Followers

3 A " Ambil Anak Angkat "

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh…



Alhamdulillah…selaut kesyukuran di panjatkan ke hadrat Ilahi. Selawat serta Salam buat junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, ahli keluarga, sahabat andai serta pengikut setia Baginda hingga ke akhir zaman.


Sudah genap setahun penulis meninggalkan bumi barakah iaitu Ardhul Kinanah. Meneruskan hidup serta perjuangan di tanah tempat tumpah darah sendiri memerlukan ketabahan dan kesabaran yang bukan sedikit. Maklumlah…akhir zaman nie fitnah mmg byk di merata-rata.


Untuk entri kali ini penulis ingin merujuk kepada satu soalan yang pernah diajukan oleh seorang penanya yang berbunyi “ Kawan lelaki saya belum berkahwin. Dia mengambil anak angkat bayi peempuan luar nikah. Apakah hukumnya ?”


Di Malaysia, anak luar nikah dalam maksud pendaftaran kelahiran terdiri daripada kanak-kanak yang dilahirkan oleh pasangan ibu bapa yang tidak berkahwin tetapi maklumat dimasukkan ke dalam daftar dan sijil kelahiran. Pendaftaran tersebut dibuat di bawah peruntukan pendaftaran kelahiran anak tidak sah taraf.
Ada sesuatu yang luar biasa pada sijil kelahiran anak tidak sah taraf. Nombor sijil yang lazimnya tertera di bahagian kanan dokumen, dicetak di bahagian bawah. Ini menunjukkan bahawa pemiliknya tidak mengetahui ayah kandungnya.


STATISTIK


Berdasarkan kepada laporan rasmi, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melaporkan terdapat lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa, sejak tahun 2000 hingga pada bulan Julai 2008. Ini bermakna secara purata, 2,500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan atau 83.3 kes pada setiap hari. Jika diunjurkan lagi, satu kes pendaftaran anak luar nikah berlaku dalam setiap 17 minit 17 saat!


Amat menyedihkan kerana menurut statistik pendaftaran kelahiran kelahiran anak luar nikah dalam tempoh 4 tahun sahaja (1999-2003) 30,978 dari 70,430 (44%) orang bayi tidak sah taraf yang dilahirkan adalah anak orang ISLAM.


Sama-samalah kita renungkan…mungkin juga dari jumlah yang disebut di atas termasuk dari kalangan ahli keluarga kita sendiri ataupun sanak saudara kita ataupun jiran tetangga kita ataupun masyarakat yang hidup bersama kita. Justeru….adakah kita hanya sekadar melihat sahaja !! Tepuk dada..tanya iman…


Kita berbalik pada soalan di atas…..


Mengambil anak angkat ada kalanya dilarang dan ada kalanya disuruh dan dipuji syarak.


Mengambil anak angkat bagi dijadikan sama seperti anak sendiri adalah dilarang oleh syarak sepertimana dilarang menukar ‘bin’ anak angkat tersebut.


Yang jelasnya, anak angkat bukan anak kandung sendiri sekalipun kita teramat menyayanginya. Hukumnya tetap tidak sama dengan anak sendiri. Anak angkat adalah Ajnabi, manakala anak sendiri adalah mahram.


Apabila seseorang mengambil anak angkat atas dasar kasihan kepadanya seperti anak luar nikah yang tidak diperdulikan, maka ianya disuruh oleh syarak. Namun begitu, harus menjaga peraturan dan syarat yang ditetapkan. Berurusan dengan bukan mahram tidak boleh melihat auratnya dan tidak boleh bersunyian atau berdua-duaan dengannya.


Keluarga angkat yang memelihara serta menjaga anak angkat dengan penuh kasih sayang akan mendapat ganjaran yang besar disisi Allah Subhanahu Wata’ala.


Nasihat penulis, sekiranya anak angkat itu belum berusia dua tahun, jadikannya mahram dengan jalan susuan. Sekiranya bapa angkat masih lagi bujang, maka berikan saudaranya yang perempuan untuk menyusukan anak itu sebanyak lima kali. Melalui cara itu, anak angkat tadi akan menjadi anak saudara susunya.


Apabila sudah sah menjadi mahram susuan, maka hukumnya harus dia tinggal bebas di dalam rumah dan auratnya sama seperti aurat saudara kita sedndiri.


Sekian dulu untuk entri kali ini. Semoga penanya serta pembaca yang budiman sekalian mendapat manfaat dari penulisan ini. Sekian, Wassalam
image

Terima Kasih Sahabat...

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Pertama-tama kalinya penulis ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih buat sahabat-sahabat yang pernah menemani penulis sepanjang penulis berada di Perlembahan Nil hari tu. Sahabat-sahabat yang lama dan baru tetap dalam ingatan dan doa penulis sentiasa.

Sebenarnya penulis sendiri tidak menyangka yang penulis akan pulang ke tanah air pada tahun 2010 baru-baru ini. Keputusan untuk pulang ke tanah air hanya dibuat beberapa hari sebelum penulis membuat tempahan tiket Egypt Air. Itupun bagi memenuhi hasrat beberapa orang  individu yang inginkan agar penulis pulang bercuti ke tanah air. Tanpa penulis fikir panjang, penulis terus sahaja bersetuju dan membuat tempahan tiket flight.

Dibenak fikiran penulis waktu itu “adakah mungkin aku dapat balik memandangkan iqamah sudah bertahun-tahun tidak disambung? ” iye, penulis hanya menyambung iqamah selama dua tahun sahaja sejak penulis tiba ke Mesir pada tahun 2004 lalu. Selepas itu penulis sudah tidak lagi menyambungnya sehinggalah penulis terpaksa mentajdid balik pasport penulis pada tahun 2009 dan terus pulang bercuti ke Malaysia pada tahun 2010.

Tetapi Allah-lah yang merupakan Sebaik-baik Penolong dan Pembantu yang membantu penulis melepasi benteng terakhir di Mator Kaherah hari tu. Bila dikenang-kenangkan kembali, rasa bersyukur yang amat sangat kepada Kekuasaan dan Kebesaran Allah Subhanahu Wa Taala. Bagi penulis hanya ada satu sebab jer yang membuatkan penulis agak keberatan untuk menyambung iqamah. Sebab itu adalah ‘BERATUR’. Beratur yang memakan masa setengah hari itu sehingga mengorbankan perkara yang lebih mustahak bagi penulis merupakan kelemahan penulis yang amat ketara.

Maha Benar Allah Taala ketika berfirman di dalam Hadith Qudsi yang bermaksud “Sesungguhnya aku seperti zhon hamba-Ku”. Justeru itu, berbaik sangkalah kepada Allah Taala sentiasa walaupun perkara itu agak mustahil untuk dicapai tetapi ketahuilah bahawa tidak ada perkara yang mustahil bagi Yang Maha Kuasa !

Penulis dihujani soalan yang sama iaitu bagaimana penulis boleh lepas yang kebiasaannya mereka yang tidak mempunyai iqamah tidak dibenarkan untuk pulang ke tanah air. Biarlah jawapan bagi persoalan itu menjadi kenangan yang termanis buat penulis.

Kepada sahabat-sahabat yang dikasihi sekalian,

Rebutlah peluang keberadaan antum di bumi Anbia dengan melaksanakan kewajipan belajar tersebut. Kurang-kurangkanlah bermain kerana ianya menghabiskan masa sahaja. Tambahan di musim sejuk sekarang ini, diri antum perlu dilatih sekarang ini agar kurangkan tidur. Antum tidak ada masa tidur yang banyak apabila antum pulang ke Malaysia kelak. Yang terakhir, penulis doakan agar Allah memberi pertolongan yang maksima kepada antum dalam imtihan yang sedang dilalui. Bit Taufiq Wan Najah..

Sekian, Wassalam.
image

Iftitah Entry..

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh..

Segala puji-pujian kepada Allah Subhanahu Wa Taala, selawat serta salam buat Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, kaum keluarga, sahabat-sahabat serta pengikut setia Baginda sehingga ke hari akhirat.

Sudah lama penulis tidak berbicara di alam maya ini. Apa yang nak dikongsi pun penulis agak terbukam. Tugas dan tanggungjawab yang banyak menyumbang sedikit beban kepada penulis di saat ini. Walau apa pun penulis  berharap agar ianya dipermudahkan oleh Allah Subhanahu Wa Taala. Ameen Ya Rabbal ‘Alamin.

Hati dan fikiran penulis sentiasa teringat kenangan manis di Bumi Anbia. Rasa penyesalan pun ada apabila masa yang diperuntukan sebelum ini diabaikan begitu sahaja. Beberapa tahun di Perlembahan Nil sepatutnya menambahkan ilmu pengetahuan penulis yang sedia ada, pun begitu beberapa tahun itu tidak digunakan sebaik mungkin sehingga penulis terasa kerugiannya.

Kini, penulis berada di Negeri Selangor bagi melaksanakan tugas yang diamanahkan. Belum puas berada disamping keluarga tersayang, penulis terpaksa mengemas pakaian untuk meneruskan perjuangan di negeri orang. Berada sebulan di pangkuan keluarga dan orang kampung banyak mengajar penulis tentang peri pentingnya mendalami setiap sudut ilmu agama itu. Iye, setiap sudut ! Bukan hanya beberapa sudut tertentu sahaja !

Hari ini, penulis berada seorang diri di sebuah rumah yang disewa bagi menyelesaikan amanah yang ditaklifkan. Berbekalkan segelas air dan beberapa buah buku rujukan, sekali sekala keyboard laptop yang jadi tumpuan, penulis terfikir apakah yang bakal diberi santapan kepada jiwa anak muda yang dahagakan belaian iman dari seseorang. Inilah persoalan yang main dibenak fikiran penulis sejak kebelakangan ini.

Mengikut jadual peribadi hari ini, penulis terpaksa ke Gombak bagi menghadiri jemputan majlis yang dibuat oleh seorang teman. Pergi atau tidak penulis tidak dapat mempastikannya lagi. Penulis berharap agar rahmat Allah dan pertolongan-NYA sentiasa diberikan kepada hambanya yang lemah ini. Ameen.

Semoga catatan pertama ini selepas sekian lama tidak menulis akan memberi inspirasi kepada penulis untuk terus berkongsi paling kurang kepada anak murid penulis yang disayangi sekalian. Sekian Wassalam.
image

Buat Renungan Diri Sendiri

Diriwayatkan dalam sebuah hadis bahawa terdapat tujuh golongan manusia yang dijamin masuk syurga dan akan dilindungi Allah di saat tidak ada lagi pelindung selain Dia, iaitu:

a.  Pemimpin yang adil.
b.  Seorang pemuda yang hidupnya selalu beribadah kepada Allah.
c.  Laki-laki yang hatinya terikat dengan masjid.
d.  Dua orang yang saling menyayangi kerana Allah. Bertemu kerana  Allah dan berpisah kerana Allah.
e.  Seorang laki-laki yang apabila dirayu oleh wanita cantik, berkedudukan dan kaya, ia berkata: “Tidak ... saya takut kepada Allah.”
f.  Laki-laki yang bersedekah dengan rahsia, sehingga tangan kirinya tidak mengetahui yang dikeluarkan oleh tangan kanannya.
g.  Laki-laki yang berzikir kepada Allah secara sembunyi, air matanya berlinang kerana takut kepada Allah.
 

Gadis Penggoda

    Sulaiman bin Yasir adalah seorang lelaki gagah dan tampan. Suatu hari, ia bersama seorang kawannya berniat pergi ke Makkah untuk menunaikan ibadah haji. Di suatu tempat, singgahlah mereka untuk berehat dengan mendirikan khemah. Dia tinggal di khemah sementara kawannya pergi berbelanja.
    Dalam keadaan dia bersendirian di khemah, tiba-tiba muncul di hadapan Sulaiman seorang wanita cantik, seraya berkata: “Beri saya....”
    Segera Sulaiman berganjak mengambil makanan, lalu diberikannya kepada wanita itu. Tetapi alangkah terkejutnya Sulaiman atas jawaban wanita itu: “Saya tidak menginginkan makanan. Saya inginkan bahagian dari lelaki yang biasa ia berikan kepada isterinya.”
    Mendengar itu Sulaiman tersentak. Lalu ia berkata, “Engkau telah dipersiapkan iblis untuk menggodaku.”
Betapa gelisahnya hati Sulaiman. Ia menunduk dan meletakkan kepalanya antara dua lutut sambil menangis. Melihat keadaan demikian, gadis penggoda itu segera beredar meninggalkan Sulaiman. Tak lama kemudian terdengar langkah temannya datang. Mata sembab Sulaiman belum sempat terhapus.
“Ada apakah gerangan wahai Sulaiman?” tanyanya.
“Aku teringat puteriku,” kata Sulaiman cuba berbohong.
“Tidak mungkin. Demi Allah, engkau pasti menyembunyikan sesuatu,” bujuk si teman. Kerana didesak terus, akhirnya Sulaiman menceritakan kejadian yang baru saja berlaku. Aneh, temannya yang mendengar cerita itu malah menangis terisak-isak. Sulaiman hairan dan tertanya-tanya.
“Mengapa engkau pula yang menangis?” tanya Sulaiman.
“Saya lebih layak menangis daripada engkau. Saya berfikir bahawa seandainya sayalah yang mendapat cubaan itu, seandainya sayalah yang berada di khemah ketika itu, entah apa yang terjadi,” ucapnya.
    Kemudian sampailah Sulaiman di kota Makkah, bertawaf dan bersa’i di Kaabah. Ketika telah letih dan lelah, ia berbaring di sudut ruangan berselimutkan pakaiannya sendiri. Dalam tidurnya ia bermimpi bertemu lelaki tampan, wangi pula baunya. Ia berkata kepada lelaki itu: “Siapakah Tuan? Semoga tuan mendapat curahan rahmat.”
“Aku Nabi Yusuf As-Siddiq,” jawabnya.
“Sungguh, engkau mengagumkan wahai Nabi.... Engkau menang melawan godaan isteri Tuanmu,” kata Sulaiman.
“Sesungguhnya keteguhan engkau terhadap rayuan gadis itu mengagumkan pula!” Jawab Yusuf dalam mimpi itu.
    Mimpinya itu menandakan bahawa Sulaiman akan dikumpulkan bersama-sama Nabi Yusuf yang berjaya menolak godaan wanita cantik.

Lelaki Yang Dinaungi Awan

    Diceritakan bahawa seorang pemuda jatuh hati kepada seorang dara. Mereka sebenarnya adalah berjiran. Ketika hari mulai pagi, gadis itu berangkat ke sebuah desa, nun jauh... seorang diri. Ia berangkat ke sana atas perintah keluarganya untuk suatu keperluan. Tak disangka, langkahnya diikuti pemuda jirannya. Dekat sudah jarak mereka berdua. Dalam dada si pemuda telah menggumpal gelora harapan. Ia rayu gadis itu, ia pujuk agar menuruti kehendaknya. Tetapi gadis itu petah menjawab: “Saya takut kepada Allah.”
    Kalimat pendek itu menjebak perasaan si pemuda. Ia berkata, “Kau takut kepada Allah? Duhai... mengapa aku tidak takut?” tanyanya kepada hatinya sendiri. Langkah pemuda itu terhenti seketika. Ia patah balik dan pulang ke rumahnya. Di tengah perjalanan, ia merasakan haus yang amat sangat, sementara langit panas membakar. Hampir saja ia pengsan. Saat itulah ia bertemu seorang soleh dari bangsa Israil.
    Di hadapan orang soleh itu ia menceritakan kehausannya. Orang soleh itu berkata, “Mari kita berdoa, semoga Allah melindungi kita dengan naungan awannya hingga sampai ke desa.”
“Berdoa....? Saya tidak mempunyai amal soleh apapun. Tetapi... kita memang perlu naungan. Berdoalah tuan, saya akan mengamini.”
    Orang soleh itu segera memanjatkan doa, dan si pemuda mengamini dengan penuh pengharapan. Tiba-tiba awan datang di atas kepala mereka, menaungi perjalanannya hingga sampai ke desa. Ketika pemuda itu masuk ke rumahnya, hilanglah awan yang menaungi itu. Orang soleh itu menatap si pemuda. Dia melihat bahawa pemuda itu memiliki suatu amal baik, maka ia bertanya, “Ceritakan kepadaku, apa yang pernah kau lakukan?”
    Dengan jujur ia bercerita mengenai perbuatannya yang hampir saja ia lakukan kalaulah tidak ingat terhadap ancaman Allah. Mendengar itu orang soleh berkata: “Sesungguhnya orang-orang yang bertaubat itu, sentiasa berada di sisi Allah, dalam suatu kedudukan yang tiada seorang pun di dalam kedudukan itu. Dan di akhirat, ia akan dimasukkan ke dalam syurga dan dikahwinkan dengan bidadari-bidadari yang kecantikannya tak dapat dibayangkan”.

Dijodohkan Di Syurga

    Bersumber dari Raja’ bin Umar An-Nakha’i, dia pernah bercerita: “Dahulu di kota Kufah tinggallah seorang pemuda tampan rupawan yang tekun dan rajin beribadat, dan dia termasuk salah seorang ahli zuhud. Suatu hari pemuda itu singgah di kalangan kaum An-Nakha’ dan di sana dia bertemu dengan seorang gadis yang cantik. Sejak melihatnya pertama kali, dia pun jatuh hati dan tergila-gila oleh kecantikannya. Demikian juga si gadis yang merasakan hal serupa sejak pertama melihat pemuda itu. Si pemuda lalu mengutus seseorang untuk meminangnya, tetapi ternyata gadis tersebut telah dipertunangkan dengan putera bapa saudaranya.
    Mendengar keterangan ayah si gadis itu, mereka berdua menahan beban cinta yang sangat berat. Si gadis tadi kemudian mengutus seorang hambanya untuk menyampaikan sepucuk surat kepada pemuda tambatan hatinya: “Aku tahu betapa engkau sangat mencintaiku, dan kerananya, betapa besar penderitaanku terhadap dirimu sekalipun cintaku tetap untukmu. Seandainya engkau berkenan, aku akan datang berkunjung ke rumahmu atau aku akan memberikan kemudahan kepadamu bila engkau mahu datang ke rumahku.”
    Setelah membaca isi surat tersebut, si pemuda kacak itu pun berkata kepada utusan wanita pujaan hatinya, “Kedua tawaran itu tidak ada satu pun yang kupilih! Sesungguhnya aku takut akan seksaan hari yang besar bila aku sampai derhaka kepada Tuhanku. Aku juga takut akan neraka yang api dan jilatannya tidak pernah surut dan padam.”
    Pulanglah utusan kekasihnya itu dan dia pun menyampaikan segala yang disampaikan oleh pemuda itu. Si gadis lalu berkata, “Selamanya aku belum pernah menemui seorang yang zuhud dan selalu takut kepada Allah SWT seperti dia. Demi Allah, tidak seorang pun yang layak mendapatkan gelaran kemuliaan kecuali dia, sedangkan kebanyakan orang adalah munafik.”
    Setelah berkata demikian, gadis itu lalu melepas segala urusan duniawinya serta membuang jauh-jauh segala sesuatu yang berkaitan dengan dunia. Dia pun memakai pakaian dari tenunan kasar dan sejak itu tekun beribadat, sementara hatinya merana, badannya juga kurus oleh beban cintanya yang besar kepada pemuda yang dicintainya. Dan kerinduannya yang mendalam menyelimuti sepanjang hidupnya hingga akhir hayatnya.
    Setelah gadis itu meninggal dunia, sang pemuda sering pula berziarah ke makamnya. Pada suatu ketika dia bermimpi seakan-akan melihat kekasihnya dalam keadaan yang sangat menyenangkan. Pemuda itu pun bertanya, “Bagaimana keadaanmu dan apa yang kau dapatkan setelah berpisah denganku?”
Gadis kekasihnya itu menjawab dengan menyenandungkan untaian syair: Kasih...
cinta yang terindah adalah mencintaimu,
sebuah cinta yang membawa kepada kebajikan.
Cinta yang indah hingga angin syurga berasa malu
burung syurga menjauh
dan malaikat menutup pintu.
 
Mendengar penuturan kekasihnya itu, pemuda tersebut lalu bertanya kepadanya, “Di mana engkau berada?”
 
Kekasihnya menjawab dengan melantunkan syair:
Aku berada dalam kenikmatan
dan kehidupan yang tiada mungkin berakhir
berada dalam syurga abadi yang dijaga oleh para malaikat
yang tidak mungkin binasa
yang akan menunggu ketibaanmu, wahai kekasih
 
Pemuda itu kembali berkata kepada kekasihnya, “Di sana aku mohon agar engkau selalu mengingatiku dan sebaliknya aku pun tidak dapat melupakanmu!”
“Dan demi Allah, aku juga tidak akan melupakan dirimu. Sungguh, aku telah memohon untukmu kepada Tuhanku juga Tuhanmu dengan kesungguhan hati, sehingga Allah berkenan memberikan pertolongan kepadaku!” jawab gadis kekasihnya itu.
Pemuda itu kembali berkata kepadanya, “Bila aku dapat melihatmu kembali?”
“Tak lama lagi engkau akan datang menyusulku kemari,” jawab kekasihnya.
    Tujuh hari sejak pemuda itu bermimpi bertemu dengan kekasihnya, ia meninggal dunia. Semoga Allah sentiasa mencurahkan kasih sayang-Nya kepada mereka berdua dan mempertemukannya kembali di syurga. Mudah-Mudahan kita termasuk di dalam golongan ahli syurga...Amenn
image

Wang Insuran Kematian

Soalan;

Assalammualaikum Ustaz, Saya ingin bertanya beberapa soalan dan harap ustaz dapat memberi penjelasan:-
1. Kakak saya telah mendapat wang insuran diatas kematian anak lelakinya, soalan saya ialah :
a. Adakah duit itu perlu dibahagikan secara faraid kepada ayah dan adik-adik simati.
b. Bolehkah siibu menggunakan wang tersebut untuk perbelanjaan harian dan apakah hukumnya.
c. Bolehkah siibu memberi wang tersebut kepada anak-anaknya (adik-adik simati) dan apakah hukumnya.
Sekian, terima kasih.

Jawapan;

1. Wang Insurans jika sepenuhnya pemberian dari pihak syarikat Insurans, ia tidaklah termasuk dalam harta pusaka. Oleh itu, ia diberikan kepada orang yang ditentukan oleh si mati (semasa hayatnya) atau orang yang ditentukan oleh pihak yang menaja Insuran itu (majikan, persatuan khairat dan sebagainya). Jika si mati tidak menentukannya atau pihak yang menajanya juga tidak menentukannya, barulah ketika itu diserahkan kepada ahli-ahli waris untuk dibahagikan mengikut bahagian perwarisan.

2. Jika wang insuran yang diberikan adalah bersama simpanan si mati di mana hari ini ada syarikat-syarikat Insurans yang menawarkan pakej insuran dan simpanan, maka bahagian simpanan adalah dikira harta pusaka dan mesti diagihkan kepada ahli-ahli waris mengikut bahagian masing-masing yang ditentukan Syarak. Adapun bahagian insuran, ia diberikan/diagihkan sebagaimana di atas.

3. Orang yang berhak mendapat wang dari insuran itu, harus ia membelanjanya mengikut kehendaknya (sama ada menggunanya untuk diri sendiri, memberinya kepada orang lain atau sebagainya) asalkan bentuk perbelanjaan tidak ditegah Syarak.

3. Adalah perlu diingatkan di sini bahawa Insurans yang Halal dan bebas dari syubhah ialah Insuran yang berlandaskan Islam iaitulah yang dijalankan di atas prinsip takaful atau ta’awun. Adapun Insuran konvensional iaitu yang dijalankan oleh syarikat-syarikat perniagaan insuran yang tidak berlandaskan Islam, ia telah difatwakan oleh jumhur ulamak hari ini sebagai haram. Oleh itu, umat Islam hendaklah peka tentang masalah ini. Ambillah polisi insuran dari syarikat-syarikat Insuran Islam seperti Takaful Malaysia, Takaful Ikhlas, Takaful Etika dan sebagainya supaya wang insuran yang diperolehi nanti tiada pertikaian di sisi ulamak.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. at-Ta’min ‘Alal-Hayah, Dr. Muhammad Sulaiman al-Asyqar (Buhuth Fiqhiyyah Fi Qadhaya Iqtishadiyah Mu’asharah, hlm. 11-27).
image

MyKad Palsu untuk Kemengan BN pada Pilihan Raya Umum ke-13

Sungguh mengejutkan ! pun begitu ia bukanlah perkara biasa untuk dibicarakan sebenarnya. Sebelum ini pun memang sudah ada kejadian seperti berlaku terutamanya menjelang sesuatu pilihanraya kecil di negara Malaysia tercinta. Malah, sebelum ini juga kita ada  mendengar pendedahan tentang sindiket yang sama beberapa tahun yang lalu. Kini seolah-olah penyakit ini berlaku lagi. Apa yang ingin penulis paparkan di sini ialah berkaitan satu maklumat terbaru yang sungguh menggemparkan kini berlaku. Ia berkaitan dengan pemberian kad pengenalan kepada warga asing yang kian menjadi-jadi sekarang ini. Ini berlaku di sebuah lokasi di Grik Perak dan kejadian tersebut melibatkan puak-puak UMNO sendiri. Menurut sumber, kini pihak terbabit sedang menyiapkan 500 kad pengenalan untuk kumpulan mereka yang kebanyakannya merupakan rakyat Thailand. Mereka diberikan kad pengenalan dengan bersyarat dan perlu mengisi borang keahlian UMNO. Malah, mereka diwajibkan mengundi BN untuk tiga kali pilihanraya umum akan datang. Ada pihak yang prihatin masih mengumpul maklumat sahih dan bahan bukti untuk kes ini. Menurut pihak tersebut, mereka mempunyai saksi penting yang menjalankan kegiatan demikian bagi pihak UMNO. Bila ditanya, apakah motif tindakan ini dilakukan maka dengan mudah mereka menjawab bahawa ia adalah satu strategi untuk memastikan UMNO BN menang besar dan berjaya merampas semula negeri yang dikuasai pembangkang dalam pilihanraya umum akan datang.
Bagi penulis, mencetak mykad palsu bukanlah merupakan perkara yang remeh. Bahkan ianya memerlukan strategi yang kemas di samping penglibatan beberapa agensi kerajaan. Justeru, bila difikir-fikirkan, jawapan yang diterima ialah memang wujud satu usaha terancang di antara UMNO dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN ) sendiri dalam usaha memastikan kemenangan UMNO-BN untuk pilihanraya akan datang. Sekali lagi taktik kotor UMNO di hidu. Tapi sesetengah rakyat masih lagi buta dan pekak dalam menilai isu ini. Sekian..
image

Anda juga SAMA sekiranya.......

Assalamualaikum..

Nie satu lagi golongan manusia yang JAHIL ! Banner ini ingin menunjukkan sesuatu kepada para pembaca yang budiman. Persoalannya..
Apakah yang ingin ditunjuk dan ditonjolkan itu ?

Anda juga sama sekiranya masih bersekongkong dengan golongan manusia seperti ini. So...di mana anda sekarang ? Tepuk dada tanya iman.....
image

Rakyat Gila BOLA, UMNO gila JUDI !

Apabila Dato Seri Najib melalui Awang Adek mengumumkan bahawa Kerajaan bersedia meluluskan aktiviti judi bola, kita menganggap Awang Adek seorang yang jujur . Beliau jujur mendedahkan kepada rakyat tentang identiti atau wajah sebenar Umno- parti yang ketagih dan gila judi.

Sebagai parti sekular , bagi Awang Adek, Umno tidak perlu takut untuk mendedahkan kepada rakyat tentang identiti sebenar Umno. Ya, judi adalah HARAM berdasarkan wahyu yang qati’e . Melakukan perbuatan haram boleh membawa kepada neraka. Tetapi itu semua doktrin yang PAS pegang. Umno bukan PAS. PAS parti Islam, Umno parti sekular. Mana boleh sama. Bagi Umno apa kena mengena dosa dan pahala, syurga dan neraka dalam perjuangan politik. Bukankah mantan Presiden Umno pernah mengatakan tindakan PAS yang berkempen tentang syurga dan neraka adalah termasuk dalam “rasuah politik.”

Memandangkan Umno mempunyai “world view” yang jelas bertentangan dengan Pas maka kita tidak perlu risau jika Umno bersedia menghalalkan benda yang diharamkan oleh Allah. Fahaman maddiyyah ( materialism /kebendaan ) dan hedonism ( hidup ini sekadar untuk bersuka ria ) yang menjadi pegangan dan sandaran Umno tidak membenarkan Umno melepaskan peluang untuk mengisi perbendaharaan negara ini dengan hasil ekonomi – tanpa kira hasil yang halal atau haram.

Bagi mereka yang masih ragu-ragu sama ada Umno ini sekular atau tidak lihatlah pendirian rasmi Umno tentang judi di Parlimen. Mantan Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan, Datuk Hilmi Yahya di Parlimen menyatakan di Parlimen pada 15 Disember 2004 dan dilaporkan oleh akhbar Utusan Malaysia ( 16/12/2004 ) seperti berikut :-

"Kerajaan tidak bercadang menghentikan aktiviti perjudian secara berlesen di negara ini kerana mahu bersikap adil terhadap masyarakat bukan Islam di samping membendung kegiatan bookie haram. Sehingga kini terdapat 1,822 lesen diberikan kepada syarikat yang menjalankan aktiviti ini, sama ada cabutan loteri Magnum, Toto, 1+3D dan kegiatan judi di premis-premis hiburan,'' .

Beliau seterusnya memberitahu, kerajaan tidak berhasrat menghentikan kegiatan itu kerana perjudian merupakan satu budaya kepada kaum-kaum tertentu.

"Ada kaum yang mempunyai budaya berjudi, jadi kita perlu bersikap adil kerana walaupun kita adalah negara Islam tetapi Malaysia mempunyai rakyat berbilang kaum dan dan agama,'' katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Ratnam a/l Muthiah dalam sesi Dewan Negara.

Beliau memberitahu, kerajaan tidak berhasrat mengurangkan hari cabutan loteri Magnum, Toto dan 1+3D kerana ia akan mengurangkan pendapatan melalui cukai.

"Jika kita kurangkan kepada satu minggu sekali cabutan, kita akan kehilangan cukai RM620 juta dalam tempoh satu tahun,'' katanya.

Bagi Umno tidak merebut peluang untuk mengisi perbendaharaan negara dengan wang melalui aktiviti judi yang berleluasa dalam pesta bola piala dunia ini adalah satu kerja bodoh. Bukankah dengan membenarkan aktiviti judi semasa pesta bola piala dunia ini akan menyebabkan Kerajaan dapat menjana kewangan melalui cukai yang akan dibayar oleh tauke-tauke judi. Rasional Umno adalah daripada membiarkan taukeh-taukeh judi ini berjudi secara tidak sah lebih baik Kerajaan sahkannya melalui perlesenen. Bukankah taukeh judi ini akan membayar cukai yang banyak kepada Kerajaan jadi mengapa Kerajaan harus lepaskan peluang keemasan ini.

Bukankah mantan Perdana Menteri Singapura sendiri Lee Kuan Yew, hujah Umno, pernah menyatakan Kerajaan Singapura sepatutnya lebih awal membenarkan dan menggalakkan industri judi di negara itu sepertimana Kerajaan Malaysia lakukan dengan kewujudan mahligai judi di Genting. Lee Kuan Yew memuji Malaysia kerana pandai menjana kewangan melalui industri judi di Genting . Pujian Lee Kuan Yew bukan meresahkan Umno sebaliknya menyeronokkan Umno. Pujian itu juga memberi inspirasi baru kepada Umno. Umno kini dengan lantang dan mendabik dada menyatakan “ Wahai Lee Kuan Yew lihatlah kami bukan sahaja ada Genting tetapi kami juga menghalalkan judi semasa pesta bola piala dunia.”

Isu judi ini juga mendedahkan sikap hipokrit Umno yang amat jelas. Semasa kempen Piliharaya kecil Hulu Selangor, Umno tanpa rasa segan dan malu sanggup berkempen bermatian-matian untuk memberitahu rakyat di sana bahawa mereka perlu menolak Zaid Ibrahim kerana beliau adalah kaki arak. Cara Umno berkempen seoalah-oleh arak adalah sesuatu yang jijik bagi Umno . Dalam kempen pilihanraya itu Umno gagal menerangkan kepada rakyat jka Zaid Ibahim perlu ditolak kerana dilabelkan kaki arak Umno sudah tentu lebih aula ditolak kerana membenarkan kilang arak didirikan dan industri judi dihalalkan dan kini dikembangkan .

Mana –mana Kerajaan yang membenarkan aktiviti judi pada hakikatnya menggalakkan rakyatnya untuk hidup dalam khayalan dan angan-angan .Judi ( maisir ) bagi Islam adalah bentuk aktiviti gharar ( tidak pasti ) iaitu yang bagi ahli ekonomi dikatakan sebagai “ a zero sum game which risky payoff” . “Zero sum game” bermaksud orang yang menang dalam judi adalah di atas kerugian orang lain kerana judi adalah aktiviti yang tidak bersandarkan kepada kemahiran dan kecekapan sebaliknya hanya kepada tuah semata-mata. Seorang ahli ekonomi barat . Goodman, menyatakan peningkatan industri judi pada tahun-tahun kebelakangan ini di Amerika adalah disebabkan adalah kerana “ the growing tendency to rely on economic ventures of chance as opposed to those involving skill and real work “ ( kecenderungan untuk berngantung kepada aktiviti-aktiviti ekonomi yang berdasarkan tuah daripada aktiviti-aktiviti yang berdasarkan kemahiran dan kerja-kerja yang sebenar )

Saya minta maaf jika tersilap. Tetapi saya tidak nampak golongan agama di dalam Umno dan di luar Umno yang lantang menyerang Pakatan Rakyat lantang juga menyerang Umno di dalam isu judi ini. Saya tak nampak Mufti Perak bersuara dalam isu ini. Jika dalam isu Nizar memegang lilin sepantas kilat Nizar di”fatwakan” terlibat dalam perkara-perkara yang melanggar hukum agama mengapakah dalam isu judi bola ini “fatwa” sebegitu tidak keluar dari mulut-mulut golongan –golongan agama tertentu sedangkan hukum judi adalah lebih jelas.

Apapun pesta bola piala dunia ini mewujudkan dua golongan yang gila dalam masyarakat – rakyat gila bola Umno pula gila judi!!!
image

Semoga Rachel Corrie selamat ke GAZA !

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Alhamdulillah, puji-pujian bagi Allah Subhanahu Wa Taala, selawat serta salam buat junjungan Mulia Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam, ahli keluarga, para sahabat serta semua pengikut setia Baginda sehingga ke akhir zaman.

Sekilas pandang tentang Kapal Rachel Corrie (foto) yang sedang dalam misi bantuan kemanusiaan dijangka memasuki perairan Gaza kira-kira tiga jam lagi sekiranya tidak menghadapi apa-apa kesulitan. Wakil Perdana Global Peace Organisation (PGPO) Sufi Yusoff ketika dihubungi berkata Rachel Corrie kini berada kira-kira 55 batu nautika dari pelabuhan Gaza. Enam warga Malaysia antara sukarelawan yang berada atas kapal itu. "Pada ketika ini, kesemua anak kapal berada dalam keadaan selamat walaupun terdapat tiga buah kapal peronda mengekori kapal tersebut sejak tiga ke empat jam lepas," kata Sufi yang juga pembantu kepada pengerusi PGPO, Tun Dr Mahathir Mohamed kepada Bernama hari ini. Bagaimanapun, katanya, identiti kapal-kapal peronda tersebut yang berada kira-kira enam hingga 10 batu di belakang Rachel Corrie tidak dapat dipastikan tetapi disyaki milik Isreal berdasarkan kepada visual yang diterima. Sambil menolak khabar angin yang tersebar di internet yang mengatakan bahawa Rachel Corrie kini dikepung tentera laut Israel, beliau mengulangi kenyataan PGPO awal pagi ini bahawa mereka mengalu-alukan wakil daripada badan antarabangsa terutamanya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu PBB) untuk memeriksa Rachel Corrie.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan bagi pihak aktivis keamanan itu pada kira-kira 12.30 tengah malam, PGPO berkata para sukarelawan di atas kapal MV Rachel Corrie mengalu-alukan badan antarabangsa memeriksa kapal itu. Mereka mempelawa sebuah badan bebas, khususnya PBB untuk membuat pemeriksaan dan menentukan jenis kargo dalam kapal itu. Para sukarelawan itu juga berikrar bahawa mereka terdiri daripada aktivis tidak bersenjata dan kapal itu tidak membawa sebarang senjata atau kelengkapan yang mungkin digunakan untuk tujuan berbahaya.

Apa-apa pun penulis berdoa agar misi bantuan ini selamat sampai ke Gaza bagi membantu mereka meneruskan kehidupan sehari-harian dengan lebih sempurna. Penulis juga ingin menyeru kepada PBB agar dapat melakukan sesuatu ke atas Rejim Israel yang menghalang beberapa buah kapal sebelum ini untuk sampai ke Gaza. PBB sekarang ini dilihat sebagai bacul dek kerana diam seribu bahasa dengan pencabulan yang dibuat oleh Israel ke atas kapal misi bantuan ke Gaza. Penulis berpendapat keadaan ini terjadi kerana Israel  merupakan tali barut kuasa besar dunia iaitu Amerika ! Semoga Allah membalas kejahatan yang mereka lakukan !
image

Anda Sedang Membantu YAHUDI !


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabakatuh
Jangan katakan ‘mane ade saya tolong YAHUDI ?’ Andalah pembantu mereka ! Tidakkah anda membaca berita seorang isteri dibelasah sehingga mati oleh suaminya gara-gara cemburu ? Kejadian yang menyayat hati itu berlaku di Kg.Padang Tengku, Kuala Lipis Pahang petang Ahad lalu dipercayai akibat tindakan mangsa Rosmawati Abd Rahman "curang dan bermain kayu tiga". Malah, suaminya bertambah panas hati apabila melihat mangsa asyik berbual-bual menggunakan telefon bimbit dengan lelaki terbabit. Menurut sumber, mangsa dikatakan sudah berhubung dengan lelaki terbabit sebelum kejadian itu lagi, malah suaminya sudah banyak mengumpul bukti kukuh kecurangan isternya termasuk menyimpan segala surat-surat dan dokumen yang berkaitan. Dalam kes ini, siapakah yang harus dipersalahkan?. Memang benar si suami mengambil tindakan nekad dengan memukul dan mencederakan isternya. Namun apakah beliau terfikir apa yang dilakukan itu boleh menyebabkan kehilangan nyawa, sedangkan dia tahu itu adalah isterinya. Mana-mana lelaki yang berada dalam situasi ini sudah pasti akan marah apabila melihat "jantan lain" berhubung dengan isterinya. Kejadian ini berlaku di mana-mana sebenarnya. Cuma banyak yang tidak dihebahkan di dalam media mungkin dek kerana tidak sampai ke peringkat yang lebih buruk. Apakah puncanya?. Bukankah ini menunjukkan bahawa betapa runtuhnya institusi keluarga di negara kita. Isteri berhubung dengan lelaki lain dan suami pula mengabaikan tanggungjawab terhadap isteri. Siapakah yang harus dipersalahkan dalam hal ini?. Mutahkir ini juga umum mengetahui bahawa kecurangan dan keterlanjuran itu banyak berlaku akibat tindakan isteri yang gagal mengawal diri mereka sendiri.

Inilah realiti ! Kewujudan begitu banyak laman sembang sosial seperti Facebook, Twitter, Tagged, Myspace, Hi5, eKawan, Friendster dan sebagainya telah menjurus ke arah keruntuhan institusi kekeluarga itu sendiri. Agenda Yahudi begitu jelas telah berjaya menyelinap masuk ke dalam rumah umat Islam hingga ia gagal dibendung sama sekali. Maka akibat rasa kekosongan dan kesunyian, si isteri akhirnya berhubung dengan lelaki lain. Malah, lelaki yang sudah beristeri pun tergamak berhubung dengan isteri orang atas dasar kononnya mengubat kesunyian dan kesepian. Akhirnya masing-masing bertukar nombor telefon dan meleret hingga kepada berbual dan SMS. Inilah yang menyebabkan berlaku keruntuhan yang amat mendadak kepada umat Islam di negara ini bahkan di seluruh dunia. Oleh itu, kita tidak hairan bila berlaku adik angkat abang angkat dikalangan orang yang sudah bergelar suami isteri. Malah lebih dari itu, suami orang berjumpa isteri orang hingga membawa kepada perbuatan zina dan sebagainya. Inilah yang menjadi masalah yang sukar untuk dibendung jika keimanan itu tidak ditanam dalam institusi kekeluargaan itu sendiri. Langkah terbaik ialah kembali kepada Islam, itu sahaja jalan terakhir untuk kita perjuangkan. Selagi UMNO BN terus berkuasa, maka selagi itulah gejala sosial dan segala macam aktiviti maksiat akan terus disuburkan di negara kita ini.
Justeru, penulis ingin menasihatkan kepada SEMUA pembaca supaya dapat menghindari dari terlibat dengan agen perosak YAHUDI ini. Iye, anda boleh memberi seribu satu kebaikan laman sosial tersebut, tetapi keburukan daripadanya juga amat banyak jika mahu dihitung. Pernahkah anda mendengar satu kaedah Fiqh “ Apabila bercampur antara kebaikan dan keburukan dalam sesuatu perkara, nescaya keburukan akan mengatasi kebaikan”. Ingat ! setiap kali anda menglog in fb anda setiap kali itulah anda menyumbang keburukan kepada agama.
Kalau bukan anda yang berubah, siapa lagi ? Tepuk dada tanya Iman ! Sekian
image

Hargai Nilainya...

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,



Mengimbas kembali penciptaan dan kejadian manusia sebagai khalifah dimuka bumi ini menginatkan kita bahawa kewujudan manusia memang merupakan keunikan alam anugerah Allah Subhanahu Wa Taala. Komunikasi antara mereka memperlengkapkan survival sebuah kehidupan , manakala hubungan raya manusia dan Penciptanya pula menempah kejayaan dan ketenangan hakiki. Manusia memiliki fitrah kejadian yang seni dan agung jua sebagai pembalut naluri yang berfungsi untuk membina kestabilan asas keinsanan seorang manusia . انسانية الإنسان


Cinta menepati satu angka dari perangkaan fitrah manusia . Tanpa nilai cinta yang berdefinisi sebagai cetusan rasa dari orbit naluri ke arah mengenali satu objek dengan penghayatan hakikat dan kewujudannya akan mengganggu fitrah manusia .



Kesenian cinta yang didasari runtunan fitrah tanpa dicabul oleh hawa syahwat merupakan logo kedamaian , keamanan dan ketenangan . Namun cinta seringkali diperalatkan untuk melangsaikan keghairahan nafsu dan kebejadan iblis laknatullah . Demi kemakmuran manusia sejagat , kita mesti menangani fenomena cinta dengan nilai fikrah yang suci dan iman yang komited kepada Allah swt .


Rasulullah saw. telah bersabda :


من سره أن يجد حلاوة الإيمان فليحب المرء لا يحبه إلا لله عز و جل


(
رواه أحمد و الحاكم )


“ Sesiapa yang ingin mendapatkan kemanisan iman maka hendaklah ia mengasihi seseorang kerana Allah swt. ”


Permasaalahan cinta antara yang dihadapi secara serious oleh ummat Islam hari ini . Pertembungan antara cinta hakiki dan cinta palsu menyebabkan ummat Islam menghadapi dilema perasaan yang kronik . Krisis cinta palsu telah memapah ummat Islam ke medan pertembungan yang memusnahkan etika spiritual malah membunuh solidariti dan menodai sosial .


Individu muslim sewajarnya peka terhadap kehadhiran cinta yang menguasai jiwa . Cinta yang berlojikan nafsu dan syahwat hanyalah cinta palsu yang penuh sandihina .


Firman Allah swt :


وَلَا تَتَّبِعِ الْهَوَىٰ فَيُضِلَّكَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ ۚ إِنَّ الَّذِينَ يَضِلُّونَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ بِمَا نَسُوا يَوْمَ الْحِسَابِ


(
ص 26 )


“ Dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu , kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah . Sesungguhnya orang - orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat kerana mereka melupakan hari perhitungan .”


Firman Allah swt.


وَقَالَ نِسْوَةٌ فِي الْمَدِينَةِ امْرَأَتُ الْعَزِيزِ تُرَاوِدُ فَتَاهَا عَن نَّفْسِهِ ۖ قَدْ شَغَفَهَا حُبًّا ۖ إِنَّا لَنَرَاهَا فِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ


(
يوسف 30 )


“ Dan wanita - wanita di kota berkata : Isteri Al Aziz ( sebutan bagi raja di Mesir ) menggoda bujangnya untuk menundukkan dirinya . Sesungguhnya cintanya kepada bujangnya itu adalah sangat mendalam . Sesungguhnya kami memandangnya dalam kesesatan yang nyata .”


Cinta yang dinaungi kesucian fitrah dan berpandukan aqidah Islamiyyah ialah cinta hakiki yang membina realiti kemakmuran dan mengundang keampunan Allah . Firman Allah swt :



قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ.


(
ال عمران 31 )


“ Katakanlah : Jika kamu menyintai Allah maka ikutlah aku nescaya Allah menyintaimu dan mengampunkan dosa - dosamu . Allah Maha Pengampun lagi Maha penyayang .”


CINTA DI PENYATA WAHYU


Menelusuri cinta bahagia dan hakiki sayugianya melangkah melalui lebuhraya yang luas terbentang menuju penyata Ilahi . Sebarang lorong dan alur rentas yang tidak menuju Irsyadur Rabbani hanyalah mempertemukan cinta dan nafsu dalam serkap yang gelita . Melalui penyata yang juga merupakan surat kiriman dari Allah swt. telah tertera mengenai cinta .


1. Cinta kehadhrat Ilahi .


Ketinggian nilai taqarrub Al A’bid kepada Khaliq dapat dikesan melalui skil cinta murni kehadhrat Ilahi . Tanpa cinta kepada Allah , perlakuan hamba tidak memberi pulangan yang bererti sedangkan ia menjadi tunjang kepada Islam . (
أول الدين معرفة الله )


Sinaran cinta itu jua akan mendorong hamba bertindak ikhlas di mihrab pengabdian diri kepada Allah serta menghasilkan cahaya iman yang mantap . Firman Allah swt :


وَمِنَ النَّاسِ مَن يَتَّخِذُ مِن دُونِ اللَّهِ أَندَادًا يُحِبُّونَهُمْ كَحُبِّ اللَّهِ ۖ وَالَّذِينَ آمَنُوا أَشَدُّ حُبًّا لِّلَّهِ ۗ وَلَوْ يَرَى الَّذِينَ ظَلَمُوا إِذْ يَرَوْنَ الْعَذَابَ أَنَّ الْقُوَّةَ لِلَّهِ جَمِيعًا وَأَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعَذَابِ


(
البقرة 165 )


“ Dan diantara manusia ada orang - orang yang menyembah tandingan - tandingan selain Allah . Mereka menyintainya sebagaimana mereka menyintai Allah . Adapun orang - orang yang beriman sangat cinta kepada Allah . Dan jika seandainya orang - orang yang berbuat dholim itu mengetahui ketika mereka melihat siksa pada hari kiamat bahawa kekuatan itu kepunyaan Allah semuanya dan bahawa Allah amat berat siksaanNya ( nescaya mereka menyesal ) ”


Meletakkan diri dalam zumrah orang - orang yang menyintai Allah mestilah bertindak penuh dengan mematuhi perintah Allah dan Rasulnya . Firman Allah swt :



قُلْ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ مِّثْلُكُمْ يُوحَىٰ إِلَيَّ أَنَّمَا إِلَـٰهُكُمْ إِلَـٰهٌ وَاحِدٌ ۖ فَمَن كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلًا صَالِحًا وَلَا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا


(
الكهف 110 )


“ Katakanlah : Sesungguhnya aku ini hanya seorang manusia seperti kamu , yang diwahyukan kepada ku : Bahawa sesungguhnya tuhan kamu itu adalah Tuhan yang Esa . Barangsiapa yang mengharap perjumpaan dengan tuhannya maka hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan seorang pun dalam beribadat kepada tuhannya .”


Pencinta Allah adalah pemilik iman yang komited merangkap pejuang yang dinamis . Mereka menanggapi kewujudan Allah sebagai Qadhi Rabbul Jalil yang tiada tandingan . Firman Allah swt :


أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ ۚ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ


(
المائدة 50 )


“ Apakah hukum Jahiliyyah yang mereka kehendaki , dan hukum siapakah yang lebih baik daripada hukum Allah bagi orang - orang yang yakin ”


Firman Allah swt :


وَمَن يَعْمَلْ مِنَ الصَّالِحَاتِ مِن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُولَـٰئِكَ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ وَلَا يُظْلَمُونَ نَقِيرًا


(
النساء 124 )


“ Barangsiapa yang mengerjakan amal - amal soleh , baik lelaki mahupun wanita sedang ia beriman maka mereka itu masuk syurga dan mereka tidak dianiaya walau sedikitpun ”


Merekalah tentera Allah yang terpilih untuk bertugas gigih bagi memastikan agama Allah tertegak dimuka bumi ini , pula layak menyandang pingat kejayaan sejati . Firman Allah swt :


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَن يَرْتَدَّ مِنكُمْ عَن دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوْمَةَ لَائِمٍ ۚ ذَ‌ٰلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَن يَشَاءُ ۚ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ


(
المائدة 54 )


“ Hai orang - orang yang beriman , barangsiapa diantara kamu yang murtad dari agamanya , maka kelak Allah akan mendatangkan suatu qaum yang Allah menyintai mereka dan mereka pun menyintai Allah , Yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang mu’min , yang bersikap keras terhadap orang kafir , yang berjihad di jalan Allah dan yang tidak takut celaan orang yang suka mencela . Itulah kurniaan Allah , diberikan kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha luas pemberianNya lagi Maha Mengetahui .”


Individu mu’min dalam memburu kesempurnaan ibadat dan kejayaan perjuangan sepastinya merangkul erat nilai cinta kepada Allah swt .


1. Taqarrub kepada Allah swt.


2. Senantiasa mengawasi perintah Allah swt . ( agar tidak lalai )


3. Berjihad di jalan Allah swt .


Kecintaan kepada Allah swt. antara semboyan untuk mengundang nusrah dan cinta Ilahi sedangkan nusrah ( pertolongan ) dan cinta Allah pula menjadi sarana terpenting yang digunakan untuk menjamin keistiqamahan dan kekuatan dalam menghadapi konspirasi musuh - musuh Allah swt.


Memiliki cinta Allah swt. seharusnya menjadi kebanggaan individu muslim lantaran keagungan nilai dan ketulusan ihsanNya . Namun menjadi suatu kesukaran untuk meraih cinta Allah tanpa pengabdian yang menjurus tepat kepadaNya . Menjelaskan tentang nilai cinta Allah , telah berkata Al Allamah Abu Yazid Al Busthomi :[1]


ليس العجب من حبى لك و أنا عبد فقير إنما العجب من حبك لى و أنت ملك قدير


“ Bukan suatu yang menghairankan aku menyintaiMu kerana aku hamba yang faqir tetapi apa yang menghairankan ialah cintaMu kepadaku sedang engkau adalah yang Maha berkuasa ” Sekian....
image