Sepanjang sejarah manusia, di sana sini terdapat tokoh-tokoh yang telah mempengaruhi pemikiran dan kehidupan manusia. Walau pun mereka telah menginggalkan kesan-kesan tertentu dalam sebahagian sudut kehidupan manusia, ajaran atau falsafah yang mereka bawa membiarkan sudut-sudut lain terluang kosong dan tidak diberi perhatian.
Di sinilah bezanya Rasulullah Sebagai rasul yang terakhir membawa risalah dan perjuangan yang telah mempengaruhi serta merubah cara hidup manusia secara menyeluruh. Risalahnya bersifat syumul, memberi panduan bagi manusia bagi setiap masa dan ruang lingkup kehidupan mereka. Tidak terdapat sebarang ruang pun di dalam kehidupan manusia yang dibiarkan tanpa panduan dan bimbingan risalahnya.
Kesan kekuatan risalah Islam yang berteraskan akidah telah membolehkan Rasulullah membina satu generasi yang kukuh. Mereka itu adalah generasi para sahabat. Generasi itu lah yang mendokong ajaran yang dibawanya. Mereka juga adalah generasi yang istimewa dalam Islam dan sejarah kemanusiaan seluruhnya. Generasi ini yang pertama dan terakhir walaupun beberapa individu dan tokoh tertentu di sepanjang sejarah, tetapi tidak lahir bagi segolongan besar manusia.
RASULULLAH S.A.W PEMBELA DAN PEMBEBAS UMMAH
Sebelum kedatangan Baginda, dunia diselubungi kegelapan jahiliyyah. Kepercayaan syirik dan penyembahan kepada ilah-ilah palsu telah menggugat asas tamadun masa itu. Pihak berkuasa solah-olah tuhan. Ahli-ahli agama dan orang-orang kaya saling bantu membantu dengan memerintah untuk menindas dan memeras orang miskin. Masa itu, manusia meraba-raba dalam kegelapan mencari cahaya yang boleh menjadi panduan kehidupan. Kitab-kitab dan ajaran lama telah diabaikan dan telah ditikok tambah mengikut jitarasa pihak tertentu.
Di dalam kegawatan itu, muncullah pembela dan cahaya kepada kehidupan manusia iaitu rasul utusan Allah Rabbul Alamin, Muhammad bin Abdullah. Kehadiran baginda membawa risalah tauhid telah merubah pemikiran dan pandangan manusia. Rasulullah pembela umat yang selama ini tidak dapat bimbingan selain kearah kehancuran semata-mata. Dengan risalah tauhid yang dibawa,Baginda telah menjawab persoalan-persoalan pokok yang tidak terjawab sebelum ini. Nah..jadilah mereka semua seperti baru dilahirkan.
فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا ۚ فِطْرَتَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا ۚ لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ
“Maka hadapkanlah wajahmu dengan Ad-deen (Allah) secara lurus. Tetapkanlah atas fitrah Allah yang telah menjadikan kamu menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. Itulah Deen yang lurus akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya”
Ar-Rum : 30
Melalui perubahan yang menyeluruh inilah, Rasulullah telah membebaskan manusia daripada belenggu syirik kepada pengabdian diri kepada Yang Maha Pencipta. Rasulullah menghancurkan berhala-berhala syirik dengan senjata akidah dan kemudian melenyapkan segala manifestasi penyembahan berhala-berhala tersebut di alam nyata. Demikianlah Rasulullah s.a.w penghulu seluruh nabi, pemimpin golongan muhajid, pembebas serta pembela umat manusia sejagat dan pemberi rahmat ke seluruh alam.
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ
“Dan tidaklah kami mengutuskan kamu (Wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat sekalian alam”
Al-Anbia’ : 107
PERUBAHAN MASYARAKAT DAN MADRASAH RASULULLAH
Rasulullah s.a.w memulakan tugasnya dengan menerangkan ‘makrifatullah’ kepada kaum musyrikin mekah ketika itu. Baginda tidak memulakn perjuangannya dengan melakukan pembelaan terhadap golongan bawahan yang tertindas, Baginda tidak memulakan dengan bangkit membawa panji-panji kebangsaan bangsa arab demi merebut kekuasaan dari bangsa-bangsa lain didunia. Tetapi Rasulullah s.a.w datang dari awal lagi membawa kalimah yang satu :-
Ini adalah kerana masalah pokok yang menyebabkan berlakunya segala penyelewengan dalam masyarakat dunia ialah masalah pegangan. Segala penyelewengan, penindasan dan penyembahan tuhan-tuhan yang lain adalah berpunca dari penyakit akidah. Manusia telah dikuasai oleh hawa nafsu, dipimpin oleh syaitan dan diperhambakan oleh sesame manusia. Manusia telah hilang tempat tumpuan dan matlamat pengabdian, tempat perlindungan, kecintaan dan perhambaan. Manusia telah memilih hawa nafsu dan syaitan sebagai pemimpin serta menumpukan ketaatan kepada tuhan selain Allah. Dengan kalimah “Lailahaillah’ semua berhala-berhala penyembahan dipecahkan. Dengan kalimah itu juga menjadi penghalang kepada kesesatan hawa nafsu. Kalimah yang dibawa itu juga telah menetapkan satu garis pemisah yang jelas antara keimanan dan kekufuran dan di antara kebenaran dan kebatilan.
Perjuangan yang dipimpin oleh Rasulullah s.a.w. secara jelas, menerangkan sifat-sifat masyarakat yang perlu ditegakkan, jalan-jalan pencapaian kearah tertegaknya msyarakat tersebut terhadap masyarakat yang tidak mendokong serta menentang perjuangan Islam.
Namun, Rasulullah mempunyai caranya yang tersendiri, itulah cara yang dikehendaki Allah.
أَلَا يَعْلَمُ مَنْ خَلَقَ وَهُوَ اللَّطِيفُ الْخَبِيرُ
“Apakah Allah yang menciptakan itu tidak mengetahui ? sedangkan Dia Yang Maha Halus lagi Maha Mengetahui”
Al-Mulk : 14
Rasulullah tampil kepada kaum musyrikin Mekah dan menyatakan dengan tegas :
“Hai manusia ! aku adalah utusan Allah kepadamu, dengan seruan agar kamu sekalian mengabdikan diri kepada-Nya dan tidak mempersekutukan-Nya denagn apa jua, sesungguhnya berhala-berhala itu adalah permainan syaitan dan batil belaka, kerana tidak dapat memberi mudharat dan manfaat”
Perjuangan Rasulullah telah diasaskannya melalui madrasahnya secara tersendiri. Di dalam madrasah tersebut terdapat beberapa penekanan terhadap unsure-unsur yang utama antaranya :-
1. Pembentukan sebuah gerakan.
Di dalam perjuangan Rasulullah s.a.w tetap teguh kepada dasar-dasar yang telah ditetapkan Allah. Baginda tidak bertolak-ansur terhadap perkara yang berkaitan dengan rububiyyah dan uluhiyyah Allah. Rasulullah mengetahui orang-orang yang menerima seruannya akan membantunya. Baginda juga penuh sedar bahawa orang-orang yang menolak seruannya pasti akan bangkit menentangnya dan menghalang orang ramai daripada mendengar dan mengikuti seruan yang dibawanya.
Pertentangan antara kebenaran dan kebatilan pasti mengambil langkah pertembungan dua golongan yang berpegang teguh kepada keyakinan masing-masing.
Untuk menghadapi pertembungan ini, Rasulullah s.a.w. telah menubuhkan sebuah gerakan yang terdiri daripada orang-orang yang beriman dengan seruannya dan sanggup mempertahankan risalah tauhid bersama-samanya. Bagi orang-orang yang mengikutinya, Rasulullah s.a.w telah menanamkan dengan lebih teguh lagi pengertian dan tuntutan “risalah tauhid”, membersihkan hati-hati mereka daripada saki baki jahiliyyah, diisi jiwa mereka dengan roh ketaqwaan kepada Allah yang dihidupkan semangat mereka dengan denyutan nadi perjuangan untuk mempertahankan akidah suci daripada sebarang gangguan dan halangan.
Firman Allah Taala :
هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي الْأُمِّيِّينَ رَسُولًا مِّنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِن كَانُوا مِن قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ
“Dialah yang mengutuskan kepada kaum yang buta huruf seorang rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajar mereka kitab dan hikmah. Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata”
Al-Jumuah : 2
2. Membebaskan manusia daripada sebarang perhambaan
Melalui gerakan yang ditubuhkan, Rasulullah s.a.w melancarkan dakwah kepada masyarakat dengan lebih meluas dan terbuka. Orang-orang yang menyertainya telah disediakan terlebih dahulu dengan bekalan supaya mampu melaksanakan ‘ amal makruf dan nahi mungkar’. Mereka ini lah yang merupakan manusia yang membuktikan golongan penentang-penentang risalah tauhid bahawa keimanan dan i’tiqaq tidak dapat di atasi oleh sesuatu pun. Sama ada halangan yang dikenakan terhadap mereka dalam bentuk penyiksaan, penderitaan, pemulauan, kelaparan atau kebuluran, namun, akidah yang telah tersimpul tidak mungkin dan tidak dapat dirungkaikan kembali.
Demikianlah barisan pendokong-pendokog akida tauhid yang turut sama-sama membantu Rasulullah s.a.w dalam menegakkan kebanaran. Mereka berjuang habis-habisan menyeru manusia kepada Allah. Barisan mukmin ini menuntut bahawa manusia manjadikan hanya Allah pusat pengabdian mereka, tumpuan kepatuhan mereka dan curahan harapan dan kecintaan mereka. Golongan solehin ini tidak rela melihat manusia memperhambakan diri mereka sesama manusia dengan mematuhi segala undang-undang dan peraturan yang dihasilkan oleh akal fikiran manusia yang terbatas. Di dalam madrasah Rasulullah terlalu ketara dan menonjol sekali suasana kebencian para mukmin terhadap golongan yang cuba memperhambakan manusia lain dengan kedudukan dan kebesaran yang mereka miliki. Golongan solehin juga amat membenci sebarang perhambaan kepada sesuatu selain Allah sama ada dalam bentuk perhambaan terhadap hawa nafsu, pengaruh syaitan ataupun warisan nenek moyang yang lapuk dan menyesatkan. Gerakan yang dipimpin oleh Rasulullah s.a.w ini mempunyai satu azam yang sangat tinggi iaitu membebaskan manusia daripada sebarang perhambaan : Firman Allah Taala :-
قُلْ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ مِّثْلُكُمْ يُوحَىٰ إِلَيَّ أَنَّمَا إِلَـٰهُكُمْ إِلَـٰهٌ وَاحِدٌ ۖ فَمَن كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلًا صَالِحًا وَلَا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا
“Katakanlah ‘sesungguhnya aku seorang hamba seperti kamu dan Allah mewahyukan kepadaku; Bahawa sesungguhnya tuhan kamu itu adalah yang maha Esa, barangsiapa yang mengharap perjumpaan terhadap tuhannya, maka hendaklah dia mengerjakan amal soleh dan janganlah ia mempersekutukan Allah dengan sesuatu pun”
Al-Kahfi : 110
3. Berjuang untuk merebut kekuasaan dari golongan kuffar
Rasulullah telah dianugerahkan oleh Allah dengan kesedaran social dan kebolehan untuk mengatur satu rangka proses perubahan yang menyeluruh. Baginda arif tentang kuasa-kuasa dan anasir-anasir yang mempengaruhi masyarakat. Baginda sentiasa memerhatikan golongan yang memegang teraju kekuasaan dan pemerintahan di dalam masyarakatnya. Ayat-ayat Al-Quran yang disampaikan oleh Baginda kepada golongan jahiliyyah sering mempersoalkan kewibawaan mereka, mengkritik, dan mencabar sistem jahiliyyah yang didokong oleh golongan yang berkuasa di Mekah. Firman Allah Taala :
إِنَّكُمْ وَمَا تَعْبُدُونَ مِن دُونِ اللَّهِ حَصَبُ جَهَنَّمَ أَنتُمْ لَهَا وَارِدُونَ
“Sesungguhnya kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah adalah umpan jahannam, kamu pasti masuk kedalamnya”
Al-Anbia’ : 98
Rasulullah sedar bahawa pucuk pimpinan yang zalim akan mencegah usahanya dan membelenggu pemikiran dan pertumbuhan umat manusia. Keadaan ini akan menyekat pertumbuhan dakwah Islamiyyah serta menghalang perubahan cara hidup umat golongan tertentu yang mnelihat potensi perjuangan Baginda. Maka mereka menawarkan kerjasama dengan syarat Rasulullah menyerahkan kekuasaan kepada mereka apabila mereka telah berjaya menundukkan penentang-penentang risalah tauhid ini. Lalu Baginda menjawab melalui firman Allah Taala :
قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَن تَشَاءُ وَتَنزِعُ الْمُلْكَ مِمَّن تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَاءُ ۖ بِيَدِكَ الْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
“Katakanlah : Wahai Tuhan Yang Mempunyai Kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa di atas sesuatu”
Ali Imran : 26
Bagi Rasulullah kekuasaan bukanlah untuk dirinya sendiri. Tetapi kekuasaan ini diperlukan untuk amar makruf dan nahi mungkar dan menjalankan hukum Allah. Bagi Rasulullah kekuasaan bukanlah matlamat perjuangan. Seandainya ditakdirkan Baginda diwafatkan oleh Allah sebelum Baginda memegang tampuk kekuasaan sekali pun, tugas dan kedudukannya sebagai Rasulullah tidak sedikit pun terjejas. Tetapi sebagai mana yang dikehendaki oleh Allah Yang Maha Mengetahui, merebut kekuasaan adalah satu wasilah yang penting untuk menegakkan hukum-hukum Allah dikalangan manusia. Malah, merebut kekuasaan dari golongan kufur kepada Allah dan durjana adalah satu kemestian bagi mengelakkan manusia daripada dipimpin kejurang kebinasaan di dunia ini dan azab yang berkekalan di akhirat nanti.
Hanya melalui kekuasaan Islam sahajalah maka keadilan dapat ditegakkan dan membolehkan manusi seramai mungkin kembali mengabdikan diri kepada Allah, Yang Menciptakan Mereka. Firman Allah Taala :
هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ
“Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan Deen yang benar agar Dia memenangkannya atas segala agama yang lainnya meskipun orang-orang musyrik yang membenci”
As-Saff : 9
4. Rasulullah s.a.w dengan generasi Al-Quran
Teras kepada pembinaan gerakan yang dibentuk oleh Rasulullah s.a.w adalah Al-Quran. Darinya lahir satu generasi yang dinamakan Generasi Al-Quran. Al-Quran sebagai sumber panduan mereka, perjalanan hidup mereka, dan gerak geri mereka. Ini bukanlah kerana dunia dan tamadun manusia ketika itu ketandusan sesuatu yang boleh mereka anggap sebagai panduan dan pegangan. Malah disana terdapat beberapa kerajaan gergasi pada masa itu yang berpegang kepada warisan-warisan kuno Yunani dan Parsi.
Perkara yang paling pokok dalam permasalahan ini ialah Rasulullah s.a.w hanya bermaksud dan mengarahkan generasi ini supaya berpandukan Al-Quran sebagai sumber panduan hidup dan perjuangan mereka. Rasulullah s.a.w bertujuan untuk membentuk satu generasi yang bersih hatinya, bersih pemikirannya, bersih pandangan hidupnya, bersih perasaannya dan murni jalan hidupnya daripada segala unsur selain landasan rabbani yang terkandung dalam Al-Quran Al Karim.
Dalam masa yang sama, para sahabat pula taat sepenuhnya kepada perintah Rasulullah s.a.w dan tidak mencari sesuatu yang tidak diperintahkan oleh Baginda. Mereka menerima panduan hanya dari Al-Quran, mempelajarinya dengan penuh minat, menghayati seluruh ajaran-ajarannya dan bangkit berjuang untuk menegakkan tuntutan-tuntutannya. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
“Para sahabatku adalah amanah untuk umatku”
5. Generasi Al-Quran dan cirri-cirinya
Allah menyifatkan para sahabat Rasulullah s.a.w dalam firman-Nya :
مُّحَمَّدٌ رَّسُولُ اللَّهِ ۚ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ ۖ تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا ۖ سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِم مِّنْ أَثَرِ السُّجُودِ ۚ ذَٰلِكَ مَثَلُهُمْ فِي التَّوْرَاةِ ۚ وَمَثَلُهُمْ فِي الْإِنجِيلِ كَزَرْعٍ أَخْرَجَ شَطْأَهُ فَآزَرَهُ فَاسْتَغْلَظَ فَاسْتَوَىٰ عَلَىٰ سُوقِهِ يُعْجِبُ الزُّرَّاعَ لِيَغِيظَ بِهِمُ الْكُفَّارَ ۗ وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ مِنْهُم مَّغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمً
“Muhammad itu utusan Allah dan orang yang bersama dengannya adalah tegas terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka. Kamu lihat mereka rukuk dan sujud mencari kurnia Allah dan keredhaan-Nya , tanda mereka nampak pada muka mereka dari bekas sujud. Demikianlah sifat-sifat mereka dalam Taurat dan Injil iaitu seperti tanaman yang mengeluarkan tunasnya, maka tunas itu menjadi pokok, tnaman itu kuat lalu ia menjadi besar dan tegak dan lurus di atas pokoknya, tanaman itu menyenangkan hati penanam-penanamnya kerana Allah hendak menjadi kan hati orang-orang kafir dengki (dengan kekuatan orang-orang mukmin). Allah menjanjikan kepada orang-orang beriman dan mengerjakan amal soleh di antara mereka keampunan dan pahala yang besar”
Al-Fath : 29
Di antara ciri-ciri para sahabat yang dengan merekalah terasasnya generasi Al-Quran yang unggul ialah :
1. Kekuatan akidah
Ciri utama yang paling menonjol hasil daripada pembentukan akidah yang dilakukan oleh Rasulullah terhadap para sahabat ialah keteguhan iman dan kekuatan akidah. Usaha Rasulullah terhadap permasalahan pembentukan akidah iman ini dilakukan dengan gigih, berterusan dan tanpa tolak ansur.
Kesan daripada pembentukan iman itu telah melahirkan manusia yang mengenal dirinya sebagai hamba Allah. Dari pembentukan ini, lahirlah manusia-manusia yang meletakkan seluruh hidupnya dan matinya untuk mentaati perintah-perintah Allah. Mereka takut hanya pada Allah dan tidak takut kepada manusia sekiranya itu akan membawa kemurkaan Allah. Mereka sanggup menghadapi kemurkaan manusia dan kesan-kesan buruk kejahatan manusia asalkan mendapat keredhaan Allah. Sifat mereka ini telah disebut di dalam Al-Quranul Karim :
الَّذِينَ يُبَلِّغُونَ رِسَالَاتِ اللَّهِ وَيَخْشَوْنَهُ وَلَا يَخْشَوْنَ أَحَدًا إِلَّا اللَّهَ ۗ وَكَفَىٰ بِاللَّهِ حَسِيبًا
“Mereka takut kepada-Nya sahaja dan mereka tidak takut kepada sesiapa pun selain Allah”
Al-Ahzab : 39
Mereka yakin bahawa mereka tidak perlu bersandar kepada kekuatan-kekuatan selain Allah. Bagi mereka, kekuatan Allah adalah kekuatan terbesar yang paling kekal. Kekuatan Allah mencukupi kekuatan semua hamba-hamba-Nya. Firman Allah s.w.t :
أَلَيْسَ اللَّهُ بِكَافٍ عَبْدَهُ ۖ وَيُخَوِّفُونَكَ بِالَّذِينَ مِن دُونِهِ ۚ وَمَن يُضْلِلِ اللَّهُ فَمَا لَهُ مِنْ هَادٍ
“Bukankah Allah itu mencukupi keperluan hamba-Nya ? dan mereka menakut-nakutkan kamu dengan sesuatu selain Allah. Dan siapa yang dibiarkan sesat oleh Allah maka tiadalah dia akan memperolehi pemimpin yang akan memimpinnya”
Az-Zumar : 36
Firman Allah Taala lagi :
إِن يَنصُرْكُمُ اللَّهُ فَلَا غَالِبَ لَكُمْ ۖ وَإِن يَخْذُلْكُمْ فَمَن ذَا الَّذِي يَنصُرُكُم مِّن بَعْدِهِ ۗ وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ
“Jika Allah menolong kamu, nescaya tiada yang dapat mengalahkan kamu. Dan jika Dia membiarkan kamu, siapakan yang dapat menolong kamu selain daripada-Nya ? dan kepada Allah hendaklah orang-orang yang beriman itu bertawakkal”
Ali Imran : 160
Mereka tidak dapat di takut-takutkan dengan kerugian, kesakitan, kekalahan atau kematian sekalipun. Segala ancaman-ancaman yang cuba menghalang mereka daripada terus berjuang di jalan Allah sebenarnya tambah meningkatkan lagi keimanan dan tawakal mereka kepada Allah. Firman Allah :
الَّذِينَ قَالَ لَهُمُ النَّاسُ إِنَّ النَّاسَ قَدْ جَمَعُوا لَكُمْ فَاخْشَوْهُمْ فَزَادَهُمْ إِيمَانًا وَقَالُوا حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ * فَانقَلَبُوا بِنِعْمَةٍ مِّنَ اللَّهِ وَفَضْلٍ لَّمْ يَمْسَسْهُمْ سُوءٌ وَاتَّبَعُوا رِضْوَانَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ ذُو فَضْلٍ عَظِيمٍ
“Beberapa orang telah berkata kepada mereka : Sesungguhnya orang ramai telah mengumpulkan kekuatannya untuk melawan kamu. Sebab itu takutlah kepada mereka. Tetapi ucapan itu menambahkan kekuatan mereka dan mereka menjawab : Cukuplah Allah menjadi penolong kami dan Pelindung yang sebaik-baiknya , mereka kembali dengan memperolehi kurnia dan pemberian Allah. Mereka tidak mendapat apa-apa bencana, mereka mengikuti keredhaan Allah, dan sesungguhnya Allah mempunyai kurniaan yang besar”
Ali Imran : 173-174
Allah berfirman lagi :
وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ ۚ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا
“Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah , nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya”
At-Talaq : 3
Dan bagi mereka Allah jualah tempat mereka mengadu dan menyerah segala-galanya. Firman Allah Taala :
“Katakanlah :tiada yang menipa kami melainkan apa yang telah ditakdirkan Allah ke atas kami, Dialah pelindung kami dan hendaklah orang-orang yang beriman itu menyerahkan diri kepada Allah”
At-Taubah
Kekuatan akidah mereka berteraskan apa yang telah dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w.
( Peliharalah Allah, Dia akan peliharan kamu. Peliharalah Allah, kamu akan mendapati-Nya bersama kamu. Kalau kamu meminta sesuatu, mintalah kepada Allah. Jika kamu meminta pertolongan mintalah pertolongan Allah. Ketahuilah jika seluruh umat Islam berkumpul untuk memberi manfaat kepadamu kecuali apa yang ditulis oleh Allah kepadamu dan sekiranya umat berhimpun untuk melakukan bencana ke atasmu kecuali apa yang telah dituliskan Allah ke atasmu. Kalam telah diangkat dan kertaspun telah kering )
Kekuatan akidah inilah yang menjadi sumber kepada kekuatan-kekuatan lain di dalam generasi Al-Quran. Di dalam semua bidang kehidupan, baik dalam ketinggian akhlak ataupun di dalam ketahanan ketenteraan, merekalah umat yang paling tertonjol dalam tamadun manusia ketika itu. Hakikat kekuatan ini berpusat dalam jiwa iaitu kekuatan iman, tidak kepada bilangan. Firman Allah Taala.
كَم مِّن فِئَةٍ قَلِيلَةٍ غَلَبَتْ فِئَةً كَثِيرَةً بِإِذْنِ اللَّهِ
“Beberapa banyaknya kumpulan kecil dapat mengalahkan kumpulan besar dengan izin Allah”
Al-Baqarah : 249
2. Berpegang teguh dan bersikap tegas dengan prinsip.
Hasil daripada kekuatan akidah, maka lahirkan orang-orang yang berpegang teguh pada dasar-dasar yang mereka perjuangkan. Mereka pertahankan dasar-dasar itu dengan penuh cemburu dan tidak rela ianya ditolak ansurkan. Mereka sanggup berpisah dengan orang-orang yang mereka kasihi dan mengasihi mereka sekiranya orang-orang tersebut menjadi penghalang dalam mereka mencintai Allah dan rasul-Nya.
Firman Allah Taala :
قُلْ إِن كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُم مِّنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّىٰ يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ ۗ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ
“Katakanlah : sekiranya bapa-bapa, anak-anak, saudara saudari, isteri-isteri, kaum keluarga, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiaannya, dan rumah-rumah yang kamu sukai adalah lebih baik dan lebih kamu cintai kepada mereka daripada Allah dan Rasul-Nya serta berjihad di jalan Allah, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya. Sesungguhnya Allah tidak memberi pimpinan kepada orang-orang fasiq”
At-Taubah : 24
Mereka sanggup memisahkan diri mereka dari sebarang pihak yang menentang Allah dan Rasul-Nya sekalipun jika terpaksa berhadapan dengan bapa-bapa dan saudara-mara mereka dalam medan peperangan.
Sikap mereka ini diberi penghargaan oleh Allah dan firmannya :
لَّا تَجِدُ قَوْمًا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ يُوَادُّونَ مَنْ حَادَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَوْ كَانُوا آبَاءَهُمْ أَوْ أَبْنَاءَهُمْ أَوْ إِخْوَانَهُمْ أَوْ عَشِيرَتَهُمْ ۚ أُولَـٰئِكَ كَتَبَ فِي قُلُوبِهِمُ الْإِيمَانَ وَأَيَّدَهُم بِرُوحٍ مِّنْهُ ۖ وَيُدْخِلُهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا ۚ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ ۚ أُولَـٰئِكَ حِزْبُ اللَّهِ ۚ أَلَا إِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
“Kamu tidak akan mendapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan rasul-Nya sekalipun jika orang itu bapa, atau anak-anak, atau saudara-mara, atau keluarga mereka. Mereka itulah orang yang Allah telah menanamkan keimanan dalam hati mereka dan menguatkan mereka dengan pertolongan yang datang daripada-Nya dan dimasukkan-Nya ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Dan Allah redha terhadap mereka dan mereka pun merasa puas terhadap limpahan rahmat-Nya. Mereka itulah golongan Allah. Ketahuilah sesungguhnya golongan Allah itulah golongan yang beruntung”
Al-Mujadalah : 22
Mereka bersikap keras dan tegas terhadap golongan kafir yang cuba hendak meminta tolak ansur dengan dasar perjuangan Islam. Firman Allah Taala :
قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ * لَا أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ * وَلَا أَنتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ * وَلَا أَنَا عَابِدٌ مَّا عَبَدتُّمْ * وَلَا أَنتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ * لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ
“Katakanlah : Hai orang-orang kafir !!! aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu bukanlah penyembah Tuhan yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah, dan kamu tidak pernah menyembah Tuhan yang aku sembah. Bagimu agamamu dan bagiku Agamanku”
Al-Kafirun : 1-6
Sikap mereka terhadap orang-orng kafir dalam hal-hal prinsip perjuangan adalah seperti Firman Allah.
أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ
“…….yang bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir”
Al-Maidah : 54
3. Berkasih sayang sesama mukmin
Sifat mereka yang keras dan tegas hanya kepada musuh-musuh Islam sahaja. Terhadap golongan mukminin mereka bersifat lemah lembut dan berkasih sayang. Firman Allah Taala.
“……….. yang bersikap lemah lembut terhadap orang mukmin”
Mereka menjadi penolong dan pelindung di antara satu sama lain. Pertolongan dan perlindungan yang mereka berikan terhadap satu sama lain adalah atas dasar keimanan yang mendalam kepada Allah.
Firman Allah s.w.t :
إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالَّذِينَ آوَوا وَّنَصَرُوا أُولَـٰئِكَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta dan jiwanya pada jalan Allah dan orang-orang yang memberikan tempat tinggal dan perlindungan (kepada orang-orang muhajirin), mereka itu antara satu sama lain adalah lindung-melindungi”
Al-Anfal : 72
Kasih sayang yang mereka berikan terhadap satu sama lain telah mencapai peringkat di mana mereka mengutamakan saudara-mara mereka melebihi diri mereka sendiri walaupun meraka berada dalamkesulitan dan kesusahan.
Firman Allah s.w.t :
وَالَّذِينَ تَبَوَّءُوا الدَّارَ وَالْإِيمَانَ مِن قَبْلِهِمْ يُحِبُّونَ مَنْ هَاجَرَ إِلَيْهِمْ وَلَا يَجِدُونَ فِي صُدُورِهِمْ حَاجَةً مِّمَّا أُوتُوا وَيُؤْثِرُونَ عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ ۚ وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
“Dan orang-orang yang menepati kota (Madinah) dan telah beriman (Ansar) sebelum kedatangan (Muhajirin) dan mereka mengutamakan orang-orang muhajirin atas diri mereka sendiri sekalipun mereka dalam kesusahan. Dan barangsiapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang-orang yang beruntung”
Al-Hasyr : 9
Dengan kasih sayang ini jadilah mereka satu generasi yang bersatu padu, kukuh dan mendokong sepenuhnya segala perintan Allah dengan menyembah Allah semata-mata. Firman Allah Taala :-
إِنَّ هَـٰذِهِ أُمَّتُكُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَأَنَا رَبُّكُمْ فَاعْبُدُونِ
“Sesungguhnya ummah (ajaran tauhid) ini adalah kamu semua, ummah yang satu dan Aku adalah Tuhanmu, maka sembahlah Aku”
Al-Anbia’ : 92
Oleh kerana kasih sayang yang mereka tanamkan terhadap satu sama lain inilah maka Allah mengurniakan salah satu dari nikmat-Nya yang terbesar ke atas mereka, iaitu kesatuan dan perpaduan.
Firman Allah s.w.t :
وَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ ۚ لَوْ أَنفَقْتَ مَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مَّا أَلَّفْتَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ وَلَـٰكِنَّ اللَّهَ أَلَّفَ بَيْنَهُمْ ۚ إِنَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
“……. Dan yang mempersatukan hati-hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu belanjakan semua kekayaan yang berada di atas muka bumi nescaya kau tidak dapat manyatukan hati-hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatukan hati-hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”
Al-Anfal : 63
4. Menyokong sepenuhnya dakwah dan jihad.
Mereka juga adalah satu generasi yang benar-benar menjaga amanah dakwah dan jihad yang telah disyariatkan oleh Allah s.w.t melalui rasul-Nya. Firman Allah Taala.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ
“Hai orang-orang yang beriman ! Janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul-Nya juga janganlah kamu mengkhianati amanat-manat yang dipertanggungjawabkan kepadamu sedang kamu mengetahuinya”
Al-Anfal : 27
Bagi mereka, kemuliaan adalah dengan menjadikan diri mereka sebagai hamba Allah s,w,t yang patuh dan taat sepenuhnya kepada Allah. Sedangkan kepatuhan ini tidak mungkin dapat tercapai tanpa melaksanakan dakwah dan jihad. Dalam kehidupan mereka, tidak dapat mereka pisahkan dengan tugas melakukan amar makruf dan nahi mungkar. Mereka sama sekali tidak mengizinkan dunia dikuasai oleh kegelapan dan kebatilan. Dalam masa yang sama mereka tidak henti-henti bekerja dan berjuang demi memastikan bahawa kalimah Tauhid sentiasa berada di tempat yang teratas sekali. Mereka tidak takut pada celaan dan penghinaan daripada golongan musuh. Bagi mereka golongan yang menentang adalah bangkai-bangkai bernyawa yang buta tuli dan tidak mengetahui apa-apa. Firman Allah Subhanahu Wata’ala :
يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوْمَةَ لَائِمٍ ۚ
“ ……. yang berjihad di jalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela”
Al-Maidah : 54
Dalam berdakwah dan berjihad, mereka tidak menganggap berat kerugian dan bencana yang menimpa mereka. Bagi mereka perjuangan mereka di dunia ini akan berakhir dengan dua perkara : menang atau syahid fi sabilillah. Oleh itu mereka merupakan satu generasi yang bersih dari penyakit yang selalu menjadikan jiwa manusia kerdil, iaitu cintakan dunia dan takutkan mati. Tetapi sebaliknya mereka merupakan satu generasi yang cinta apabila dibangkitkan di Akhirat kelak dengan berlumuran darah-darah seorang Syuhada’ yang harum dan suci. Oleh itu, mereka sentiasa berlumba-lumba untuk mendapatkannya melalui dakwah dan jihad yang berterusan sebagaimana sabda Nabi s.a.w yang bermaksud :
“Sesiapa yang cinta menemui Allah, nescaya Allah juga bercinta untuk menemuinya”
Ketika Khalid berutus surat kepada panglima-panglima tentera Rom dan Parsi, maka beliau mengakhiri suratnya dengan :
“Sekiranya kamu menolak Islam dan menentangku, aku akan memanah kamu dengan satu kaum yang mencintai mati sebagaimana kamu mencintai kehidupan”
Sikap mereka yang tetap teguh dan bersabar dalam apa jua keadaan disebutkan oleh Rasulullah sebagai:
“Sungguh aneh keadaan orang yang beriman, semua pekerjaannya baik belaka, dan itu hanya ada pada orang yang beriman. Jika memperolehi kesenangan dia bersyukur. Dan itu memberikan kebaikan kepadanya. Sekiranya ditimpa bahaya, dia bersabar (berhati teguh) dan itu memberikan kebaikan pula kepadanya”
Mereka juga bersih dari sebarang sifat golongan yang lemah sebagaimana yang telah disebutkan Allah dalam firman-Nya :
وَمِنَ النَّاسِ مَن يَعْبُدُ اللَّهَ عَلَىٰ حَرْفٍ ۖ فَإِنْ أَصَابَهُ خَيْرٌ اطْمَأَنَّ بِهِ ۖ وَإِنْ أَصَابَتْهُ فِتْنَةٌ انقَلَبَ عَلَىٰ وَجْهِهِ خَسِرَ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةَ ۚ ذَٰلِكَ هُوَ الْخُسْرَانُ الْمُبِينُ
“Dan sebahagian daripada mereka ada yang menyembah Allah di pinggir sahaja. Kalau dia mendapat kebaikan, senanglah hatinya kerana itu. Tetapi jika ditimpa cubaan, berbaliklah ia ke belakang. Dia rugi di dunia dan di Akhirat. Dan itulah kerugian yang nyata”
Al-Hajj : 11
5. Kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada Allah dan Rasul-Nya
Generasi Al-Quran adalah generasi yang memenuhi tuntutan memberi kesetiaan yang telah disyaratkan oleh Allah dalam Al-Quran :
إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَهُمْ رَاكِعُونَ * وَمَن يَتَوَلَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا فَإِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمُ الْغَالِبُونَ
“Sesungguhnya Penolong kamu adalah Allah, Rasul-Nya dan orang-orang beriman yang mendirikan solat dan menunaikan zakat seraya mereka tunduk kepada Allah. Dan barangsiapa yang mengambil Allah, Rasulnya dan orang-orang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya golongan Allah itu lah yang pasti menang”
Al-Maidah : 55-56
Kesetiaan mereka yang tinggi kepada Allah, Rasul-Nya dan orang-orang beriman hinggakan Allah memberikan jaminan kepada rasul-Nya :
يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ حَسْبُكَ اللَّهُ وَمَنِ اتَّبَعَكَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ
“Hai Nabi !! Cukuplah Allah dan orang mukmin yang mengikutimu (menjadi penolongmu)”
Al-Anfal : 64
Tidak ragu-ragu sedikit pun dalam menyempurnakan kesetiaan telah menjadikan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka ke jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar.
Sikap tidak ragu-ragu dalam berkorban untuk Islam dan melaksanakan jihad fi sabilillah telah menjadikan mereka tidak diperdaya dengan kehidupan dunia dan tarik-tarikannya.
Firman Allah Subhanahu Wata’ala :
قُلْ مَتَاعُ الدُّنْيَا قَلِيلٌ وَالْآخِرَةُ خَيْرٌ لِّمَنِ اتَّقَىٰ وَلَا تُظْلَمُونَ فَتِيلًا
“Katakan lah : kesenangan dunia ini hanya sedikit (sebentar) dan Akhirat jualah lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa”
An-Nisa’ : 77
Firman Allah Ta’ala yang bermaksud :-
“Dan kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan yang memperdayakan”
6. Kembali menurut jejak langkah generasi Al-Quran
Umat Islam hari ini mesti berjuang untuk menegakkan Islam berpandukan dua sumber iaitu : Al-Quran dan As-Sunnah. Malah umat Islam dikurniakan bukan sahaja dengan dua sumber ini sahaja, malah juga dengan contoh teladan sebagaimana kedua-dua sumber ini dapat diamalkan, dihayati, dan dilaksanakan. Oleh itu, umat Islam hari ini hendaklah jelas behawa apa yang terkandung di dalam Al-Quran dan As-Sunnah dapat direalisasikan. Malah tuntutannya telah dapat dilaksanakan oleh satu generasi yang besar di zaman Rasulullah s.a.w. Seterusnya Rasulullah telah mewariskannya kepada generasi selepasnya hinggalah hari ini.
Sebagai asas pegangan, Al-Quran dan As-Sunnah adalah landasan hidup mukmin. Sebagai contoh teladan untuk memahami bagaimana kandungan kedua-duanya dilaksanakan, kehidupan para sahabat menjadi panduan. Ini adalah kerana Rasulullah berjaya membentuk generasi Al-Quran yang unggul yang kemudiannya mengembangkan adasar-dasar perjuangan yang telah diasaskannya.
Oleh itu, setiap orang mukmin hendaklah memandang tinggi setiap sahabat kerana mereka telah meneruskan perjuangan Rasulullah s.a.w menegakkan Al-Quran dan As-Sunnah. Mereka hendaklah dihormati sebagaimana Rasulullah s.a.w telah menghormati mereka. Sabda Rasulullah :
“Para sahabatku adalah amanah untuk umatku”
Setiap Mukmin hendalah menjadikan generasi para sahabat sebagi contoh dan sumber inspirasi dalam perjuangan mereka untuk menegakkan Islam. Dengan mengambil para sahabat dengan Generasi Al-Quran, berikut adalah perkara utama yang perlu difahami oleh umat Islam masa kini dalam kita mencontohi jejak langkah mereka untuk menjadi satu umat yang berpegang teguh dengan Al-Quran :
Sikap Para Sahabat Terhadap Al-Quran
Mereka mendatangi Al-Quran seolah-olah mereka mendengar perintah Allah kepada mereka. Mereka sentiasa peka terhadap apa yang diwahyukan Allah kepada Rasul-Nya. Mereka tidak mengambil sikap sambil lewa terhadap ayat-ayat Allah atau menganggap ayat-ayat tersebut diturunkan kepada orang lain.
Terhadap ayat-ayat yang mengecam sifat-sifat orang kafir, mereka jadikan sebagai sempadan agar mereka tidak memiliki sifat tersebut. Mereka juga tidak mengambil mudah terhadap ayat-ayat yang diturunkan ke atas orang munafiq. Apabila mereka membaca ayat-ayat berkenaan orang-orang munafiq, mereka berasa cemas takut-takut ayat tersebut membicarakan perihal mereka. Demikian juga apabila terdapat ayat-ayat berkenaan azab neraka Jahannam, maka mereka membayangkan jika mereka berada ditempat tersebut. Lantas, mereka memohon keampunan daripada Allah supaya Allah menyelamatkan diri mereka.
Sebaliknya pula, sekiranya ayat-ayat Allah itu berkenaan dengan sifat-sifat orang mukmin ataupun janji-janji dan balasan-balasan syurga, mereka berusaha untuk menempatkan diri mereka dengan sifat-sifat tersebut.
PENUTUP
Justeru, penulis ingin mengajak semua pembaca supaya kembali kepada ajaran Islam yang di bawah oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam secara keseluruhan. Perlu di ingatkan, merujuk dan kepada Rasulullah itu dengan mengamalkan segala sunnah yang dibawa Baginda. Yang lebih penting bagi kita sekarang ini ialah beramal dengan sunnah MESTI lah dengan perantaraan ulama’. Ingat ! perantaraan ULAMA’. Ini adalah kerana ulama’ lebih memahami kalam Rasulullah daripada kita. Mereka adalah pewaris nabi. Nabi tidak mewarisi harta tetapi Baginda mewarisi ilmu. Ilmu merupakan cahaya Allah dan cahaya Allah tidak akan menerangi mereka yang sentiasa membuat maksiat. Penulis ingin menasihatkan bahawa JANGAN menerima hadith Rasulullah dengan memahami maksud secara zahir SAHAJA ! seperti yang difahami dan di amalkan oleh sesetengah golongan di Malaysia. Golongan ini membawa muslim semua kea rah menafsirkan hadith dengan logik akal SEMATA-MATA. Ini adalah sesat !
0 comments:
Post a Comment