Followers

Kalimah ALLAH mesti tepat dengan segala sifat dan zat-Nya

Photobucket

Salam mahabbah kepada pengunjung sekalian.

Keputusan Hakim Lau Bee Lan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini yang mengisytiharkan nama "Allah" boleh digunakan oleh agama lain mengundang pelbagai polemik sehingga kepada desakan campurtangan Majlis Raja-Raja. Penulis tidak berhasrat membincangkan isu ini dengan panjang lebar, cukuplah apa yang bakal dijelaskan memberi kefahaman yang jelas kepada semua pihak, insyaAllah.

Pada pandangan penulis isu ini sebenarnya harus dilihat secara rasional, tanpa prejudis dan paling UTAMA berdasarkan hujah dan dalil yang sahih serta Qath'ie. Penulis ingin membincangkan isu ini dari pandangan feqah, yang pertama penulis ingin membawa satu kaedah fiqah yang bermaksud :

“Asal dari semua perbuatan yang mendatangkan manfaat adalah hukumnya harus sehingga mempunyai dalil yang menunjukkan tegahan atau larangan” (Kitab Durarul Bahiyah Fi Idhah Al Qawa’id Al Fiqhiyyah m/s 68)

Persoalan pertama : Adakah dalil yang menunjukkan orang bukan Islam boleh menggunakan kalimah Allah ?

Jawapan : Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Luqman ayat 25 yang bermaksud :

“dan Sesungguhnya jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah Yang menciptakan langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (Wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka Yang demikian - tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat Tauhid dan pengertian syirik)”

Allah SWT berfirman juga dalam Surah Al-Mukminun ayat 86 dan 87 yang bermaksud :

“Tanyakanlah lagi: "Siapakah Tuhan Yang memiliki dan mentadbirkan langit Yang tujuh, dan Tuhan Yang mempunyai Arasy Yang besar?" Mereka akan menjawab: "(Semuanya) kepunyaan Allah". katakanlah: "Mengapa kamu tidak mahu bertaqwa?"

Berdasarkan firman Allah SWT dan kaedah fiqah di atas, ulama’ menyimpulkan bahawa perkataan ‘Allah’ boleh digunakan oleh orang-orang yang tidak Islam. Sekiranya tidak boleh, nescaya Allah tidak akan menggunakan istilah ‘Allah” dalam firman-Nya. Begitu juga sekiranya kalimah ‘Allah’ telah dibersihkan sepertimana jawapan http://jomfaham.blogspot.com/ nescaya Rasulullah SAW yang seluruh kehidupan Baginda sebagai tafsir kepada Al-Quran akan menjelaskan serta menerangkan bahawa kalimah ‘Allah’ dilarang pakai oleh orang-orang tidak Islam. Untuk pembaca mendapat maklumat tambahan sila layari http://episodeperjuangan.blogspot.com/.

Persoalan kedua : Apakah hujah yang tidak membenarkan kalimah ‘Allah’ digunakan oleh orang-orang bukan Islam ?

Jawapan : Sebagaimana jawapan yang telah diberikan oleh http://www.nazrulnasir.blogspot.com/ dan beberapa pendapat lain. Hukum sesuatu perkara juga bergantung kepada ‘Uruf. Oleh yang demikian sebelum hukum sesuatu perkara dijatuhkan, perlulah dibuat soal selidik terlebih dahulu !

KESIMPULANNYA


1- Hukum asal adalah HARUS digunakan oleh orang bukan Islam dengan meletakkan kalimah tersebut sesuai dengan kebesaran dan hak-hak Allah SWT.

2-Hukum akan bertukar kepada HARAM sekiranya :

i)’Uruf disesuatu kawasan tidak membenarkan dengan erti kata sekiranya kalimah ‘Allah’ diguna oleh orang Islam dikawasan tersebut menunjukkan Allah SWT yang Maha Esa dan segala sifat yang wajib bagi Allah ada pada-Nya. Namun apabila ‘Allah’ dikawasan tersebut digunakan oleh orang-orang bukan Islam menunjukkan sifat yang bercanggah dengan sifat wajib bagi Allah, maka hukumnya adalah HARAM.

ii)Sekiranya kalimah ‘Allah’ digunakan oleh orang-orang bukan Islam dibimbangi boleh mendatangkan kerosakan dan kemudharatan sama ada kepada Lafaz tersebut atau umat Islam keseluruhan, maka hukum HARAM boleh disandarkan kepada Sadduz Zaraai’.

iii)Sekiranya orang-orang bukan Islam termasuk orang-orang Islam sekalipun menggunakan kalimah ‘Allah’ dengan niat yang buruk seperti ingin menghina, memperlekehkan dan seumpama dengannya dan tidak menunaikan hak-hak yang sepatutnya, maka hukum penggunaan tersebut adalah HARAM.

Justeru, penulis ingin mengingatkan kepada semua umat Islam agar berhati-hati dengan segala hukum yang berkait rapat dengan urusan agama. Penulis juga menasihatkan supaya rujuk pihak yang SEPATUTNYA bagi mendapatkan jawapan dan ulasan yang lebih terperinci.

Dari sudut perundangan mahkamah pula, dua persoalan yang perlu dilihat dan diselidiki sebelum sesuatu keputusan ataupun hukum dijatuhkan :

Pertama: Apakah skop penggunaan nama Allah dalam THE HERALD? Sekiranya nama Allah dalam artikel mingguan tersebut digunakan bagi tujuan menunjukkan bahawa ia merujuk kepada Tuhan sebenar manusia seluruh alam, maka kita perlu menerimanya. Ia merupakan suatu pengiktirafan terhadap kewujudan Allah SWT. Bukankah Allah adalah Tuhan yang menurunkan Rahmat Seluruh Alam?

Kedua: Sekiranya ia merujuk hanya kepada Allah hanya Tuhan bagi agama mereka disamping kewujudan konsep "Trinity" di dalam THE HERALD dan ia disebar luaskan, maka ia telah termasuk dalam kesalahan penghinaan agama lain dimana Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Perkara 11(4) yang memberikan kuasa kepada negeri-negeri untuk menggubal undang-undang berkaitan penyebaran dakyah agama lain

Dua persoalan ini sudah cukup untuk membuat analisa ringkas tentang keputusan Mahkamah tersebut. Pada hemat saya, umat Islam negara ini perlu dipandu secara jujur dan ikhlas bahawa selagi Allah tidak dihina dan Islam dipijak, maka ruang lingkup perbahasan ilmiah perlu dibuka seluas-luasnya. Sekian..Wallahu A’lam

0 comments: