Followers
Nasihat untuk Menteri Dalam Negeri berkaitan isu kalimah 'ALLAH'.
Assalamualaikum dari perlembahan Nil.
Sebagai seorang yang dalam proses mendalami Ilmu Agama, penulis juga ingin mengambil kesempatan ini untuk memberikan pandangan penulis tentang keputusan Yang Arif Datuk Lau Bee Lan dalam kes penggunaan kalimah Allah di dalam akhbar Herald yang diterbitkan oleh kristian Katholik sekali gus menonjolkan beberapa hero UMNO yang kononnya mempertahankan Islam. Penulis merujuk beberapa orang pengamal undang-undang untuk mendapatkan nasihat perundangan. Bagaimanapun ulasan penulis kali ini hanya dari pespektif undang-undang semata-mata. Penulis memohon agar MDN khususnya dan pembaca sekalian amnya dapat memahami dengan jelas isu ini.
Secara ringkasnya fakta kes tersebut adalah pada 18 Mac 2009 pemohon iaitu Paderi Roman Katholik di Kuala Lumpur iaitu Murphy Pakiam telah memfailkan permohonan semakan kehakiman ( judicial review ) ke atas Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia kerana memutuskan melarang akhbar the Herald dari menggunakan kalimah Allah di dalam penerbitan edisi bahasa Malaysia akhbar itu.
Sebelum ini Kerajaan telah mengisytiharkan bahawa kalimah Allah hanya boleh digunakan oleh orang Islam sahaja dan pihak Kerajaan telah mengecam akan menutup akhbar itu jika ia tidak mengendahkan larangan tersebut .
Dalam samannya ke atas Menteri Dalam Negeri, Paderi Pakiam yang mewakili pihak Herald telah memohon Mahkamah bagi mendapatkan perintah antara lain :
1) Memohon Mahkamah mengisytiharkan bahawa akhbar Herald berhak menggunakan kalimah Allah di dalam penerbitannya dan kalimah Allah tidak hanya ekslusif kepada Agama Islam sahaja.
2) Meminta Mahkamah membatalkan keputusan MDN yang melarang penggunaan kalimah Allah di dalam akhbar the Herald tersebut.
Sepertimana yang dilaporkan di dalam akhbar, pada 30 Disember 2009 yang lalu Hakim Datuk Lau Bee Lan telah memutuskan membenarkan saman Paderi Pakiam dan memutuskan bahawa keputusan MDN yang melarang penggunaan kalimah Allah di dalam akhbar the Herald adalah keputusan yang tidak sah, terbatal dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Di sini penulis ingin menyatakan bahawa seperti para pembaca lain, penulis hanya mengetahui intipati keputusan hakim tersebut dari laporan akhbar sahaja. Dengan anggapan laporan itu adalah benar sepertimana yang dinyatakan oleh hakim tersebut maka penulis ingin mengutarakan beberapa pandangan :-
* Bagi penulis Hakim Lau Bee Lan boleh dipuji kerana keberanian beliau membuat keputusan yang membatalkan keputusan seorang Menteri. Mengapa penulis berkata demikian ? Hujah penulis bersandarkan kepada alasan bahawa jika kita melihat Akta Penerbitan & Mesin Cetak yang digubal oleh Kerajaan BN, Akta tersebut memberikan satu kuasa dan budibicara yang MUTLAK kepada MDN untuk memutuskan membatalkan atau mengenakan sebarang syarat terhadap mana-mana akhbar yang ingin diterbitkan di negara ini.
* Kes yang diputuskan oleh Hakim Lau Bee Lan melibatkan isu Perlembagaan atau secara spesifiknya isu kebebasan beragama. Pengalaman kita melihat kes tiga pelajar dibuang sekolah kerana memakai serban menyakinkan penulis bahawa kes sebegini memang secara relatifnya adalah kes yang boleh dikategorikan sebagai kes “panas” dan pasti merimaskan mana-mana hakim yang ditugaskan mendengar dan memutuskan kes tersebut.
* Secara mudahnya bagi pihak Herald mereka merasakan bahawa sebagai pengganut Kristian di negara ini mereka berhak mengamalkan dan menyebarkan agama mereka seperti yang dijamin oleh Perkara 11 ( 1 ) Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu bagi pihak Herald termasuk hak mengamalkan dan menyebarkan agama itu adalah hak mereka untuk menerbitkan apa sahaja penerbitan yang boleh menjadi alat untuk menyebarkan agama itu. Oleh itu mana-mana tindakan yang boleh mengancam dan menggugat hak tersebut adalah dikira BERTENTANGAN dengan prinsip kebebasan beragama yang dijamin oleh Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.
* Bagi pihak Herald meskipun Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan iaitu ‘menjadikan Islam sebagai agama teras di dalam negara ini’, Perkara 3 itu sendiri tidak menghalang pengganut agama lain untuk mengamalkan agama mereka secara bebas yang boleh ditafsirkan tanpa sebarang gangguan yang tidak munasabah dari mana-mana pihak. Oleh yang demikian pihak Herald merasakan larangan menggunakan kalimah Allah di dalam akhbar itu adalah bercanggah dengan Perkara 11 dan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.
* Penulis seperti pengamal undang-undang yang lain berpendapat keputusan Lau Bee Lan adalah betul di sisi undang-undang dan perlembagaan apabila beliau memutuskan bahawa kalimah Allah tidak terhad atau hanya ekslusif bagi orang Islam sahaja. Penulis berpendapat keputusan itu adalah tidak bercanggah dengan mana-mana ajaran Islam kerana Allah bukan sahaja Tuhan kepada manusia ( Islam dan bukan Islam ) malahan Tuhan kepada seluruh alam. Allah adalah tuhan kepada penghuni syurga dan juga tuhan kepada penghuni neraka.
* Penulis juga berpendapat keputusan Lau Bee Lan yang menyatakan bahawa keputusan MDN yang melarang menggunakan kalimah Allah di dalam akhbar di Herald adalah bercanggah denga hak untuk menyebarkan agama tersebut sepertimana yang dijamin oleh Perkara 11 ( 1 ) adalah juga keputusan yang betul.
* Ini kerana meskipun hak untuk menyebarkan agama adalah terhad kepada orang bukan Islam sahaja, tetapi di dalam kes ini tiada bukti bahawa Herald telah menyebarkan kepada mana-mana orang Islam. Perkara 11 ( 4 ) hanya melarang penyebaran ajaran bukan Islam kepada orang –orang Islam sahaja. Ini bermakna jika akhbar the Herald hanya tersebar kepada orang-orang Kristian sahaja ianya tidak bercanggah dengan Perkara 11 ( 4 ) Perlembagaan Persekutuan.
* Bagaimanapun kebanyakan peguam berpendapat keputusan MDN melarang menggunakan kalimah Allah di dalam akhbar Herald masih boleh dipertahankan jika ianya, meskipun tidak salah di sisi Islam atau di bawah Perkara 11 ( 1 ) dan 11 ( 4 ), masih boleh dikatakan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana berpotensi untuk menjejaskan kenteraman awam ( public disorder ) dan keharmonian agama.
* Justeru, mereka berpendapat sepatutnya Hakim Lau Bee Lan sepatutnya memutuskan bahawa tindakan akhbar the Herald menggunakan kalimah Allah di akhbar itu tidak boleh lari dari sekatan dan halangan Perlembagaan yang dinyatakan di bawah Perkara 11 ( 5 ) Perlembagaan Persekutuan. Perkara 11 ( 5 ) ‘melarang mana-mana amalan agama walaupun kepada amalan agama orang Islam sendiri jika amalan tersebut boleh menjejaslan ketenteraman awam’ ( public disorder ).
* Apabila sesuatu amalan beragama berpotensi menjejaskan ketenteraman awam, isu sama ada amalan itu selari dengan agama atau tidak, tidak lagi timbul. Penulis tidak dapat kepastian sama ada isu perlanggaran kepada Perkara 11 ( 5 ) dihujahkan oleh pihak peguam Kerajaan atau tidak , namun penulis tetap yakin jika kerajaan ingin mengekalkan larangan penggunaan kalimah Allah, satu-satunya hujah yang boleh digunakan adalah Perkara 11 ( 5 ) sebagaimana yang diterangkan pengamal undang-undang tadi.
* Mungkin Kerajaan juga boleh berhujah dengan jaminan kebebasan agama lain selain Islam boleh diamalkan di negara ini yang dilindungi di bawah Perkara 3 ( 1 ) Perlembagaan Persekutuan juga tertakluk amalan tersebut dipraktiskan dengan harmoni dan aman tanpa sebarang perkara yang boleh menjejaskan keharmonian tersebut.
* Hakim Lau Bee Lan menyatakan TIADA sebarang bukti dikemukakan oleh pihak kerajaan bahawa penggunaan kalimah Allah adalah menjejaskan keselamatan negara. Memanglah Mahkamah terikat dengan bukti dan keterangan. Penulis difahamkan dalam proses menafsirkan mana-mana peruntukan perlembagaan, mahkamah tidak harus dikawal oleh bukti dan keterangan semata-mata. Penafsiran perlembagaan tidak sama seperti penafsian mana-mana Akta atau Enakmen.
* Dalam hal ini Hakim Lau Bee Lan seharusnya menafsirkan apa yang dimaksudkan dengan istilah ‘menjejaskan ketenteraman awam’ sebagaimana di dalam Perkara 11 ( 5 ) Perlembagaan Persekutuan. Bagi menafsirkan item tersebut Hakim Lau Bee Lan tidak boleh lari dari memahami KETINGGIAN NILAI kalimah Allah dari perspektif orang Islam yang mana ianya hanya bermaksud Tuhan yang Maha Esa.
Oleh yang demikian, penggunaan kalimah itu di dalam maknanya yang lain sudah pasti berpotensi tinggi mengundang KEMARAHAN orang Islam sekaligus berpotensi mewujudkan satu ancaman kepada KETENTERAMAN AWAM. Orang Kristian TIDAK seharusnya RESAH dan MARAH jika kalimah Allah itu tidak dibenarkan digunakan atas alasan kepentingan awam.
Sebelum ini orang Islam juga pernah dikecewakan dengan larangan amalan beragama kepada wanita Islam iaitu amalan pemakaian purdah oleh kakitangan awam ( kes Halimatusadiah ) di atas alasan menjaga kepentingan awam.
Yang peliknya pada masa itu kita tidak dengar pula mana-mana pemimpin atau hero jalanan UMNO yang bangun mempertahankan isu tersebut. Tapi hari ini ‘mereka’ berkokok mengalahkan ayam jantan yang hendak disembelih !. Sekian.
0 comments:
Post a Comment