Pada kali ini penulis cuba untuk menjelaskan kepada para pembaca apa yang terlintas di dalam benak pemikiran penulis. Sudah tentu ia masih lagi berlegar disekitar isu yang sedang hangat diperkatakan di sana sini iaitu isu mahkamah membenarkan kalimah ‘Allah’ digunakan oleh The Herald sekali gus mengundang ancaman kepada ketenteraman awam. Yang peliknya, apa ‘hero-hero jalanan’ buat ?
PENDAHULUAN
Merujuk kenyataan Perdana Menteri ‘1Malaysia’, Dato’ Seri Najib Tun Razak yang meminta umat Islam di negara ini bertenang dan tidak terlalu "memanaskan" isu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tersebut jelas sekali menunjukkan bahawa memang "ada udang disebalik batu" terhadap kes ini. Masakan tidak, kemarahan rakyat semakin membara sehingga mencetuskan tindakan diluar kawalan dengan membakar 3 buah gereja (rujuk akhbar 09 Jan 10) oleh mereka yang jahil dan keterlaluan, tu pun Perdana Menteri hanya mampu berkata, ‘kerajaan sedar bahawa isu itu amat sensitif serta menyentuh perasaan umat Islam di negara ini dan kerajaan akan menangani isu itu sebaik mungkin’. Malah Dato Seri Najib mahu rakyat bersikap tenang pada masa ini dan membiarkan perkara ini diselesaikan melalui proses mahkamah. Soalnya sekarang, puak-puak manakah yang begitu "bising" dan "gila meroyan" dengan kes ini ?. Dapat dilihat sekarang, bahawa puak-puak UMNO sahaja yang bagai "cacing kepanasan" dalam memperjuangkan isu ini. Sebaliknya rakyat yang lain hanya melihat dengan penuh kelucuan akan gelagat mereka. Kononnya hanya Melayu UMNO yang mempertahankan Islam di negara ini, walhal sebaliknya merekalah yang telah mencemar serta merosakkan imej Islam itu sendiri.
Kelewatan pihak kerajaan untuk merayu kes ini di Mahkamah Rayuan juga amatlah dikesali dan mengejutkan sebenarnya. Apa tidaknya, dalam kes yang membabitkan agama Islam seperti ini pemimpin UMNO dan kerajaan BN hanya mampu meminta rakyat bersabar atas segalanya. Sedangkan, kerajaan sepatutnya bertindak cepat sepantas kilat untuk memfailkan rayuan kes ini jika mereka benar-benar jujur dan ikhlas ingin mempertahankan kesucian agama Islam itu. Sebaliknya, mereka lebih gemar mengambil sikap tunggu dan lihat selepas beberapa hari kes ini dihebohkan baru-baru ini. Soalnya, kenapa mereka mahu rakyat bertenang dan dalam masa yang sama mengaku UMNO "juara rakyat" dalam memperjuangkan isu agama seperti ini.
TUJUAN ISU INI DIBESARKAN ADALAH UNTUK...
Apa yang jelas dapat dilihat, sememangnya tindakan ini adalah bermotifkan politik semata-mata. Disamping untuk mengalih pandangan rakyat terhadap isu utama yang melanda sekarang iaitu kehilangan enjin J85-21 F5-E, kenaikan harga gula dipasaran dan isu-isu lain, maka mereka memainkan isu "khalimah Allah" ini agar rakyat tertumpu kepada isu berkenaan dan melupakan isu yang lain. Inilah strategi jahat puak-puak UMNO dan BN yang sebenarnya memang tidak jujur dan bertanggungjawab kepada rakyat itu sendiri.
FLASHBACK KES ‘MB HARAM’ PERAK
Sesuatu yang harus kita fikirkan disini ialah kenapa dalam isu politik yang melibatkan kuasa seperti kes Menteri Besar Perak dulu, kerajaan begitu cepat menfailkan rayuan di mahkamah. Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa YAB Ir. Nizar Jamaluddin adalah menteri besar yang sah, maka dengan sepantas kilat kerajaan menfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan yang akhirnya membatalkan keputusan tersebut dan memberi kemenangan "tak bermoral" kepada Zambry Kadir. Kenapa dalam kes kuasa seperti ini mereka lebih "advanced" tetapi dalam isu ‘agama’ yang lebih penting mereka terkebelakang. Apa lagi yang harus difikirkan oleh penyokong-penyokong UMNO sekarang?.
Tu pun mereka mengatakan hanya mereka pejuang Islam sejati. Inikah namanya pejuang sejati ? Sanggup membiarkan mahkamah sewenang-wenangnya membuat keputusan. Inilah bukti jelas yang menunjukkan mereka sengaja mahu mengelirukan rakyat dalam isu agama seperti ini. Sengaja melambat-lambatkan proses rayuan demi kepentingan politik mereka sebenarnya. Ini juga membuktikan puak-puak UMNO sudah ketandusan idea dalam memenangi hati rakyat terutamanya orang Melayu yang beragama Islam. Isu perkauman yang dimainkan selama ini gagal untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepada UMNO. Maka kini isu agama pula dijadikan bahan "eksperimen" mereka. Apakah kita harus tertipu dan terpedaya dengan adegan yang cukup memualkan di tahun baru 2010 ini ?
KENAPA HARUS YA LAU BEE LAN MENGENDALI KES INI ?
Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu juga sebenarnya amat "memeranjatkan" kerana kerajaan membenarkan dan membiarkan seorang hakim yang bukan Islam iaitu Lau Bee Lan untuk mengendalikan dan memutusan keputusan penting ini. Kenapa kerajaan tidak menggunakan kuasa yang ada untuk menukarkan hakim lain yang berbangsa Melayu dan beragama Islam untuk mengendalikan kes ini. Apakah tidak ada hakim beragama Islam yang boleh diarahkan mengendalikan kes seperti ini ? Kenapa membiarkan hakim bukan Islam membicarakan dan membuat keputusan ? Nampak sangat mereka sudah merangka strategi untuk menarik perhatian rakyat terhadap isu ini. Sedangkan dalam isu politik mereka boleh mencaturkan siapakah hakim yang akan mengendalikan kes-kes tertentu. Malah, mereka mahu menampakkan seolah-olah UMNO itu pejuang agama yang sebenar-benarnya. Akhirnya, rakyat yang dibutakan mata dan hati terpengaruh dan percaya dengan taktik kotor mereka. Inilah yang amat dinantikan oleh mereka sebenarnya.
PENUTUP
Justeru itu, kita tidak hairan yang Dato Seri Najib Tun Razak akan melambat-lambatkan proses rayuan ini bagi memberi sokongan yang lebih banyak kepada para ‘pejuang agama’ yang terdiri dari kalangan puak-puak UMNO untuk memainkan isu ini. Tujuannya tetap satu iaitu menawan hati rakyat dengan menjadikan UMNO sebagai pejuang hakiki agama ! Sekian.
0 comments:
Post a Comment