Assalamualaikum...
عن عبد الله بن عمرو قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم :
( مَا مِنْ مُسلِمٍ يَمُوْتُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَوْ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ إِلا وَقَاهُ اللهُ فِتْنَةَ اْلقَبْرِ )
أخرجه أحمد فى مسنده
Daripada Abdullah ibni ‘Amru berkata : Rasulullah SAW bersabda : ( Barangsiapa yang meninggal dunia pada hari Jumaat, atau pada malam Jumaat, nescaya Allah akan melindunginya dari azab kubur )
Hari ini kita dikejutkan dengan berita pemergian salah seorang dari rakan seperjuangan kita iaitu Allahyarham Ust Mohd Fauzi bin Azizan. Allahyarham pernah belajar di Maahad Qiraat Syoubra tahun 2005 - 2008. Allahyarham meninggal dunia hari ini (08 Jan 10) selepas solat Jumaat ( jam 2.25 ptg waktu tempatan) di Hospital Selayang akibat dari pendarahan dikepala. Allahyarham berada dalam keadaan koma selama seminggu selepas terlibat dengan satu kemalangan di Chenor pada malam 31 Desember 2009 yang lepas.
Allahyarham merupakan seorang yang sangat disenangi dikalangan rakan-rakan. Sifatnya yang ramah dan mudah bergaul meninggalkan kenangan yang manis dihati teman-teman seperjuangan yang lain. Penulis berasa begitu sebak apabila mendengar berita pemergian Allahyarham. Masakan tidak, Allahyarham banyak membantu penulis sepanjang beliau berada di Mesir. Bantuan dan sumbangan Allahyarham terus dihulurkan kepada penulis sepanjang penulis ditaklifkan sebagai YDP BKMIP bagi sesi 2008/2009.
Penulis bertambah sebak apabila terkenang pengorbanan dan susah payah yang dilalui oleh Allahyarham sepanjang beliau cuba membantu Badan Kebajikan Mahasiswa/I Islam Pahang (BKMIP) menyiapkan akaun BSN persatuan di Malaysia. Masa dan wang ringgit telah dikorbankan semata-mata untuk melihat sebuah persatuan yang menaungi anak-anak Pahang di Mesir berada dalam keadaan yang tetap utuh bagi terus menanungi dan memberi kebajikan kepada rakyat Pahang di Mesir. Usaha dan pengorbanan yang dilakukan akhirnya membuahkan hasil apabila BKMIP berjaya membuka akaun persatuan sendiri.
Allahyarham juga banyak mewakafkan tenaga, wang ringgit dan jiwa raga bagi membantu sesetengah pihak dalam usaha meninggikan Kalimah Allah di muka bumi ini. Segala jasa baik yang pernah dihulurkan khususnya kepada penulis dan BKMIP serta kepada Islam itu sendiri mudah-mudahan Allahyarham sentiasa berada di bawah lembayung Rahmat Ilahi insyaAllah. Penulis bersama rakan-rakan di Mesir ingin mengucapkan Ta’ziah kepada Isteri Allahyarham, Ustazah Sohyatul Akma beserta keluarga yang juga banyak membantu BKMIP dalam meneruskan usaha-usaha menegakkan Islam.
Hanya Allah SWT sahaja mampu membalas segala pengorbanan dan jasa baik yang telah diberikan selama ini. “ Ya Allah, kami bertawassul dengan kekasih-Mu Rasulullah SAW agar engkau ampuni dan rahmati sahabat kami ini yang telah bertemu dengan-Mu. Sekiranya dia orang yang baik, maka Engkau tambahkan kebaikan kepadanya. Andainya dia seorang yang tidak baik, maka Engkau ampunilah dosanya. Sesungguhnya Engkau adalah Tuhan yang Maha Pengampun. Ya Allah, Engkau himpunkalah ruh sahabat kami ini bersama-sama dengan orang-orang yang soleh di dalam syurga-Mu. Ya Allah, Engkau berikanlah kepada sahabat kami ini di atas segala pengorbanan yang kebaikan yang telah diberikan kepada kami dengan balasan yang lebih baik dari sisi-Mu kerana sesungguhnya Engkau adalah Tuhan yang tidak akan sesekali menyia-nyiakan pahala orang-orang yang berbuat baik ”. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.
Moga di akhirat kelak kita akan dikumpulkan bersama. Firman Allah SWT dalam Surah Az-Zukhruf ayat 67 yang bermaksud :
"Teman-teman sejati pada hari itu akan menjadi musuh antara satu sama lain KECUALI orang-orang yang bersahabat atas dasar ketaqwaan "
Al-Fatihah....
1 comments:
takziah buat keluarga beliau..moga rohnya dicucuri rahmat olehNYA dan ditempatkan bersama2 para solihin...
kita jga pasti akn menyusul.....
alfatihah..
Post a Comment