Allah Subhanahu Wa Taala inginkan kebaikan kepada hamba-Nya. Lantas Dia menciptakan sesuatu yang berada di sekeliling manusia untuk memberi manfaat kepada mereka. Terpulang atas individu sama ada ingin mengambil manfaat atau sebaliknya. Sesuatu yang selalu kita dengar sebenarnya banyak mendapatkan manfaat, tetapi mungkin kita tidak pernah mengetahui sehinggakan manfaat itu pergi begitu sahaja. Apakah manfaat itu ? Doa yang di ‘amin’ kan oleh malaikat adalah sesuatu anugerah yang tidak kurang nilainya. Ada beberapa keadaan yang Rasulullah menceritakan bahawa malaikat akan mengaminkan doa hamba yang berdoa. Justeru mari kita tadabbur akan hadith dari Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wassallam yang diriwayatkan Imam Bukhari dan Muslimini :
(عن أبي هريرة رضى الله عنه عن النبى صلى الله عليه وسلم قال : إذا سمعتم نهاق الحمير فتعوذوا بالله من الشيطان فإنها رأت شيطانا, وإذا سمعتم صياح الديكة فاسألوا الله من فضله فإنها رأت ملكا)
“Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘Anhu berkata Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wassallam bersabda : “Apabila kamu mendengar suara teriakan keldai, maka berlindunglah daripada syaitan yang direjam kerana keldai tersebut melihat syaitan. Apabila kamu mendengar suara ayam berkokok maka mintalah sesuatu kebaikan daripada Allah Taala kerana ayam tersebut melihat malaikat”
Firman Allah Taala Dalam Surah Al-Luqman ayat 19 berbunyi :
وَاقْصِدْ فِي مَشْيِكَ وَاغْضُضْ مِن صَوْتِكَ ۚ إِنَّ أَنكَرَ الْأَصْوَاتِ لَصَوْتُ الْحَمِيرِ
“Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.”
Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassallam mengajar kepada umatnya agar mengucapkan setiap kali mendengar teriakan suara keldai dengan Ta’awwuz ( أعوذ بالله من الشيطان الرجيم ). Berkata Al-Qadhi ‘Iyadh (القاض عياض ) mengucap ta’awwuz adalah untuk berlindung daripada Allah Subhanahu Wa Taala daripada kejahatan syaitan dan was-was yang datang daripadanya. Kita meminta dan menyerahkan agar Allah Taala yang melindungi kita dan menjauhi diri kita daripada kejahatan dan kemudharatan syaitan.
Adapun apabila seseorang daripada kamu mendengar suara ayam berkokok hendaklah dia berdoa meminta kebaikan daripada Allah Taala. Berkata Al-Qadhi ‘Iyadh setiap doa, memohon keampunan daripada Allah Subhanahu Wa Taala dengan hati yang ikhlas dan merendah diri, nescaya doa itu akan di aminkan oleh para malaikat. Dan kerana itulah kita disunatkan meminta orang-orang yang soleh mendoakan kita kerana orang-orang yang soleh lebih merendahkan diri kepada Allah daripada kita yang sering melakukan maksiat.
Ada pendapat mengatakan bahawa suara ayam berkokok adalah kerana zikir kepada Allah Taala. Ayam juga sering berkokok untuk menjaga waktu-waktu solat. Wallahu A’lam.
Kalau duk kat Malaysia, alhamdulillah..selalu lah dengar ayam berkokok. Kalau duk kat Egypt ni adalah dengar jugak, tu pun kalau duk kat kampung-kampung. Kalau macam penulis duk Bandar Cairo nie, tak dengar kokokan ayam, kalau suara keldai tu selalu la dengar..hehe
RUJUKAN
صحيح البخاري
صحيح مسلم
الأذكار النووية
فتوحات الربانية
RUJUKAN
صحيح البخاري
صحيح مسلم
الأذكار النووية
فتوحات الربانية
0 comments:
Post a Comment