Alhamdulillah, bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wa Taala kerana dengan izin-Nya maka dapat lagi kita bersua di alam maya ini. Sudah lama rasanya tidak mencoret di sini. Alhamdulillah, penulis selamat bersama dengan rakan-rakan yang lain mengikuti Jaulah Ke Semenanjung Sinai. Bila di fikir dan di tadabbur, memang untung menjadi umat kepada Baginda Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Terima kasih wahai Tuhan kerana memberi nikmat itu kepada kami. Kali ini, penulis ingin berkongsi berasama para pembaca berkaitan dengan perkara yang sangat penting iaitu Jahiliyyah !
MUQADDIMAH
Firman Allah s.w.t :
أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ ۚ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ
“Apakah hukum (peraturan) jahiliyyah yang mereka pilih ……? Dan hukum siapakah yang lebih baik dari hukum Allah s.w.t. bagi kaum yang yakin?.”
Al-Maidah : 50
Seluruh manusia sama ada yang Islam atau pun yang bukan Islam, sama ada di barat atau pun di timur hari ini sedang terkepung dengan bahaya. Kehidupan mereka telah dikuasa oleh kebudayaan yang dibina di atas asas material (kebendaan) dan mereka ini sedang tenggelam di dalamnya. Dasar kebudayaan ini jika dilihat dari segi teori dan praktikalnya adalah diasaskan atas dasar yang salah. Falsafah, sains, nilai-nilai akhlak, sistem politik, pendidikan, undang-undang dan sosialnya sudah menyeleweng sejak dari permulaannya lagi. Justeru itu, ia telah sampai ke tahap keruntuhan dan kehancuran yang kritikal lagi serius dan hamper-hampir memusnahkan keseluruhannya.
Kejelekan ini adalah akibat dari sikap pendokong-pendokong kebudayaan ini yang tidak lagi mengendahkan PENCIPTA ALAM ini, ALLAH S.W.T. Manusia bodoh sombong telah mengangkat diri mereka sebagai pengatur dan pengurus alam ini dengan mencipta peraturan-peraturan yang menyesatkan, dan akhirnya mengundang kemusnahan kepada diri mereka juga. Hasilnya terjadilah apa yang dapat disaksikan pada hari ini, sains menjadi senjata untuk dipergunakan bagi menghancurkan manusia. Kesucian dan kemuliaan akhlak telah dirosakkan dengan memupuk tabiat mementingkan diri sendiri, hipokrasi dan kebebasan tanpa batas. Ikatan kekeluargaan semakin longgar, bapa sudah tidak berkuasa terhadap anak dan anak pula tidak menghormati orang tuanya.
Kejelekan moral masyarakat barat ini sudah tidak dianggap jelek lagi oleh masyarakat Muslimin hari ini. Dimana sahaja negara yang mengaku dirinya ‘NEGARA ISLAM’, golongan elitnya merasa megah bertali leher dan berkot walaupun iklimnya panas. Para ibu pula megah melihat anaknya tahu berbahasa inggeris, makan ikut cara barat, bercakap bahasa barat lantas menjadikan mereka semuanya menilai sesuatu menurut standard barat. Mereka merasa malu sekira anak gadis mereka tidak mendedahkan aurat di atas pentas, di kolam renang atau pun bergaul dengan pelancong-pelancong asing. Mereka merasakan tidak maju jika kedai arak tidak dibina di serata negeri. Inilah sikap jiwa kehambaan, tidak percaya kepada diri sendiri dan tidak menghargai nilai kebudayaan sendiri. Mereka malu memakai pakaian tradisi sendiri mengikut Islam. Bahkan ada yang bermegah dengan menghidangkan minuman keras di dalam majlis jamuan mereka. Pendek kata, semua bidang pun mereka mengikut cara barat.
PENGERTIAN JAHILIYYAH
Setelah kita membuat pendedahan ringkas, jelaslah betapa tenatnya umat manusia hari ini hasil dari racun barat yang menyerap masuk ke dalam salur darah kehidupan muslim. Sekarang marilah pulakita melihat hakikat dan pengertian amalan mereka itu. Pada dasarnya, itulah dia JAHILIYYAH yang sedang kita bincangkan mengenainya. Jahiliyyah adalah berasal dari perkataan jahil. Ianya membawa pengertian tidak tahu ataupun bodoh atau tidak berilmu pengetahuan. Apakah hanya setakat ini sahaja pentafsiran dan pengertian jahiliyyah ? sesungguhnya tidak begitu. Al-QURANULKARIM mengkhitabkan istilah jahiliyyah bukan kerana mereka itu bodoh atau tidak berilmu pengetahuan, bahkan mereka itu terkenal dengan kemajuan di dalam pelbagai bidang kehidupan. Pencapaian taraf seni bina, ukiran tangan, politik, sistem pentadbiran, karyawan dan saterawan, keilmuan dalam falak dan sebagainya adalah tidak tertanding dengan masyarakat manusia hari ini.
Akan tetapi jahiliyyah yang dimaksudkan dalam Al-Quran tidak lain daripada keadaan jiwa yang menolak hidayah dan petunjuk Ilahi iaitu keadaan yang menentang hukum Allah. Ianya tidak tertakluk kepada sesuatu zaman, masa dan juga tempat sahaja. Bahkan ianya adalah watak dan perlakuan yang boleh muncul pada setiap tempat, waktu mahupun zaman. Jelasnya, jahiliyyah itu adalah kebalikan dari MAKRIFATULLAH, kebalikan dari sikap kesediaan menerima hidayah Allah s.w.t, kebalikan darik keikhlasan dari menerima Allah s.w.t. Jahiliyyah juga boleh terjadi dikalangan masyarakat yang mencapai taraf ilmu pengetahuan yang tinggi dan peradaban manusia yang dianggap maju dengan tamadun kebendaannya, pemikiran politik,social, kemanusiaan dan sebagainya. Sesungguhnya jika ahli masyarakat itu tidak mahu mengikut hidayah Ilahi, malahan mengikut hawa nafsu dan menolak hukum Allah…itulah JAHILIYYAH.
Manusia jahiliyyah adalah yang mengambil sistem (hukum) yang dicipta oleh manusia. Mereka mengabdikan diri sesama manusia dan ini dengan sendirinya terkeluar dari konsep ubudiah kepada Allah. Jahiliyyah adalah satu sistem yang didapati kelmarin, hari ini dan esok. Pengambilan sistem jahiliyyah ini adalah bertentangan dengan Islam. Manusia hanya tertakluk kepada dua hukum sahaja sama ada mereka itu berhukum dengan syariat Allah. Mereka menerima dan mematuhinya dengan sebenar-benar patuh, maka mereka benar-benar berada dijalan Allah s.w.t. Ataupun mereka berhulum dengan peraturan ciptaan manusia walau dalam apa jua cara dan bentuk sekalipun syarat penerimaan hukum tersebut. Mereka inilah berada di dalam jahiliyyah, mereka berada di dalam agama yang mereka berhukum itu. Sesekali mereka itu tiada tempat di dalam agama Allah. Manusia yang tidak memilih hukum-Nya pasti memilih hukum jahiliyyah, mereka menjauhkan diri dari syariat Allah….maka teruslah mereka hidup dalam JAHILIYYAH.
HAKIKAT SEJARAH JAHILIYYAH
Seperti juga Iman, jahiliyyah mempunyai sejarah yang sangat tua di muka bumi ini. Kedua-duanya berpangkal pada manusia pertama iaitu Nabi Adam dan anak cucu keturunannya. Kedua-duanya berpokok pangkal dari tabiat manusia itu sendiri. Tabiatnya yang kembar, cenderung kepada kesesatan dan hidayah, cenderong kepada kebodohan dan kearifan. Justeru Allah menjelaskan :
إِنَّا هَدَيْنَاهُ السَّبِيلَ إِمَّا شَاكِرًا وَإِمَّا كَفُورًا
“Sungguh !! kami telah menunjukkan kepadanya jalan yang benar dan yang salah, maka berserahlah kepadanya sama ada ia bersyukur (dengan beriman dan taat) atau berlaku kufur (dengan mengingkari dan menderhakai kebenaran)”
Al-Insan : 3
Sejarah seluruh umat manusia dimuka bumi ini tidak terkeluar dari salah satu dari dua keadaan iaitu hidayah atau kesesatan (Islam @ Jahiliyyah). Manusia di muka bumi ini mengalami perkembangan dengan pelbagai ragam. Bentuk perkembangan itu berbeza-beza menurut keadaan lingkungan masing-masing dan menurut taraf kemajuan di dalam bidang kebendaan, ilmu pengetahuan, social, ekonomi dan politik. Akan tetapi setiap bentuk perkembangan itu tetap tidak keluar dari salah satu kedua-dua keadaan tersebut iaitu Islam atau Jahiliyyah.
Jadi nyata dan jelaslah bahawa jahiliyyah tidak bergantung kepada masa, tempat, taraf ilmu pengetahuan, kemajuan material atau peradaban.
CIRI-CIRI JAHILIYYAH
Sejarah memaparkan kepada kita bahawa jahiliyyah mempunyai cirri-ciri atan tanda-tandanya yang tersendiri berdasarkan kepada tempat, masa dan zaman jahiliyyah itu hidup berkembang.
Disini kita membuat satu tinjauan mendatar berhubung dengan tanda-tanda jahiliyyah sepanjang zaman dan kemudian kita akan membuat satu perbandingan dengan abad ini, yakni abad ke 20.
PERTAMA : Tidak beriman kepada Allah dengan sebenar-benarnya.
Ciri ini merupakn cirri terpenting yang menentukan sama ada manusia itu hidup dalam kebenaran atau kebatilan (keIslaman atau Kejahilan)
Maksud dengan cirri ini adalah semua jahiliyyah itu tidak percaya kepada Allah dengan cara sebenarnya, akidah mereka menyeleweng dari kehendak Allah dan Rasul-Nya. Bila akidah menyeleweng, maka di sana munculnya jahiliyyah. Dan kemudian berlakulah kerosakan, tidak ubah seperti jarum kompas yang menggoncang, tidak tentu arah apabila fokusnya terhalang oleh sesuatu.
Meskipun pada dasarnya mereka mengiktiraf dan mempercayai Allah sebagai pencipta alam semesta, namun kepercayaan mereka itu tidak dibenarkan oleh Allah. Mengenai bentuk kepercayaan mereka ini, Al-Quran telah menjelaskan :
وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ ۚ قُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ ۚ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْلَمُونَ
“Bila engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka , Siapakah yang mencipta langit dan bumi ? maka mereka pasti menjawab : Allah yang menciptakannya”
Al-Luqman : 25
وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّنْ خَلَقَهُمْ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ ۖ فَأَنَّىٰ يُؤْفَكُونَ
“Bila engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka, siapa yang mencipta mereka? Nescaya mereka akan menjawab ALLAH “
Az-Zukhruf : 87
Pendedahan Al-Quran berkenaan dengan pengakuan mereka akan kewujudan Allah, dapat dilihat dalam ayat-ayat yang lain, seperti surah Yunus : 31, surah Al-Mukminun : 84-89 serta surah-surah lain lagi.
Meskipun mereka ini mengaku akan ketuhanan Allah, mereka masih tidak beriman dengan ertikata sebenarnya. Mereka tidak mengaku ketentuan hukum Allah sama ada dalam urusan hidup mereka. Mereka tidak mengagungkan Allah menurut yang sepatutnya.
وَمَا قَدَرُوا اللَّهَ حَقَّ قَدْرِهِ إِذْ قَالُوا مَا أَنزَلَ اللَّهُ عَلَىٰ بَشَرٍ مِّن شَيْءٍ ۗ قُلْ مَنْ أَنزَلَ الْكِتَابَ الَّذِي جَاءَ بِهِ مُوسَىٰ نُورًا وَهُدًى لِّلنَّاسِ ۖ تَجْعَلُونَهُ قَرَاطِيسَ تُبْدُونَهَا وَتُخْفُونَ كَثِيرًا ۖ وَعُلِّمْتُم مَّا لَمْ تَعْلَمُوا أَنتُمْ وَلَا آبَاؤُكُمْ ۖ قُلِ اللَّهُ ۖ ثُمَّ ذَرْهُمْ فِي خَوْضِهِمْ يَلْعَبُونَ
“Dan tidaklah mereka menghormati Allah sesuai dengan penghormatan yang sebenarnya”
Al-An`am : 91
Mereka mengenal Allah tapi pada masa yang sama mereka mengambil tuhan-tuhan yang lain. Maka kepercayaan itu sama sekali tidak lurus dan tidak sihat. Mereka mengenal Allah tetapi mereka tidak menjalankan syariat-Nya dan ketentuan hukum-Nya dan segala urusan mereka yang wajib dilaksanakan. Oleh sebab mereka beramal dengan perbuatan yang nyata salah maka mereka patut diberi gelaran orang-orang yang kafir dan jahiliyyah. Firman Allah s.w.t :
Ÿ فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّىٰ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوا فِي أَنفُسِهِمْ حَرَجًا مِّمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
“Maka demi tuhan engkau Nabi Muhammad, mereka itu sama sekali tidak beriman sehinggalah mereka menjadikan engkau seorang hakim terhadap apa yang mereka selisihkan dikalangan mereka, kemudian mereka tidak merasa keberatan dalam keputusan yang engkau putuskan itu dan mereka menerimanya dengan hati yang terbuka”
An-Nisa` : 65
Sesungguhnya tiada keimanan kepada Allah walaupun sedikit sekiranya tidak ada sifat tunduk untuk mematuhi hukumnya dalam segenap urusan kehidupan. Iman kepada Allah menuntut penyerahan diri secara pasrah lagi mutlak kepada Allah sebagai Penentu hukum yang empunya hak. Islam mengajar kesatuan akidah dan syariat yang tidak ada benteng halangan.
Mereka yang mengambil hukum selain dari hukum Allah itulah manusia jahiliyyah.
“Apakah hukuman orang-orang jahiliyyah yang mereka kehendaki? Hukum siapakah lebih baik daripada hukum Allah s.w.t bagi orang-orang yang yakin”
KEDUA : Mereka melaksanakan hukum berdasarkan hawa nafsu.
Ciri ini muncul ekoran dari ketiadaan iman kepada Allah dan ianya berkait rapat dengan cirri yang pertama.
Apabila manusia menolak hukum Allah bererti dengan sendirinya mereka menuruti hukum ciptaan hawa nafsu mereka sendiri. Firman Allah s.w.t.
وَأَنِ احْكُم بَيْنَهُم بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَن يَفْتِنُوكَ عَن بَعْضِ مَا أَنزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ ۖ فَإِن تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ أَن يُصِيبَهُم بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ ۗ وَإِنَّ كَثِيرًا مِّنَ النَّاسِ لَفَاسِقُونَ
“Dan hendaklah kalian menetapkan hukum di antara kalian menurut apa yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t dan janganlah kalian mengikuti hawa nafsu mereka (yang mengingkari Allah) dan berhati-hatilah terhadap mereka, jangan sampai mereka dapat memalingkan kalian dari sebahagian hukum yang telah diturunkan oleh Allah”
Al-Maidah : 49
Setiap peraturan yang bukan peraturan Allah adalah peraturan hawa nafsu yang tidak lepas dari kehendak nafsu. Hanya peraturan Allah sajalah yang bersih dari hasutan hawa nafsu kerana Allah tidak mempunyai kepentingan apapun dari peraturan yang telahditetapkan-Nya, berlainan dengan manusia.
Firman-Nya.
مَا أُرِيدُ مِنْهُم مِّن رِّزْقٍ وَمَا أُرِيدُ أَن يُطْعِمُونِ
“Aku tidak menghendaki rezeki apapun dari mereka dan aku tidak menghendaki mereka memberi makan padaku”
Az-Dzariat : 57
Allah menciptakan manusia di atas dasar persamaan, tidak seorang pun yang lebih utama dari yang lain kecuali dengan ketakwaannya :
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
“Hai manusia !! Kami telah ciptakan kalian dari seorang lelaki dan seorang wanita dan kami menjadikan berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar saling mengenali. Sesungguhnya yang peling mulia dikalangan kamu disisi Allah adalah yang bertakwa”
Al-Hujurat 13
Jelasnya, mengikut Allah dan taat kepada-Nya bererti Islam. Manakala mengikut hawa nafsu bererti jahiliyyah dimana sahaja kita berada.
KETIGA : Wujudnya thaghut bertugas menyesatkan manusia dan memalingkan mereka dari mentaati Allah.
Thaghut ialah :
1. Melampaui batas dan ketetapan Allah.
2. Setiap yang melampaui batas.
3. Setiap kepala penyesat
4. Syaitan yang memalingkan manusia dari jalan kebajikan.
5. Setiap yang menyembah selain Allah.
6. Rumah-rumah berhala.
Kata Saidina Umar Al-Khatab bahawa thaghut itu adalah syaitan. Jabir pula menjelaskan bahawa thaghut itu adalah tukang-tukang tenun yang turun padanya syaitan-syaitan.
Al-Imam Ibnu Kathir ketika menjelaskan tafsir ayat 60-62 Suran An-Nisa` mengatakan :
“ Ayat tersebut mencela sesiapa yang berpaling dari Al-Quran dan As-Sunnah dan berhukum
kepada apa yang selain dari kebatilan. Sesungguhnya itulah thaghut yang dimaksudkan
di dalam ayat ini”
Kata Imam Ibnu Qayyim pula thaghut yang melampaui oleh seseorang hamba di dalam penyembahan, ikutan dan ketaatan. Justeru, setiap yang berhukum dan melaksankan perintahnya kepada selain dari kitan Allah dan Sunnah Rasulullah s.a.w ternyata bahawa mereka itu berhukum kepada thaghut yang diperintahkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya agar kufur dengannya. Ujar Imam Malik pula, thghut ialah apa yang disembah atau diabdikan diri selain Allah s.w.t.
Firman Allah Taala :
اللَّهُ وَلِيُّ الَّذِينَ آمَنُوا يُخْرِجُهُم مِّنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ ۖ وَالَّذِينَ كَفَرُوا أَوْلِيَاؤُهُمُ الطَّاغُوتُ يُخْرِجُونَهُم مِّنَ النُّورِ إِلَى الظُّلُمَاتِ ۗ أُولَـٰئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ
“Allah adalah pelindung bagi orang-orang yang beriman. Dialah yang mengeluarkan mereka dari kegelapan (jahiliyyah dan kekufuran) kepada cahaya iman, sedang orang kafir pelindung mereka adalah thaghut yang mengeluarkan dari cahaya kepada kegelapan”
Al-Baqarah : 257
Firman Allah Taala :
الَّذِينَ آمَنُوا يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۖ وَالَّذِينَ كَفَرُوا يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ الطَّاغُوتِ فَقَاتِلُوا أَوْلِيَاءَ الشَّيْطَانِ ۖ إِنَّ كَيْدَ الشَّيْطَانِ كَانَ ضَعِيفًا
“Dan orang-orang beriman berjuang di jalan Allah, sedangkan orang-orang kafir berjuang pada jalan thaghut”
An-Nisa` : 76
Semua thaghut adalah sama, baik yang berupa individu, kelompok, golongan, adat istiadat atau kekuatan apa saja yang memperhambakan manusia. Thaghut ini tidak senang melihat manusia mengabdikan diri kepada Allah dalam ertikata yang sebenarnya. Thaghut tidak dapat hidup dan tidak memperolehi tempat bilamana manusia mengabdikan diri sepenuhkan kepada Allah. Thaghut dapat hidup bila mana manusia berpaling dari Allah dan itulah kesempatan baginya memuaskan selera nafsunya.
Jelaslah thaghut itu mengambil sikap permusuhan terhadap akidah yang sebenarnya dan lurus. Kerana thaghut menginginkan agar manusia taat dan patuh padanya, sedang akidah yang sebenarnya membawa manusia setia kepada Allah s.w.t. Itulah sebabnya mengapa jahiliyyah menyeleweng dari kewajipan beribadah kepada Allah dan sentiasa berdampingan dengan thaghut.
KEEMPAT : Tenggelamnya manusia di dalam arus nafsu syahwat.
Hal ini adalah dari membelakangkan petunjuk Allah dan bertuhankan hawa nafsu. Apabila nafsu syahwat memerintah mereka, maka segala-galanya akan rosak. Meskipun nafsu penting kepada manusia sebagai keperluan semulajadi. Sekiranya dilepaskan tanpa kawalan dari hukum Allah, ianya begitu berbahaya kepada manusia. Sebab itu Allah memperingatkan :
“Jadikan indah pada pandangan manusia kecintaan kepada nafsu syahwat (apa saja yang sangat diinginkan) iaitu wanita, anak pinak, timbunan harta emas dan perak, serta kuda pilihan, binatang ternak dan sawah lading, itulah kesenangan hidup di dunia”
JAHILIYYAH MODEN
Sesungguhnya sifat jahiliyyah adalah sama, baik ketika dan zaman mana sekalipun mereka tumbuh dan berkembang. Semuanya berligar disekitar paksi menolak hidayah Ilahi sebagai pembentuk dasar kehidupan. Perbezaan antara jahiliyyah kuno dan jahiliyyah modenadalah dari sudut watak dan corak sahaja. Kalau zaman dahulu masyarakat jahiliyyah menyokong konsep keberhalaan yang bersifat material (kebendaan yang dapat dilihat) maka jahiliyyah zaman moden juga mendokong keberhalaan yang bersikap non material. Kedua-duanya masing-masing bersifat berhala yakni mentaati selain Allah s.w.t.
Sungguhpun begitu, jika dilakukan pengamatan yang mendalam, jahiliyyah moden lebih jahiliyyah dan sesat berbanding jahiliyyah kuno. Jahiliyyah zaman kuno tidak terlalu berliku-liku, penyelewengannya bersifat terang-terangan tanpa disembunyi. Tetapi jahiliyyah zaman kini lebih bersifat tersembunyi dan mendasarkan kepada sudut-sudut ilmiah. Dengan itu jahiliyyah abad ini kedudukannya lebih luas, ganas dan lebih kejam lagi. Jahiliyyah macam teori : jahiliyyah ini muncul dari kemajuan material. Jahiliyyah ini penuh dengan kedengkian yang dirancang, diatur dan dipelajari, seterusnya dicernakan dan diarahkan untuk menghancurkan manusia sejagat.
Jahiliyyah moden hari ini dengan berselindung di sebalik ilmu pengetahuan dan fakta-fakta ilmiah dan kemajuan telah meratah akidah manusia dan menjadikan mereka kufur terhadap Allah s.w.t.
Mereka mendidik manusia dengan anutan-anutan ideology mulhid dan membuang iman dari bersarang di hati manusia. Akibat daripada itu, muncullah ajaran-ajaran baru yang bersumber dari akal manusia dan merendah-rendahkan petunjuk Ilahi sebagai satu dasar kehidupan. Atas nama moden dan kemajuan pengikut syaitan ini mencanangkan konsep supaya berjuang dan mempertahankan fahaman kebangsaan. Fahaman ini dijadikan sebagai ‘berhala pujaan’ yang wajib diperjuangkan, walaupun ternyata bangsa itu kufur dengan Allah. Inilah bentuk jahiliyyah yang kian menular di dalam masyarakat pada abad ini. Sekian..
0 comments:
Post a Comment