Salam Maal hijrah...
Salah satu peristiwa yang berlaku pada tanggal 10 Muharram ialah PENCIPTAAN NABI ADAM (ABUL BASYAR) AS
Tarikh telah mencatatkan ketika Allah SWT ingin menciptakan manusia, Allah mengutuskan Malaikat Jibril ke bumi untuk mengambil tanah dibumi untuk dijadikan manusia. Sesampainya Jibril di bumi maka berkatalah bumi “Aku berlindung kepada Allah dan engkau (Jibril) daripada mengambil dan mengurangi aku”. Maka Jibril pun kembali menemui Allah SWT tanpa membawa tanah dan menceritakan kepada Allah bahawa bumi berlindung kepada Engkau (Allah) dan aku supaya aku tidak mengambilnya. Kemudian Allah ‘Azzawajalla mengutuskan pula malaikat Mikail untuk mendapatkan tanah dibumi untuk dijadikan makhluk bernama manusia. Maka turunlah Mikail ke bumi dan kembali semula mengadap Allah tanpa membawa tanah seperti malaikat Jibril.
Kemudian Allah SWT menghantar Malaikat Maut pula untuk mengambil tanah di bumi bagi menciptakan makhluk-Nya. Apabila sampai sahaja Malaikat Maut ke bumi maka bumi berkata “Aku berlindung kepada Allah dan engkau daripada mengurangi dan mengambil aku”. Kemudian Malaikat Maut pula menjawab “Aku berlindung juga kepada Allah untuk kembali menemui-Nya tanpa melakukan suruhan-Nya. Maka Malaikat Maut pun mengambil tiga jenis tanah iaitu tanah putih, merah dan hitam di tiga tempat berbeza-beza. (dan kerana itulah manusia berlainan warna kulit walaupun asal dari satu keturunan). Maka Allah SWT mencampurkan tanah-tanah tersebut dan membentuk makhluk-Nya yang bernama Adam AS kemudian Allah berfirman kepada para malaikat dalam Surah Shaad ayat 71 yang bermaksud :
“……”Sesungguhnya Aku menciptakan manusia dari tanah”.
Allah SWT menciptakan jasad Adam AS daripada tanah dan membiarkan seketika sebelum ditiupkan roh kedalam jasad tersebut. Selepas berlalunya 40 tahun maka Allah meniupkan ruh-Nya ke dalam jasad Adam AS. Apabila ruh tersebut masuk sahaja ke bahagian kepala maka Nabi Adam terbersin. Berkata para malaikat kepada Adam “ucaplah Alhamdulillah”, maka Nabi Adam pun mengucap Alhamdulillah. Lantas Allah menjawab “Tuhan engkau merahmati engkau”.
Apabila ruh yang ditiupkan itu sampai ke bahagian mata, maka mata terus celik melihat-lihat syurga. Dan apabila ruh memasuki rongga perut, maka perut merasa lapar untuk diisi makanan. Akhirnya ruh sampai ke kedua-dua belah kaki lalu kaki tidak sabar-sabar terus saja berjalan meninjau-ninjau syurga. Berfirmanlah Allah kepada para malaikat-Nya dalam Surah Al-Anbia’ pangkal ayat 37 yang bermakna :
“Manusia telah dijadikan dengan bertabiat tergesa-gesa………”.
Selepas Allah SWT selesai meniupkan ruh kedalam jasad adam AS, maka Allah berfirman kepada Malaikat dalam Surah Al-Baqarah ayat 34 yang bermaksud ;
“dan ingatlah ketika Kami berfirman kepada malaikat : Sujudlah kepada Adam ! maka sujudlah mereka kecuali Iblis….”
Inilah manusia pertama yang diciptakan oleh Allah Taala sendiri dengan tujuan penghambaan dan pengabdian hanya kepada-Nya semata-mata. Manusia yang mulia ini diciptakan dengan ketinggian 60 hasta dan menjadi khalifah di atas muka bumi ini selama 960 tahun. Nabi Adam AS diwafatkan ketika usia Baginda mencecah seribu tahun dan dikapankan dengan kain kapan yang dihantar oleh Allah daripada syurga. Wallahu A’lam..
0 comments:
Post a Comment