Followers

Kerajaan BN Pahang derhaka kepada KDYMM Sultan ?




Pahang selain memperolehi hasil pembalakan turut dikenali sebagai pengeluar padi, walaupun tidaklah sehebat negeri Kedah yang terkenal dengan jolokan jelapang padi. Di pahang, daerah Rompin pula adalah antara daerah pengeluar terbesar padi. Malahan, daerah Rompin termasuk dalam rancangan jelapang padi negeri yang diistiharkan kerajaan negeri.

Namun tidak ramai yang sedar bahawa para penanam padi di Rompin sekitar Kampung Pianggu, Setajam, Kurnia, Lantang dan Sarang Tiong adalah berasal dari Kedah yang berhijrah sekitar 1970-an bagi menyahut seruan kerajaan pusat dan negeri dalam penggalakan penanaman padi disamping skim pemulihan tanah terbiar. Hasilnya, kawasan yang dahulunya hutan belantara, diterokai menjadi sawah padi sejauh saujana mata memandang. Kerajaan negeri pula saban tahun menjanjikan pemberian geran hakmilik kepada para pesawah, tetapi ia umpama menunggu buah yang tidak gugur. Paling memeritkan, pesawah yang mengusahakan tanah ini sekian lama, tetapi Lesen Menduduki Sementara (TOL) tanah tersebut diberikan kepada orang lain yang tidak pernah mengusahakan tanah tersebut. Walaupun bukan Geran yang diberikan tetapi pemberian TOL kepada orang lain amat memberikan kesan kepada pesawah.

Hampir 200 pesawah mengalami masalah nama ditindih oleh pihak ketiga. Paling malangnya, TOL diberikan kepada pemimpin UMNO setempat dan Pengerusi JKKK. Ketiadaan TOL mengakibat pesawah tidak akan memperolehi subsidi padi dan baja, disamping berhadapan tindakan pengusiran pada bila-bila masa oleh kerajaan. Sudahlah mereka ini tidak dilengkapi kemudahan asas seperti bekalan air bersih di sesetengah kampung di sini, masa depan anak cucu mereka tidak terjamin setelah mereka tiada lagi tanah untuk didiami di negeri asal mereka.

Tanggal 22 April 2009 seolah-olah tarikh keramat kepada penduduk di sini, apabila KDYMM SultanHaji Ahmad Shah mencemar duli menyerahkan bantuan kepada mangsa ribut di sini, dimanfaatkan sepenuhnya para pesawah untuk menyuarakan masalah yang dideritai mereka selama ini iaitu isu hakmilik ini. Amat menggembirakan apabila Tuanku berkenan agar isu Geran ini diselesaikan dan Geran diberikan dalam masa 2 bulan dari hari tersebut. Perkara ini dipersetujui dan pihak Kerajaan negeri melalui Pegawai Daerah dan Ahli Parlimen Rompin. Tuanku juga memaklumkan bahawa baginda akan datang pada bulan September 2009 untuk menyerahkan Geran Hakmilik.

Namun hingga ke hari ini, bukan sahaja geran tidak diperolehi, malah tiada langsung khabar berita sama ada ia diproses ataupun tindakan ukur tanah dibuat. Pada 12/1/2010 baru-baru ini, para pesawah nekad untuk bangkit menuntut hak mereka. Tindakan pertama mereka adalah mengadakan perhimpunan aman di Kampung Setajam yang berjaya mengumpul hampir 500 orang pesawah.

Tindakan ini adalah langkah pertama. Sekiranya tiada sebarang tindakan, para pesawah akan menghantar memorandum kepada Menteri Besar Pahang dan Ahli Parlimen Rompin. Namun sekiranya terus berdegil, mereka akan mengorak langkah memohon pertemuan dengan KDYMM Sultan Pahang sebagi payung kerajaan Pahang. Para pesawah tidak akan teragak-agak membawa perkara ini ke Mahkamah sekiranya Kerajaan Pahang terus angkuh dengan para pesawah ini.

Penulis tidak nafikan bahawa para pesawah bukanlah penduduk asal Negeri Pahang. Tetapi mereka tetap rakyat Malaysia dan bukan menceroboh kawasan tanah milik penduduk tetapi datang kerana "jemputan" kerajaan negeri dan dasar kerajaan Pusat. Namun ia bukanlah lesen untuk menafikan hak mereka untuk mendiami tanah di negeri ini. Mereka punyai merit. Mereka hanya mahukan beberapa ekar setiap pesawah untuk memilik tanah sebagai tanda penghargaan usaha mereka. Kenapa kerajaan boleh bertoleransi dalam pemberian tanah ratusan ekar kepada tokeh-tokeh besar termasuk bukit kepada tokeh besar cina sedangkan rakyat Bumiputera merempat di bumi sendiri.

Cuma satu harapan penulis pada seluruh rakyat Malaysia, saksikanlah betapa biadapnya kerajaan BN Pahang walaupun diarahkan KDYMM Tuanku Sultan Pahang untuk menyerahkan Geran kepada pesawah namun masih degil berbuat demikian. Sudahlah wakil rakyat yang dipilih berada jauh nun di US. Kerajaan negeri pula buat-buat tak kisah. Nasib..nasib..lain kali undilah lagi UMNO !

0 comments: