggap tidak halal mendedahkan diri sendiri kepada ancaman bahaya yang boleh dielakkan. Tafsirnya mengenai ayat 195 Surah Al Baqarah.

Beliau menguatkan pendapatnya dengan berkata “Membahayakan nyawa sendiri demi meninggikan agama adalah dibenarkan syara’. Orang-orang yang bertubuh tegap telah diperintahkan untuk berjihad pada jalan Allah dan memerangi kaum kafir. Maka halallah mendedahkan diri seseorang kepada bahaya untuk menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar sesuai dengan tuntutan syara’.

Bagaimanapun, apabila ditakuti nyawanya mungkin tergadai dalam usaha itu, maka luputlah perintah wajib itu bagi dirinya, walaupun usahanya itu tetap dipuji. Maka, amatlah salah kalau mereka menganggap tidak halal membahayakan nyawa seseorang bagi tujuan tersebut.

KEWAFATAN SYEIKH IZZUDIN ABDUL SALAM


Beliau wafat pada 9 haribulan Jamadil-Awwal tahun 660 Hijrah ketika berumur 83 tahun. Raja Mesir ketika itu, Al Malik Al Zahir Baybars, menyertai rombongan jenazah Syeikh Izzudin bersama-sama dengan para pembesar Negara yang lain. Raja amat sedih kerana kawafatan Syeikh Izzudin Abdul Salam berlaku dizaman pemerintahannya. Ketika menyaksikan perarakan jenazah yang sedang berlalu diluar tembok istana diraja, Sultan Baybars berkata kepada salah seorang penasihatnya :
“Kerajaan saya tidak akan ke mana-mana kalai orang ini (Syeikh Izz Al Din) memutuskan untuk menentang saya. Sesungguhnya beliau telah menawan jiwa rakyat”.

Justeru, penulis ingin kita semua merenung sejenak, apa sumbangan yang telah kita beri untuk agama Allah ? Sejauh mana sikap kita bertepatan dengan sikap ataupun sifat ulama-ulama ? Bukankah ulama’ itu pewaris kepada Nabi SAW ? Jadi, kenapa kita tidak mencontohi Nabi dengan mengikut para alim ulama’ tersebut ? Fikir-fikirkan….Wallahu A’lam

0 comments: